Atta Rumnan Bawa Nama Malaysia Ke Pentas Indonesia

Penyanyi muda Malaysia, Atta Rumnan, 19, terus mengukuhkan langkah dalam industri muzik serantau apabila menjadi satu-satunya wakil Malaysia membuat persembahan di Remember Fest di Indonesia sebelum menerima undangan khas penyanyi tersohor negara itu, Dato’ Sri Rossa, untuk berduet dengannya di Sabah.
Peluang berkongsi pentas bersama Rossa itu hadir selepas Atta bertemu penyanyi berkenaan di belakang pentas Remember Fest, yang menghimpunkan barisan artis legenda dan generasi baharu industri muzik Indonesia.
Antara artis yang turut membuat persembahan pada festival itu ialah Padi Reborn, Dewa 19, Rossa, Aldi Taher dan Ada Band, selain Tulus, Fest, Hindia, Mahalini dan Sal Priadi.
Pertemuan tersebut membuka peluang istimewa buat Atta apabila Rossa sendiri mengundangnya untuk tampil bersama dalam sebuah acara seni di Sabah.
Tanpa banyak masa untuk membuat persiapan, Atta bergegas dari Jakarta ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Sabah bagi memenuhi undangan berkenaan.
Lebih mencabar, kedua-dua penyanyi itu tidak berkesempatan menjalani latihan bersama sebelum persembahan, dengan Atta hanya sempat mengikuti sesi pemeriksaan bunyi bersama barisan pemuzik pengiring Rossa.

Bagaimanapun, kekangan persiapan itu tidak menghalang penyanyi berusia 19 tahun berkenaan daripada memberikan persembahan yang mendapat sambutan positif di hadapan tetamu kenamaan, barisan VIP dan penonton.
Antara yang hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Shaharuddin, serta Menteri Belia dan Sukan Sabah, Dato’ Nizam.
Pada persembahan itu, Atta membawakan beberapa lagu termasuk Kasih Tak Sampai, lagu berbahasa Mandarin Wo Men Bu Yi Yang dan single terbaharunya, Maafkan.
Keupayaannya berkomunikasi dan menyampaikan lagu dalam bahasa Mandarin turut menyerlahkan kelebihan tersendiri penyanyi muda itu dalam mendekati pendengar daripada pelbagai latar belakang.
Persembahan berkenaan turut mendapat pujian daripada Rossa yang menyampaikan penghargaan menerusi ruangan komen pada hantaran media sosial Atta.
“Atta, you did great. Thank you for saying yes to the duet,” tulis Rossa.
Pujian terbuka daripada penyanyi berpengalaman itu menjadi satu pengiktirafan bermakna buat Atta, selain suntikan semangat untuk terus mengembangkan kerjaya muziknya di peringkat serantau.
Dua pengalaman di pentas berbeza itu membuka ruang buat Atta untuk menimba pengalaman bersama nama besar industri muzik Indonesia, sekali gus memperkenalkan bakatnya kepada khalayak lebih luas.
Dengan keupayaan vokal, penguasaan pelbagai bahasa dan pengalaman membuat persembahan di luar negara, Atta kini berpeluang membina nama bukan sahaja dalam industri muzik tempatan, malah di pasaran Indonesia dan rantau ini.
