November 7, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Bisikan Bawa Seram Ke Dimensi Berbeza

Spread the love

Gabungan elemen mistik dan ‘horror of truth’ jadi taruhan Opie Zami, kisah diinspirasikan realiti kehidupan manusia bakal menemui penonton 19 November ini

Bukan semua ketakutan berpunca daripada sesuatu yang tidak terlihat, malah ada kalanya realiti kehidupan manusia sendiri mampu meninggalkan kengerian yang jauh lebih mendalam.

Bersandarkan perspektif itu, filem seram thriller terbitan D’Alpha Legacy Production, Bisikan, tampil dengan pendekatan berbeza menerusi konsep ‘double horror’ yang menggabungkan elemen mistik dan ‘horror of truth’ bagi membawa penonton menyelami dimensi ketakutan yang lebih luas.

Karya arahan Opie Zami itu bukan sekadar mempertaruhkan kejutan dan elemen seram untuk mencetuskan debaran, sebaliknya turut mengajak penonton menyelami misteri, konflik kekeluargaan serta rahsia tersembunyi yang mampu mengubah kehidupan seseorang.

Filem berkenaan turut menampilkan gandingan pelakon popular tanah air iaitu Iman Zulkarnain, Azhan Rani, Vanida Imran, Fatin Afeefa, Altimet dan Puteri Rayyana.

Penerbitnya, Nur A’minahtul Mardiah Md Nor berkata, konsep ‘double horror’ menjadi identiti utama Bisikan kerana mahu menawarkan pengalaman seram yang bukan hanya bergantung kepada elemen mistik, tetapi turut menyentuh sisi gelap realiti kehidupan manusia.

Menurutnya, penonton bakal dibawa mempersoalkan punca sebenar ketakutan yang dialami manusia, sama ada disebabkan sesuatu yang benar-benar wujud atau perkara yang gagal difahami.

“Adakah kita takut kerana sesuatu itu benar-benar wujud atau kerana kita tidak memahami apa yang sedang berlaku? Saya percaya ‘double horror’ adalah elemen yang belum pernah ditampilkan dalam mana-mana filem di Malaysia. Menerusi elemen itu, penonton akan dapat melihat dan merasai kesannya selepas 30 minit pertama filem ini.

“Pada masa sama, filem ini turut membawa elemen hubungan kekeluargaan, kasih sayang, kehilangan dan ketakutan manusia terhadap perkara yang tidak mampu mereka kawal,” katanya.

Menariknya, idea menghasilkan filem itu turut dipengaruhi pengalaman Nur A’minahtul Mardiah ketika berkhidmat sebagai Timbalan Pendakwa Raya dan Majistret.

Sepanjang menjalankan tugas berkenaan, beliau berdepan pelbagai kisah kehidupan manusia, termasuk pengalaman menyedihkan serta kejadian jenayah yang sukar diterima akal.

Pengalaman itu membuka perspektifnya bahawa setiap manusia mempunyai luka tersendiri, sama ada yang dizahirkan kepada orang lain mahupun dipendam bertahun-tahun sehingga tanpa disedari terus mempengaruhi kehidupan.

Justeru, ungkapan ‘Luka Yang Berbisik’ turut dijadikan sebahagian daripada identiti filem berkenaan.

“Saya mula sedar ketakutan manusia bukan hanya datang daripada perkara mistik atau sesuatu yang tidak dapat dilihat, tetapi kadangkala realiti kehidupan itu sendiri jauh lebih menakutkan. Saya mula terfikir bagaimana kalau kita menghasilkan sebuah filem seram yang bukan sekadar membuatkan orang takut, tetapi turut mengajak mereka berfikir.

“Bagi saya, filem ini mengenai manusia, ketakutan dan perkara yang mungkin tidak pernah kita fahami sepenuhnya,” katanya.

Di sebalik konsep penceritaan yang diketengahkan, perjalanan menghasilkan Bisikan turut menyimpan kisah tersendiri apabila filem pertama terbitannya itu mengambil masa enam tahun sebelum akhirnya bersedia menemui penonton.

Dengan kos penerbitan mencecah RM1.5 juta, penggambaran filem berkenaan sebenarnya sudah diselesaikan pada 9 Ogos 2020 di sebuah rumah di Kuantan.

Bagaimanapun, pandemik COVID-19 yang melanda ketika itu menyebabkan perancangan asal terpaksa ditangguhkan sebelum produksi berdepan masalah aset imej janaan komputer (CGI) dan kekurangan dana untuk meneruskan proses pascapenerbitan.

Lebih mencabar, kira-kira 80 peratus kandungan filem berkenaan membabitkan penggunaan CGI. Nur A’minahtul Mardiah berkata, pihaknya kemudian menerima dana pascapenerbitan sebanyak RM300,000 daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) ketika projek itu hampir tidak dapat diteruskan.

Namun, kelewatan menyiapkan filem berkenaan turut menyebabkan pihaknya berdepan tindakan saman daripada pelabur sebelum kes itu akhirnya selesai pada Jun 2026.

Mengimbas kembali tempoh sukar itu, beliau mengakui pernah menangis memikirkan cara untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang timbul sepanjang perjuangan menyiapkan filem berkenaan. Malah, beliau memilih untuk tidak menuding jari kepada mana-mana pihak, sebaliknya menjadikan pengalaman itu sebagai ujian yang perlu ditempuhi.

Pada Mac 2025, beliau berangkat ke Tanah Suci Makkah dan berdoa di hadapan Kaabah agar dipertemukan dengan individu yang ikhlas membantu meneruskan perjuangan menyiapkan Bisikan.

“Saya banyak menangis pada waktu malam kerana memikirkan bagaimana mahu menyelesaikan semua masalah ini.

“Saya berdoa di depan Kaabah dan meminta Allah SWT menjauhkan saya daripada mereka yang mahu mengambil kesempatan atas kesusahan dalam menyiapkan filem Bisikan, selain menemukan saya dengan orang baik yang dapat bersama-sama dalam perjuangan ini. Alhamdulillah, Allah tunaikan,” katanya.

Sementara itu, filem Bisikan turut diraikan menerusi majlis malam perdana yang berlangsung pada 6 November lalu sebagai antara langkah memperkenalkan karya berkenaan menjelang tayangan komersialnya.

Selain penampilan khas Altimet dalam filem itu, penyanyi rap berkenaan turut bergandingan dengan Mimi Fly menerusi lagu runut bunyi rasmi berjudul Hujan.

Sebelum ini, Nur A’minahtul Mardiah turut menerbitkan beberapa karya lain termasuk filem thriller Eva, supertele Kelaster dan Korsakoff untuk Astro First serta Frontliner yang disiarkan menerusi Netflix.

Bisikan dijadualkan menemui penonton di 70 pawagam seluruh Malaysia bermula 19 November ini.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page