ASTRO 30 TAHUN: Konsert Sooka dan Vaganza Janjikan Ledakan Muzik

Bunkface, Insomniacks, Kugiran Masdo dan The Lantis gegarkan Konsert Sooka, manakala Ziana Zain, Jaclyn Victor, Noh Salleh serta barisan bintang popular bakal mencipta momen istimewa menerusi Konsert Vaganza.
Tiga dekad bukan tempoh singkat untuk sesebuah jenama menjadi sebahagian daripada denyut nadi industri hiburan tempatan. Justeru, Astro memilih untuk meraikan perjalanan istimewa itu dengan cara paling dekat di hati peminat iaitu muzik, menerusi dua malam konsert yang menjanjikan pengalaman berbeza serta kolaborasi luar biasa.
Bukan sekadar menghimpunkan barisan artis popular, Konsert Sooka pada 5 Disember dan Konsert Vaganza pada 6 Disember 2026 turut membawa misi menghubungkan generasi muzik menerusi karya, persembahan dan nama-nama yang pernah mewarnai perjalanan industri seni tanah air.
Bertemakan One Stage, Three Decades, Endless Memories, kedua-dua konsert itu bakal berlangsung di Idea Live Arena, 3 Damansara, dengan menampilkan dua konsep persembahan yang mempunyai karakter tersendiri.
Perincian penganjuran itu diumumkan pada sidang media yang berlangsung di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur, pada 11 November lalu.
Penyelia Penerbit Eksekutif merangkap Pengarah Konsert Sooka dan Konsert Vaganza, Shaharuddin Mokhtaruddin, berkata kedua-dua acara berkenaan dirangka dengan pendekatan berbeza bagi memberikan pengalaman muzik yang lebih tersusun dan menarik kepada penonton.

Menurutnya, Konsert Sooka memberikan tumpuan kepada kekuatan kumpulan muzik yang mempunyai pengaruh tersendiri dalam kalangan peminat, manakala Konsert Vaganza pula dirancang menerusi konsep kurasi dengan mengetengahkan artis serta karya yang menjadi sebahagian daripada perjalanan 30 tahun Astro.
Membuka tirai pada 5 Disember, Konsert Sooka bakal menghimpunkan empat kumpulan muzik iaitu The Lantis, Insomniacks, Bunkface dan Kugiran Masdo, selain penampilan istimewa Kudrat Boys.
Menariknya, tiga kumpulan berasal dari Malaysia manakala The Lantis dari Indonesia, sekali gus memperlihatkan bagaimana muzik mampu merentasi sempadan negara dan menyatukan peminat menerusi karya yang dekat dengan jiwa pendengar.
Shaharuddin berkata, pemilihan kumpulan terbabit dibuat berdasarkan kekuatan masing-masing dalam segmen muzik tersendiri, selain hubungan yang berjaya dibina dengan kelompok peminat.
Walaupun mempunyai identiti muzik berbeza, keempat-empat kumpulan itu berkongsi satu persamaan apabila karya mereka mempunyai tarikan tersendiri dan mampu menghubungkan pendengar daripada pelbagai latar belakang.
Bagi memastikan perjalanan konsert lebih dinamik, Kudrat Boys akan bertindak sebagai penggerak persembahan dengan mengisi ruang antara kemunculan kumpulan menerusi segmen khas mereka.
Setiap kumpulan pula diperuntukkan sekitar 45 minit untuk mempersembahkan rangkaian lagu pilihan, sekali gus memberikan ruang mencukupi untuk menampilkan identiti dan kekuatan muzik masing-masing.

Bagi Bunkface, peluang kembali beraksi menerusi platform Astro turut membawa makna sentimental apabila stesen penyiaran itu pernah menjadi antara platform penting dalam perjalanan awal kumpulan berkenaan.
Vokalisnya, Sam, mengimbas kembali pengalaman menyertai program Blast Off pada 2005 yang menjadi antara detik penting dalam perjalanan Bunkface sebelum mencipta nama dalam industri muzik tempatan.
Justeru, pembabitan mereka dalam Konsert Sooka bukan sekadar memenuhi undangan persembahan, sebaliknya membawa nilai sentimental apabila dapat kembali bersama platform yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan kerjaya mereka.

Dengan reputasi setiap kumpulan yang mempunyai rangkaian lagu popular dan persembahan bertenaga, malam pertama dijangka menjadi medan singalong besar-besaran buat peminat muzik generasi kini.
Jika Konsert Sooka meraikan kekuatan muzik berkumpulan, Konsert Vaganza pada 6 Disember pula menjanjikan pengalaman lebih eksklusif menerusi gabungan penyanyi berpengalaman dan bakat baharu.
Pendekatan konsert ini lebih terarah menerusi konsep kurasi yang mengangkat perjalanan tiga dekad Astro bersama artis serta karya yang mempunyai hubungan tersendiri dengan platform berkenaan.
Menurut Shaharuddin, keseluruhan persembahan akan dipimpin maestro muzik, Datuk Ramli MS yang bertanggungjawab memberikan sentuhan tersendiri terhadap susunan muzik, sekali gus memastikan setiap segmen mempunyai kesinambungan dan identiti tersendiri.
Antara tarikan utama ialah duet Datuk Ziana Zain bersama juara Big Stage Rocketfuel, Hussain, yang bakal mempertemukan pengalaman seorang penyanyi legenda dengan bakat generasi baharu.

Lebih istimewa, Jaclyn Victor bakal bergandingan dengan Datuk Ramli MS dalam satu segmen khas yang menampilkan hampir 20 lagu, sekali gus menjanjikan persembahan yang menonjolkan kekuatan vokal serta kehebatan susunan muzik.
Malam itu turut menyaksikan pertemuan pertama Tenxi dan Nadeera di atas pentas menerusi sebuah persembahan duet, selain penampilan Tenxi bersama artis tempatan dalam sebuah konsert.
Keistimewaan persembahan turut diperkaya menerusi sentuhan Datuk Ramli MS yang bakal menerajui susunan muzik bagi lagu-lagu hit ALPHA dan karya Noh Salleh.
Tidak ketinggalan, elemen Girls Power bakal menyerikan pentas menerusi gabungan Mimi Fly bersama The Girls yang terdiri daripada Odda, Amarra dan Tengku Ratu.
Penonton juga bakal menyaksikan Hussain dan ALPHA kembali bergabung dalam satu pentas, menghimpunkan dua nama yang mencuri perhatian sepanjang tahun ini.
Secara keseluruhan, Konsert Vaganza bakal menampilkan lebih 30 lagu sepanjang tiga jam persembahan, menggabungkan kekuatan vokal, kepelbagaian genre dan kolaborasi yang jarang dapat disaksikan dalam satu acara.
Dua malam berkenaan bukan sekadar menjadi medan hiburan, sebaliknya manifestasi perjalanan tiga dekad Astro dalam membangunkan bakat, memperkenalkan karya serta menyatukan peminat muzik daripada pelbagai generasi.
Bagi peminat yang mahu menjadi sebahagian daripada sambutan istimewa itu, tiket Konsert Sooka dan Konsert Vaganza kini boleh didapati menerusi Ticketmelon di https://www.ticketmelon.com/astro/konsert.
