August 9, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Mansur & Liu: Cinta Dua Tamadun, Menggamit Sejarah Melaka

Spread the love

Kisah Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu diangkat ke pentas muzikal, menampilkan Aliff Aziz dan Melinda Dadew selain lebih 30 lagu ciptaan M. Nasir

Kredit Foto: MegatzReview

Cinta, kuasa dan diplomasi dua kerajaan bakal bersemuka di pentas Panggung Sari, Istana Budaya apabila kisah Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu dihidupkan menerusi Teater Muzikal Mansur & Liu.

Bukan sekadar kisah percintaan antara seorang sultan dari Kesultanan Melaka dengan puteri daripada Dinasti Ming, karya berskala besar itu membawa penonton menyelusuri sejarah, maruah bangsa dan hubungan diplomatik dua tamadun yang pernah mencipta lembaran penting dalam sejarah rantau ini.

Lebih istimewa, kisah yang tercatat dalam Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu itu bakal diterjemahkan dalam bentuk teater muzikal buat julung kalinya oleh maestro seni tanah air, Datuk M. Nasir.

Pementasan selama 11 hari bermula 10 hingga 20 September depan itu menyaksikan penyanyi dan pelakon Aliff Aziz menggalas watak Sultan Mansur Shah, manakala Melinda Dadew sebagai Puteri Liu.

Bagi M. Nasir, kisah Mansur dan Liu bukan sekadar cerita lama yang dipindahkan ke pentas, sebaliknya mempunyai kekuatan untuk diterjemahkan melalui bahasa seni yang lebih besar dan moden.

Lebih menarik, beliau menghasilkan lebih 30 lagu serta skor muzik asli khusus untuk pementasan berkenaan yang menggabungkan elemen muzik tradisional Melayu dengan susunan orkestra kontemporari.

“Saya menemui kisah Mansur dan Liu ketika terbabit dalam projek pembacaan buku audio karya Tun Sri Lanang. Semasa membacanya, saya menemui kisah Mansur dan Liu lalu sangat tertarik untuk menghasilkan sesuatu berdasarkan kisah itu.

“Idea ini sudah wujud sejak enam tahun lalu. Apabila ada pihak yang berminat untuk saya menghasilkan pementasan muzikal serta menyediakan sokongan dari segi dana, idea itu muncul semula dan akhirnya berjaya direalisasikan,” katanya.

M. Nasir yang juga pengarah pementasan berkata, proses pemilihan pelakon dilakukan menerusi sesi uji bakat bagi memastikan setiap karakter benar-benar bersesuaian dengan pelakon yang dipilih.

Dalam memilih Aliff sebagai Sultan Mansur Shah, beliau turut mempunyai alasan tersendiri yang disampaikan secara berseloroh.

“Terutamanya Aliff. Mengapa saya memilihnya? Sebab dia pelakon kedua paling tampan di Malaysia,” katanya.

Namun, di sebalik gurauan itu, M. Nasir mengakui Aliff memiliki kriteria dan bakat yang diperlukan untuk menghidupkan karakter berkenaan.

Bagi Aliff pula, peluang diberikan M. Nasir dianggap sebagai satu penghormatan besar dalam perjalanan kerjaya seninya, apatah lagi ia menjadi pengalaman pertama buatnya menyertai pementasan sebegini.

“Ini kali pertama saya menerima peluang seperti ini. Apabila menerima tawaran, saya mengambil sedikit masa untuk berfikir sama ada saya berani atau tidak untuk menerimanya.

“Selepas berbincang dengan keluarga dan rakan-rakan, Alhamdulillah, saya membuat keputusan untuk menerima tawaran ini.  Seluruh pasukan banyak memberikan sokongan dan saya berbesar hati dapat menjadi sebahagian daripada pementasan teater ini,” katanya.

Mansur & Liu turut menampilkan barisan pelakon berkaliber termasuk Amerul Affendi, Sherry Alhadad, Hazama, Taqim Zaki, Brian Chan, Fadhli Masoot dan Anas Ridzuan.

Turut menyertai produksi ialah Arena Wan, Ruzana Ibrahim, Fiza Thomas, Taufiq Izmir, Marzuki Noh dan Shahrul Mizad.

Wakil Icon Entertainment, Iman Tang berkata, kekuatan Mansur & Liu terletak pada mesej yang dibawa kerana ia tidak menjadikan cinta sebagai satu-satunya paksi cerita.

Mansur & Liu bukan cinta semata-mata yang menjadi paksi cerita.  Di sebalik pertemuan Sultan Mansur Shah dan Puteri Liu, tersirat hikmah tentang maruah sebuah bangsa, kebesaran sebuah kerajaan, kesetiaan kepada tanah air, kebijaksanaan dalam berunding serta indahnya persahabatan antara dua tamadun besar yang saling menghormati,” katanya.

Bagi memastikan kemegahan era Kesultanan Melaka dapat dirasai penonton, produksi itu turut menggabungkan elemen cahaya, bunyi, tarian, busana, rekaan pentas serta teknologi moden.

Gabungan berkenaan dijangka memberikan pengalaman visual dan audio yang lebih sinematik, sekali gus membawa penonton seolah-olah kembali ke zaman kegemilangan Melaka.

Lebih daripada sekadar hiburan, produksi berkenaan turut menyasarkan untuk memperkenalkan sejarah dan kesenian Melayu kepada khalayak lebih luas, termasuk penonton antarabangsa.

“Seiring aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026, Mansur & Liu diharap menjadi lambang kekuatan seni persembahan negara. Pada masa sama, kami mahu memperkenalkan keagungan warisan Melayu kepada khalayak tempatan dan antarabangsa melalui bahasa teater yang indah, agung dan merentasi zaman,” katanya.

Mansur & Liu diterbitkan M. Nasir dan Datin Marlia Musa menerusi Roman Abadi dengan kerjasama Icon Entertainment.  Pementasan berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya dari 10 hingga 20 September depan.

Tiket ditawarkan pada harga RM88 hingga RM408 mengikut kategori tempat duduk dan mula dijual pada 10 Ogos, jam 3 petang.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page