August 9, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Satira Bermula, Mattra Kembali Kepada Akar

Spread the love

Teks: Azril Rahab
Foto: Mattra

Lebih dua dekad mengharungi dunia muzik underground, Mattra akhirnya kembali dengan sebuah pernyataan yang cukup jelas dimana mereka pulang ke akar, kembali kepada Thrash Metal.

Bukan sekadar menghasilkan album sulung, Satira Bermula menjadi simbol perjalanan panjang sebuah kumpulan yang pernah melalui perubahan anggota, eksperimen genre, tempoh senyap, kekangan kewangan serta pelbagai cabaran sebagai band independen.

Bermula dengan nama Fearless sekitar 2003, perjalanan Mattra bermula di Tas Studio, Kompleks Teruntum, Kuantan, Pahang sebelum mereka memperkenalkan demo Bebaskan Mereka! pada 2008, diikuti split single Memori Silam (2011) dan EP Suara (2013).

Selepas melalui pelbagai fasa, Mattra akhirnya memilih untuk kembali kepada bunyi yang menjadi akar mereka iaitu Thrash metal.

Bagi Mattra, Thrash bukan sekadar genre muzik, sebaliknya sebuah sikap berani, lantang, jujur dan penuh tenaga.  Itulah semangat yang cuba dihidupkan semula menerusi Satira Bermula.  Namun kepulangan itu bukan semata-mata usaha mengulang nostalgia.

Sebaliknya, Mattra mengambil semangat lama dan mengolahnya berdasarkan pengalaman serta kematangan yang dikumpul sepanjang lebih 20 tahun perjalanan.  Riff agresif, tenaga keras, korus yang mudah melekat dan lirik bermesej menjadi antara ramuan utama album terbabit.

Pada masa sama, Mattra tidak mengehadkan diri kepada Thrash semata-mata apabila turut menyelitkan elemen Punk, Groove, Progressive, Heavy, Crossover dan Rock Steady.

Mengandungi 10 lagu, Satira Bermula memperlihatkan sisi Mattra yang pelbagai tanpa mengorbankan identiti mereka.

Album dibuka dengan Hidup Thrash, sebuah deklarasi kebangkitan semula semangat Thrash dalam diri kumpulan itu.  Kemudian hadir Syndrom yang bergerak dalam ruang Crossover Metal menerusi gabungan Thrash, Groove dan Progressive.  Liriknya pula menyentuh rasa tidak puas hati terhadap sistem serta pemimpin yang korup.

Berbeza pula dengan Gitar Aku Dan Dia yang tampil sebagai Power Ballad/Slow Rock.  Lagu berkenaan membawa kisah peribadi Waz bersama Mattra, termasuk pengalaman pahit apabila pernah disingkirkan daripada kumpulan yang diasaskannya sendiri.

Sementara itu, Jaguh Jalanan menghidupkan kembali lagu lama dari era Bebaskan Mereka! menerusi rakaman baharu.  Masih membawa semangat Thrash Speed Metal, lagu berkenaan menyampaikan mesej kepada pelumba haram supaya tidak mempertaruhkan nyawa melalui tindakan tidak bertanggungjawab.

Kerahan pula mempunyai sejarah tersendiri apabila asalnya merupakan lagu kumpulan Punk Rock dari Kuantan, Molotov. Mattra memberikan nafas baharu kepada karya ciptaan gitaris Molotov, Ya Thora, yang membawa tema antipeperangan.

Kemudian hadir Pejamkan Mata yang memperlihatkan sisi berbeza Mattra.  Berteraskan Rock Steady, lagu itu mungkin kedengaran sedikit asing jika dibandingkan dengan imej Thrash mereka, namun di situlah terletaknya keunikan album ini.

Di sebalik muzik keras, masih ada ruang untuk sisi lembut dan persoalan ketuhanan.  Satu Irama pula menjadi antara karya paling peribadi kerana mengisahkan perjalanan Mattra sendiri.  Ia seolah-olah menjadi biografi kumpulan yang merangkum pengalaman, perubahan dan segala liku yang mereka tempuhi.

Jiwa Bangsa tampil menerusi pendekatan Punk Metal.  Lagu ciptaan bekas gitaris Mattra, Joe Mimi, dengan lirik tulisan Ahmad Nizam itu membawa semangat patriotik serta kecintaan terhadap negara.

Tidak kurang menarik ialah Anthem Ola Ale yang mempunyai kisah tersendiri.  Lagu itu pada asalnya ditulis selepas Mattra menerima tawaran daripada kumpulan ultras bola sepak Pahang, Elephant Army, untuk menghasilkan lagu tema bola sepak negeri berkenaan.

Bagaimanapun, projek itu tidak diteruskan berikutan masalah dalaman kumpulan pada ketika itu.  Mattra kemudiannya mengubah suai lagu terbabit supaya dapat diterima secara lebih umum oleh peminat bola sepak seluruh negara.

Dengan campuran Thrash, Punk dan Groove Metal, Anthem Ola Ale dilihat mempunyai potensi besar untuk menjadi antara lagu yang lebih rancak apabila dipersembahkan secara langsung.

Album ditutup dengan Nerakka, sebuah karya Crossover Metal yang menggabungkan elemen Thrash, Heavy dan Groove Metal. Liriknya pula membawa pendengar kepada gambaran kesakitan serta seksaan neraka.

Sepuluh lagu, sepuluh pendekatan dan sepuluh cerita.  Itulah antara kekuatan Satira Bermula.  Satu lagi perkara yang cukup menonjol dalam album ini ialah penggunaan Bahasa Melayu dalam keseluruhan lirik.

Karat Dekoh Festival di perkarangan Stadium Darul Makmur pada 6 Jun 2026

Bagi Mattra, bahasa sendiri bukan sekadar pilihan, sebaliknya sebahagian daripada identiti.  Mereka percaya muzik Metal bersifat universal, namun mesej yang disampaikan dalam bahasa yang dekat dengan pendengar mampu memberikan kesan lebih kuat.

Daripada kritikan sosial, kehidupan, kemanusiaan dan perjuangan hinggalah patriotisme, emosi serta persoalan ketuhanan, Mattra membuktikan Bahasa Melayu mampu menjadi medium yang cukup kuat dalam muzik Metal.

Mereka tidak mahu dikenali hanya menerusi riff dan genre.  Sebaliknya, Mattra mahu pendengar mengenali siapa mereka menerusi bahasa, pemikiran dan identiti yang dibawa.

Nama Mattra sendiri mempunyai falsafah tersendiri.  Menurut Waz, nama berkenaan diambil daripada Bahasa Sanskrit dan membawa maksud berkaitan “tekanan irama”, yang dalam konteks muzik moden lebih hampir kepada konsep time signature.

Bagi kumpulan yang menjadikan riff dan ritma sebagai nadi muzik, maksud tersebut cukup bertepatan.  Ia menggambarkan tenaga, ketepatan, disiplin dan kesatuan yang diperlukan dalam perjalanan sebuah kumpulan.  Walaupun sudah melalui perubahan anggota dan arah muzik, rentak perjuangan Mattra masih diteruskan.

Mattra juga tidak mahu menjadi kumpulan yang sekadar mengikut arus.  Imej klasik Metal, muzik agresif, persembahan bertenaga dan lirik bermesej antara elemen yang mahu mereka pertahankan.

Bagi mereka, identiti paling besar adalah apabila pendengar mampu mengenali lagu tanpa perlu melihat nama kumpulan.  Jika seseorang mendengar riff dan terus berkata, “Ini mesti Mattra”, itu sudah menjadi satu bentuk kejayaan.  Kerana dalam dunia underground, populariti bukan segala-galanya. Yang lebih penting ialah kemampuan membina identiti yang kekal dan tidak mudah hilang ditelan masa.

Lebih dua dekad bukan tempoh yang singkat.  Mattra melalui perubahan anggota, perubahan muzik, tempoh senyap, masalah komitmen, kekangan kewangan dan cabaran bergerak sebagai sebuah band independen.

Line-up semasa menyaksikan Waz menggalas tugas gitar dan vokal, Freeze sebagai gitar utama serta vokal sokongan, Rooz di posisi dram, manakala bahagian bass menggunakan khidmat pemuzik session buat masa ini.

Kehadiran semula Freeze juga mengembalikan sedikit nostalgia era awal Mattra selepas dia kembali menyertai kumpulan itu sejak era demo Bebaskan Mereka!.  Namun pengalaman panjang tidak bermakna mereka terlepas daripada masalah.

Gangguan teknikal di pentas, perubahan anggota dan persediaan pada saat akhir antara pengalaman yang pernah dilalui.  Daripada semua itu, Mattra belajar satu perkara dimana bakat sahaja tidak mencukupi.  Kesabaran, disiplin, keikhlasan dan kesungguhan untuk terus berkarya jauh lebih penting.

Maskot Mattra Gempita

Dalam dunia muzik yang kini dikuasai Spotify, YouTube dan Apple Music, Mattra masih melihat keluaran fizikal seperti CD, kaset dan vinyl sebagai sesuatu yang mempunyai nilai tersendiri.

Bagi mereka, produk fizikal bukan sekadar medium mendengar muzik.  Ia adalah dokumentasi, ia adalah koleksi.  Malah, ia menjadi sebahagian daripada sejarah sesebuah band.

Kulit album, lirik, kredit rakaman dan keseluruhan pakej fizikal memberikan pengalaman berbeza berbanding sekadar menekan butang play di platform penstriman.  Streaming memang membantu karya sampai kepada lebih ramai pendengar, tetapi keluaran fizikal membolehkan sesebuah karya disimpan, disentuh dan dikenang.

Dalam budaya Metal pula, pemilikan fizikal sering menjadi salah satu bentuk sokongan terus kepada sesebuah kumpulan.

Menariknya, Satira Bermula mengambil masa kira-kira lima tahun untuk disiapkan, merangkumi proses penulisan dan rakaman.  Pendekatan DIY, penggunaan kewangan sendiri serta tempoh pandemik COVID-19 antara faktor yang menyebabkan proses pembikinan album itu mengambil masa panjang.

Namun mungkin tempoh itulah yang menjadikan Satira Bermula lebih bermakna.  Ia bukan album yang dilahirkan secara tergesa-gesa, Ia lahir daripada pengalaman.  Daripada perubahan, daripada jatuh dan bangun dan daripada sebuah kumpulan yang pernah berubah arah sebelum akhirnya memilih untuk kembali ke tempat asal yang membentuk identiti mereka.

Satira Bermula akhirnya menjadi dokumentasi tentang siapa Mattra pada hari ini, sebuah kumpulan yang masih percaya kepada muzik keras, lirik Bahasa Melayu, identiti sendiri dan semangat underground.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page