November 10, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

35 Tahun Hard Rock Cafe: Wings Gegar Pentas, Legenda Rock Terus Bernyawa

Spread the love

Dibuka dengan eksplorasi muzik Muzza’s & The Velvettones, disusuli ledakan fast-rock Kristal sebelum Wings menutup tirai dengan 15 lagu, sambutan 35 Years, One Legendary Night turut diserikan upacara pemotongan kek oleh Tan Sri Jojo.

Kredit Foto:  Aizuddin

Tiga nama, tiga karakter muzik dan satu legasi yang menyatukan mereka. Hard Rock Cafe Kuala Lumpur (HRC KL) membuktikan pengaruh muzik rock tidak pernah mengenal usia apabila menghimpunkan Muzza’s & The Velvettones, Kristal dan Wings menerusi showcase istimewa 35 Years, One Legendary Night, pada 9 November lalu.

Berlangsung di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, acara yang bermula sekitar jam 9 malam itu bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-35 sebuah premis hiburan ikonik, malah menjadi pentas penghargaan terhadap penggiat muzik yang sekian lama mewarnai landskap hiburan tempatan.

Muzik menjadi bahasa utama malam berkenaan apabila tiga kumpulan dengan pendekatan berbeza bergilir-gilir menguasai pentas, sekali gus menawarkan pengalaman yang merentasi pelbagai generasi penggemar rock.

Muzza’s & The Velvettones diberikan tanggungjawab membuka tirai dengan persembahan yang memperlihatkan kepelbagaian pengaruh muzik mereka.Menerusi 13 lagu, Muzza bukan sahaja mengetengahkan karya sendiri, malah menggabungkan seleksi rock antarabangsa yang cukup berpengaruh.

Antara karya yang dipersembahkan termasuk The Mystical Egypt, Knight Of Cydonia (Muse), Whipping Post (The Allman Brothers), Taman Rashidah Utama (Wings), Tom Sawyer (Rush), Mary On A Cross (Ghost) dan Jump (Van Halen).

Mereka turut mempersembahkan Pinks Have Flown, Bangkitkan Derumannu, Kau Di Hatiku, Kitakan Bersama/Vio Pipe, Runaway dan Bara Jiwa.

Keupayaan menggabungkan komposisi sendiri dengan karya kumpulan antarabangsa memperlihatkan sisi muzik Muzza yang cukup luas, sekali gus memberikan pembukaan bertenaga kepada showcase berkenaan.

Pentas kemudian menjadi milik Kristal yang membawa identiti fast-rock menerusi sembilan lagu pilihan.

Kumpulan yang dianggotai Ewal (vokal), Rody (gitar), Kechiq (bass) dan Acap (dram) itu menghidangkan karya yang cukup dekat dengan peminat seperti Memburu Impian, Bersalin Kulit, Selagi Ada Rindu, Keindahan Pantai, Kemelia  (Sweet Charity) dan Peronda Jaket Biru. Mereka turut menyampaikan Is This Love (WHITESNAKE), Resam Pak Belalang serta Delaila yang melengkapkan persembahan.

Kristal berjaya mengekalkan momentum malam berkenaan dengan pendekatan muzik yang menjadi identiti mereka sejak sekian lama.

Namun, tumpuan utama malam itu sememangnya terarah kepada kemunculan Wings yang mengambil alih pentas sebagai persembahan penutup.

Diketuai vokalis Datuk Awie, Wings membuktikan mengapa mereka terus menjadi antara nama paling berpengaruh dalam arena rock tempatan apabila menyajikan rangkaian 15 lagu yang merentasi katalog muzik mereka.

Anugerah dipilih sebagai pembuka persembahan sebelum momentum diteruskan menerusi Inspirasi Taming Sari, Sekeping Kertas Bermaruah, Kembalilah, Ingatkan Dia dan Bernafas Dalam Lumpur.

Deretan lagu seterusnya menyaksikan Wings mempersembahkan Dubuk Liar, Jumpa Hilang, Awang Trasher, Lipas Kudung, Harapan, Hutan Simpan dan Kuda Tiga Kaki.  Sejati serta Biarkan Berlalu kemudian melengkapkan senarai 15 lagu yang dibawakan kumpulan itu.

Kekuatan Wings bukan sekadar terletak pada populariti lagu, sebaliknya keupayaan karya mereka mengekalkan hubungan emosional dengan pendengar yang membesar bersama muzik kumpulan berkenaan. Setiap lagu membawa sejarah tersendiri, manakala kehadiran Awie di hadapan pentas terus menjadi antara elemen penting yang membentuk karakter persembahan Wings.

Malah, Awie turut mengakui Hard Rock Cafe mempunyai peranan tersendiri dalam perjalanan kerjaya muzik Wings sepanjang berada dalam industri tanah air.

Hubungan antara Wings dan Hard Rock Cafe Kuala Lumpur itu menjadikan persembahan mereka lebih signifikan, apatah lagi sambutan berkenaan turut mengiktiraf perjalanan seni Awie sebagai sebahagian daripada sejarah muzik premis berkenaan.

Di sebalik kemeriahan persembahan muzik, sambutan ulang tahun itu turut diserikan dengan acara simbolik yang cukup bermakna apabila majlis pemotongan kek disempurnakan oleh Pengerusi Pengasas Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir atau lebih dikenali sebagai Tan Sri Jojo.

Detik berkenaan menjadi antara sorotan penting malam sambutan apabila figura yang mempunyai peranan besar dalam membawa jenama Hard Rock Cafe ke Malaysia itu turut meraikan pencapaian 35 tahun premis berkenaan.

Hard Rock Cafe Kuala Lumpur mula membuka pintunya pada 9 November 1991 di Jalan Sultan Ismail dan sejak itu berkembang sebagai antara destinasi hiburan serta lokasi persembahan muzik secara langsung yang cukup dikenali di ibu negara.

Pengurus Besar Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, Ranjit Singh sebelum ini menyifatkan tempoh 35 tahun itu sebagai lebih daripada sekadar perjalanan masa kerana ia mewakili legasi muzik, kenangan dan generasi yang membesar bersama premis berkenaan.

Malah, perjalanan seni Awie turut dianggap mencerminkan perkembangan Hard Rock Cafe Kuala Lumpur sepanjang tempoh tersebut.

Sambutan kali ini turut membawa penghargaan istimewa terhadap sumbangan Awie apabila memorabilia milik vokalis Wings itu diangkat untuk diabadikan dalam koleksi Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.

Tidak ketinggalan, kolaborasi eksklusif bersama Wings menerusi penghasilan kemeja-T edisi terhad sebanyak 500 helai pada harga RM198 turut menjadi sebahagian daripada pengisian ulang tahun berkenaan.

Dianjurkan oleh Rumah Produksi Merah Events (RPM Events) dengan kerjasama Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, 35 Years, One Legendary Night membuktikan bahawa sambutan ulang tahun sesebuah institusi hiburan boleh diraikan melalui pengisian yang mempunyai nilai sejarah dan hubungan erat dengan ekosistem muzik tempatan.

Pengarah Urusan RPM Events, Datuk Eddy Amir Salim sebelum ini menyifatkan penganjuran itu sebagai platform untuk meraikan legasi Hard Rock Cafe Kuala Lumpur serta ikon dan pemuzik tempatan yang telah mewarnai industri muzik selama ini.

Apa yang menjadikan showcase ini menarik ialah kepelbagaian pendekatan muzik yang diketengahkan. Muzza’s & The Velvettones membawa dimensi rock yang lebih eksperimental, Kristal mempertahankan identiti fast-rock, manakala Wings hadir dengan himpunan karya yang sudah sebati dalam sejarah muzik tanah air.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page