August 10, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

17 Tahun Berlalu, T-ARA Masih ‘Raja’ Di Hati Queens

Spread the love

T-ARA Buktikan Aura Mereka Belum Pudar, Megastar Arena Bergema Dengan Sorakan Peminat

Teks/Foto:  Hawa

Tujuh belas tahun bukan tempoh yang singkat, namun masa ternyata gagal memadamkan aura kumpulan K-pop popular Korea Selatan, T-ARA, apabila kemunculan mereka di Megastar Arena, malam tadi, disambut dengan sorakan luar biasa daripada Queens Malaysia.

Menampilkan empat anggota, Qri, Eunjung, Hyomin dan Jiyeon, T-ARA tampil menerusi T-ARA FANCON IN MALAYSIA (SUMMER AGAIN) yang bukan saja menjadi pertemuan istimewa dengan peminat, malah mencatat sejarah sebagai fan-konsert solo pertama kumpulan itu di Malaysia.

Bermula jam 5 petang, acara anjuran T-Rex Studio itu bertukar menjadi pesta nostalgia apabila ribuan peminat memenuhi ruang acara dengan laungan nama anggota T-ARA sebaik sahaja mereka muncul di pentas.

Jeritan peminat semakin menggila apabila T-ARA membuka persembahan dengan rangkaian lagu popular mereka, termasuk Number 9, yang membuatkan seluruh arena seolah-olah kembali ke zaman kegemilangan K-pop.

Tidak hanya bergantung kepada nostalgia, T-ARA membuktikan mereka masih mampu menguasai pentas menerusi persembahan bertenaga, gerak tari kemas dan vokal yang mantap.

Kemunculan Sexy Love dan Bo Peep Bo Peep pula menjadi antara kemuncak acara apabila Queens tanpa dipinta turut menyanyi dan menari bersama. Namun, kekuatan fan-con ini bukan hanya terletak pada persembahan pentas.

Sebaliknya, hubungan rapat antara T-ARA dan Queens turut terserlah menerusi sesi interaksi yang berlangsung dalam suasana cukup santai dan mesra.

Antara momen yang mencuri perhatian apabila Eunjung mendedahkan kecintaannya terhadap minuman popular Malaysia.

“Saya sangat menyukai teh tarik! Malaysia mempunyai milk tea yang terbaik!” katanya, yang disambut sorakan serta gelak tawa peminat.

Keempat-empat anggota turut memuji sikap masyarakat Malaysia yang disifatkan mereka sebagai ramah dan sentiasa murah dengan senyuman.

Menurut mereka, keramahan rakyat Malaysia menjadi antara pengalaman yang paling menyentuh hati sepanjang berada di negara ini.

Momen fan-con bertambah meriah apabila beberapa Queens bertuah dipilih menyertai aktiviti di pentas bersama anggota T-ARA.  Mereka berpeluang bergambar dan membuat pose hati bersama Qri, Eunjung, Hyomin dan Jiyeon. Pengalaman yang pastinya menjadi memori paling manis buat peminat terpilih.

Aktiviti Dance Challenge turut mencetuskan suasana gamat apabila anggota T-ARA dan peminat sama-sama menunjukkan aksi tarian, sekali gus memperlihatkan sisi spontan dan bersahaja kumpulan berkenaan.

Meskipun sudah 17 tahun berkarier, T-ARA jelas masih mempunyai kuasa untuk membuatkan ribuan peminat menjerit, menyanyi dan tersenyum dalam satu malam.

Menjelang penghujung acara, suasana bertukar lebih emosional apabila T-ARA merakamkan penghargaan kepada Queens Malaysia yang tidak pernah berhenti menyokong mereka.

Mereka turut menyatakan harapan untuk kembali ke Malaysia dan bertemu peminat menerusi persembahan lebih besar pada masa depan.

Bagi Queens yang hadir, T-ARA FANCON IN MALAYSIA (SUMMER AGAIN) bukan sekadar sebuah acara hiburan. Ia adalah pertemuan semula selepas penantian panjang dan sambutan terhadap 17 tahun perjalanan sebuah kumpulan yang pernah menjadi fenomena global.

T-ARA mungkin sudah melalui pelbagai fasa dalam perjalanan kerjaya mereka, namun satu perkara jelas iaitu cinta Queens Malaysia terhadap mereka masih belum berakhir.

Malam itu ditutup dengan satu ungkapan yang cukup menggambarkan hubungan antara T-ARA dan peminatnya:

“East or West, wherever you go, we will always be with you! TIAMO — Queens.”


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page