Ikmal Hakimie Mahu Noda Cinta Tembus Jiwa Pendengar

Vokal serak-serak basah jadi taruhan penyanyi dan pempengaruh TikTok itu menerusi single rock balada moden ciptaan Dearlynnns dan Yazz Abdullah
Bukan sekadar mahu menghasilkan sebuah lagu baharu, penyanyi dan pempengaruh media sosial TikTok, Ikmal Hakimie, berharap single terbaharunya, Noda Cinta, mampu menyentuh emosi serta meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa pendengar.
Membawakan genre rock balada moden, lagu ciptaan Dearlynnns dan Yazz Abdullah dengan gubahan Tam Ali itu mengangkat kisah cinta yang berakhir dengan kekecewaan, kehancuran harapan serta luka akibat kehilangan insan tersayang.
Diterbitkan menerusi kerjasama Luncai Emas Sdn Bhd dan Myoozikwav Entertainment, Noda Cinta turut mengetengahkan keistimewaan vokal Ikmal yang memiliki karakter serak-serak basah, sekali gus memberikan warna tersendiri kepada karya berkenaan.
Bagi Ikmal, atau nama sebenarnya Muhammad Hikmal Hakimie, peluang merakamkan single itu cukup bermakna, apatah lagi selepas sekian lama menantikan karya yang benar-benar sesuai dengan jiwa dan karakter nyanyiannya.
“Semestinya saya berasa sangat gembira dan teruja apabila diberikan peluang mengeluarkan single baharu serta dapat menyanyikan lagu sehebat ini.
“Pada saya, lagu ini memang kena dengan jiwa saya dan sudah lama saya menantikan lagu seperti ini,” katanya.
Kemunculan Noda Cinta juga menjadi antara langkah penting dalam perjalanan seni Ikmal selepas single Dalam Aku Ada Kamu yang dilancarkan pada 2022.
Menurut komposernya, Dearlynnns, karakter serta ton suara Ikmal menjadi antara kekuatan utama dalam memastikan mesej dan emosi lagu itu dapat disampaikan dengan berkesan.
Katanya, keistimewaan vokal serak-serak basah Ikmal memberikan sentuhan tersendiri terhadap garapan melodi dan lirik, sekali gus menjadikan lagu berkenaan lebih padu serta menusuk kalbu.
“Beliau juga seorang yang memang menjadikan nyanyian sebagai sebahagian daripada rutin hariannya. Jadi, sentuhan penghayatan yang diletakkan dalam lagu ini terasa begitu natural,” katanya.
Bakat seni Ikmal juga bukan sesuatu yang asing memandangkan beliau datang daripada keluarga seni dan mempunyai pertalian sepupu dengan penyanyi Osama Yamani, Zaki Yamani serta Hussain.
Bagi memperkukuhkan lagi penghayatan terhadap lagu itu, sebuah video muzik rasmi turut dihasilkan dengan mengetengahkan visual dramatik dan menyentuh perasaan, selari dengan tema kekecewaan serta kehancuran harapan yang menjadi inti pati Noda Cinta.
Noda Cinta kini boleh didengari menerusi pelbagai platform penstriman muzik digital termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan KKBOX.
Video muzik rasmi lagu itu pula boleh ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas dan Myoozikwav Entertainment.
