‘Cak Cak Cekuk’ Jadi Taruhan Wani Kayrie Tawan Pentas Antarabangsa

Selepas mencuri perhatian di AJL40, Wani dipilih RTM sebagai wakil tunggal Malaysia ke ABU Song Festival ke-15 di Colombo, Sri Lanka.
Selepas mencuri perhatian menerusi lagu Cak Cak Cekuk di pentas Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), penyanyi Wani Kayrie kini menggalas misi lebih besar apabila bakal membawa karya berteraskan identiti muzik tempatan ke pentas antarabangsa.
Wani dipilih Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai wakil tunggal negara ke ABU Song Festival ke-15 yang berlangsung di Colombo, Sri Lanka, pada 2 November ini.
Pemilihan itu bukan sahaja menjadi pengiktirafan terhadap perkembangan kerjaya seninya, malah membuka ruang buat penyanyi berkenaan memperkenalkan keunikan muzik dan budaya Malaysia kepada khalayak antarabangsa.
Lebih bermakna, lagu Cak Cak Cekuk yang sebelum ini membawanya ke pentas akhir AJL40 bakal dipersembahkan kepada penonton antarabangsa menerusi versi persembahan AJL40.
Penyertaan itu sekali gus menjadi kesinambungan perjalanan lagu berkenaan yang menggabungkan elemen tradisional dan moden dalam satu karya dengan identiti tersendiri.
Mengulas pemilihannya, Wani menyifatkan peluang berkenaan sebagai satu penghormatan besar, apatah lagi apabila diberikan kepercayaan untuk membawa nama Malaysia di festival muzik berprestij itu.

“Saya berasa sangat bangga kerana dipilih mewakili Malaysia tahun ini. Saya tahu pemilihan seperti ini mengambil kira pencapaian tertentu seseorang artis, jadi saya menganggapnya sebagai satu peluang dan penghargaan yang sangat istimewa daripada RTM.
“Saya berharap peluang ini dapat membantu saya mengetengahkan bakat yang ada, di samping membawa keunikan budaya kita ke peringkat antarabangsa.
“Saya mahu penonton di sana melihat keistimewaan muzik dan budaya Malaysia menerusi persembahan yang akan saya bawakan,” katanya.
Bagi memastikan identiti tempatan terus terserlah, Wani memilih untuk mengekalkan konsep asal Cak Cak Cekuk seperti yang dipersembahkan di AJL40, dengan beberapa penambahbaikan dari segi koreografi dan penampilan.
Wani yang berangkat ke Colombo pada 30 Oktober lalu dan berada di Sri Lanka sehingga 3 November turut menjalani persiapan khusus bagi menyesuaikan persembahan dengan pentas antarabangsa.

“Persiapan kali ini boleh dikatakan sederhana kerana kami masih mengekalkan konsep Cak Cak Cekuk seperti di AJL40. Cuma, terdapat perubahan dari segi gerak tari persembahan, kostum penari dan pakaian saya.
“Bagi saya, penting untuk mengekalkan identiti lagu ini sambil memberikan sentuhan yang bersesuaian dengan pentas antarabangsa. Saya berharap gabungan muzik, penampilan dan warna yang diketengahkan dapat menyerlahkan budaya Malaysia dengan cara yang menarik,” jelasnya.
Sementara itu, Ketua Rocketfuel Entertainment, Mathan Rajasingam, turut melahirkan rasa bangga atas pemilihan Wani, sekali gus menyifatkannya sebagai peluang penting untuk memperluas pengiktirafan terhadap bakat tempatan.
“Kami amat berbangga apabila Wani diberikan kepercayaan untuk mewakili Malaysia di ABU Song Festival ke-15.
“Peluang ini bukan sahaja menjadi satu pencapaian bermakna buat dirinya, malah membuka ruang untuk memperkenalkan keunikan muzik dan budaya Malaysia kepada khalayak antarabangsa.
“Kami berharap Wani dapat memanfaatkan pengalaman ini sebaik-baiknya dan tampil dengan persembahan yang membanggakan. Sebagai sebuah label hiburan yang komited dalam membangunkan bakat tempatan, Rocketfuel Entertainment akan terus menyokong usaha artis di bawah naungannya untuk berkembang dan meneroka peluang yang lebih luas,” katanya.
ABU Song Festival menghimpunkan artis dari rantau Asia Pasifik bagi meraikan kepelbagaian muzik dan budaya menerusi persembahan yang mencerminkan identiti negara masing-masing.
Dengan Cak Cak Cekuk sebagai taruhan, Wani bukan sekadar membawa sebuah lagu ke pentas antarabangsa, sebaliknya turut mengangkat warna dan keunikan budaya Malaysia untuk diperkenalkan kepada dunia.
Dalam perkembangan lain, Cak Cak Cekuk Versi AJL kini boleh distrim menerusi semua platform digital sejak 16 Oktober lalu.
