August 9, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

“Tak Yah Jauh Ke Indonesia, Kat Malaysia Pun Ada”

Spread the love

Teks:  Hawa / Kredit Foto:  MegatzReview

AVOCake Pukis & Delights Bawa ‘Rasa Indonesia’ Ke Sentul, Sasar Buka Lebih Banyak Cawangan

Kalau teringin menikmati Iga Bakar, Sate Kambing Madura, Nasi Bakar, Batagor, Cireng atau Tempe Mendoan, tetapi tidak berkesempatan terbang ke Indonesia, jangan risau, kini, semua itu boleh dinikmati di Kuala Lumpur.

Bertepatan dengan slogan “Tak Yah Jauh Ke Indonesia, Kat Malaysia Pun Ada”, AVOCake Pukis & Delights Sdn Bhd kini membuka cawangan baharunya di Maxim Citylights, Sentul, Kuala Lumpur.

Cawangan kedua itu dirasmikan hari ini oleh Yang Berhormat Dato’ Syed Azhar Syed Nadzir dalam majlis yang cukup santai namun berprestij.  Turut memeriahkan pembukaan ialah rakan selebriti termasuk Sabrina Ali dan Elly Suriati.

Namun, di sebalik deretan menu yang menggoda selera, kisah AVOCake sebenarnya bermula daripada pengalaman seorang wanita yang menghabiskan tujuh tahun di Indonesia.

Pengasas dan Pengarah AVOCake Pukis & Delights, Dr Shamsiah Yaakob, bukan sekadar mengenali makanan Indonesia menerusi buku atau media sosial.

Beliau pernah menetap di Semarang selama tujuh tahun ketika berkhidmat sebagai pensyarah di Universitas Diponegoro.  Tempoh itu dimanfaatkan untuk mengenali budaya, masyarakat dan, paling penting, kekayaan makanan Indonesia yang begitu luas.

Daripada pengalaman itu, timbul keinginan untuk membawa sebahagian daripada ‘rasa Indonesia’ pulang ke Malaysia.

“Indonesia mempunyai khazanah kulinari yang sangat luas dan setiap daerah mempunyai keistimewaan tersendiri. Melalui AVOCake Pukis & Delights, kami mahu membawa hidangan yang dekat dengan jiwa masyarakat Indonesia untuk dinikmati pelanggan di Malaysia,” katanya.

Impian itu mula diterjemahkan secara serius pada 2025 apabila AVOCake membuka outlet kecil di UTC Ampangan, Seremban.  Sambutan pelanggan yang menggalakkan menyuntik keyakinan untuk mengembangkan perniagaan menerusi pembukaan cawangan di Sikamat, Seremban pada penghujung tahun lalu.

Kini, jenama itu membuat langkah lebih besar dengan membuka cawangan di Sentul.  Menariknya, pembukaan cawangan Kuala Lumpur itu turut mempunyai kisah tersendiri apabila Ibu Ratieh Sanggarwaty Zen, Presiden Komunitas Ibu Cerdas Indonesia (KICI) serta pelabur restoran, berkunjung ke cawangan Sikamat bersama rombongannya.

Pertemuan itu membuka ruang kerjasama yang akhirnya membawa kepada kelahiran cawangan Sentul.

Bagi AVOCake, makanan bukan sekadar soal mengenyangkan perut.  Ia juga menjadi jambatan yang menghubungkan masyarakat Malaysia dan Indonesia.  Sebab itu, pemilihan menu dilakukan dengan teliti bagi memastikan pelanggan dapat menikmati hidangan yang popular di Indonesia tanpa menghilangkan identiti serta rasa asalnya.

Antara yang menjadi pilihan ialah Iga Bakar, Sate Kambing Madura, Nasi Bakar, Cilok, Cireng, Batagor dan Tempe Mendoan.

Tidak ketinggalan pelbagai pilihan manisan dan minuman berasaskan avokado yang menjadi antara keunikan AVOCake.

Pengarah Bersama, Mohd Azri Ahmad Kamil, berkata pihaknya mahu menjadikan cawangan Sentul sebagai lokasi santai untuk keluarga dan rakan-rakan menikmati makanan sambil merasai sedikit suasana Nusantara.

“Kami mahu Sentul menjadi destinasi di mana keluarga dan rakan-rakan boleh berkumpul, menikmati hidangan yang sedap, dan merasai suasana yang mendekatkan kita dengan jiran serantau kita,” katanya.

Pembukaan cawangan Sentul bukan noktah kepada perjalanan AVOCake.  Sebaliknya, jenama itu sudah menyusun langkah seterusnya.

Cawangan ketiga dijadualkan dibuka di Kelana Jaya pada Disember ini, sebelum AVOCake melebarkan sayap ke luar Lembah Klang dengan sasaran memasuki pasaran Melaka dan Batu Pahat, Johor.

Jika perancangan berjalan lancar, tidak mustahil lebih ramai rakyat Malaysia selepas ini dapat menikmati makanan Indonesia tanpa perlu menempuh perjalanan jauh.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page