November 4, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Dua Dekad IFF Angkat Fesyen Islam Ke Pentas Dunia

Spread the love

Raja Rezza Shah kekalkan identiti festival, perkasa fesyen sopan dan raikan kepelbagaian warisan budaya menerusi edisi ke-20 bertemakan Peranakan

Bermula dengan visi mengangkat fesyen Islam ke pentas antarabangsa, Islamic Fashion Festival (IFF) kini melakar perjalanan dua dekad sebagai platform yang bukan sahaja memperjuangkan nilai kesopanan, malah menyatukan kreativiti, identiti dan kepelbagaian budaya menerusi dunia fesyen.

Pengasas dan Pengerusinya, YBM Tengku Sri Kelana D’Raja, Profesor Adjung Dato’ Sri Raja Rezza Shah berkata, keupayaan IFF bertahan selama 20 tahun banyak bergantung kepada identiti tersendiri yang dipertahankan sejak festival itu diperkenalkan pada 2006, selain keberanian melakukan pembaharuan bagi memastikan penganjurannya terus relevan.

Menurutnya, setiap edisi perlu mempunyai kelainan menerusi pemilihan tema, lokasi dan pendekatan supaya IFF tidak sekadar menjadi acara tahunan, sebaliknya terus menawarkan pengalaman baharu kepada pereka serta pengunjung.

“Pada saya, apa-apa acara sekalipun perlu mempunyai keistimewaan atau identiti tersendiri. Apabila saya memulakan IFF pada 2006, mungkin belum banyak platform seumpamanya yang memberi tumpuan khusus kepada fesyen Islam.

“Saya juga sentiasa peka dengan perubahan. Walaupun kita membawa konsep fesyen Islam, setiap tahun saya memperkenalkan tema berbeza, menukar lokasi dan melakukan pembaharuan,” katanya ketika ditemui pada sidang media IFF Kuala Lumpur 2026 di Peranakan Place, Petaling Street, di sini, 3 November lalu.

Memasuki edisi ke-20, IFF Kuala Lumpur 2026 tampil dengan tema Peranakan The Golden Era yang mengangkat kekayaan warisan budaya menerusi interpretasi fesyen kontemporari.

Raja Rezza berkata, pemilihan tema itu bertepatan dengan aspirasi IFF yang sejak awal penubuhannya menjadikan kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat sebagai antara elemen penting dalam perjuangan festival berkenaan.

Katanya, konsep Peranakan tidak seharusnya dilihat terhad kepada pengaruh masyarakat Cina Peranakan atau Baba dan Nyonya semata-mata, sebaliknya turut merangkumi warisan Peranakan India atau Chitty, Arab dan Serani.

Justeru, pereka diberi kebebasan meneroka elemen sulaman, warna, motif serta potongan pakaian bagi menghasilkan rekaan yang mempunyai identiti tersendiri tanpa mengetepikan prinsip fesyen Muslim.

“Semua itu kita serahkan kepada pereka untuk membuat interpretasi. Mereka boleh mengambil inspirasi daripada sulaman, warna dan elemen lain yang mencerminkan identiti Peranakan.

“Sebagai contoh, kebaya tradisional mempunyai pelbagai bentuk dan potongan. Pereka boleh mengolahnya mengikut kesesuaian fesyen Muslim tanpa menghilangkan keunikan asal,” katanya.

Menariknya, pendekatan IFF dalam memperjuangkan fesyen Islam juga tidak terhad kepada satu tafsiran gaya berpakaian Muslimah.

Raja Rezza berpandangan, perjalanan seseorang wanita dalam memenuhi tuntutan menutup aurat adalah proses yang turut bergantung kepada tahap keimanan dan kesediaan diri.

Justeru, beliau memilih pendekatan terbuka dengan meraikan pelbagai tahap penutupan aurat menerusi rekaan yang diketengahkan festival berkenaan.

“Saya percaya kesediaan seseorang wanita untuk menutup aurat bergantung kepada tahap keimanan dan kesediaan dirinya. Kita perlu meraikan proses itu dan berharap akhirnya mereka akan mencapai tahap penutupan aurat yang lebih sempurna,” katanya.

Mengimbas perkembangan industri sejak 2006, beliau mengakui landskap fesyen Muslim tempatan menunjukkan kemajuan ketara berbanding ketika IFF mula diperkenalkan.

Katanya, antara cabaran pada peringkat awal ialah mendapatkan pereka terkenal yang bersedia menghasilkan koleksi khusus untuk fesyen Muslim berikutan jumlah pereka yang mempunyai pengkhususan dalam bidang berkenaan masih terhad.

Justeru, beliau mendapatkan kerjasama nama besar seperti Datuk Rizalman Ibrahim dan Bernard Chandran, selain pereka dari Indonesia bagi merealisasikan visi festival itu.

Bagaimanapun, Raja Rezza secara terbuka berpandangan Indonesia kini menunjukkan perkembangan lebih memberangsangkan dari segi penghasilan busana yang benar-benar memenuhi ciri penutupan aurat.

Malah, katanya, ada pereka Indonesia bukan Islam yang mampu menghasilkan rekaan fesyen Muslim dengan lebih menyeluruh apabila diberikan tugasan berkenaan.

“Kalau dibandingkan dahulu dengan sekarang, perkembangan fesyen Muslim memang jauh lebih baik. Namun, saya perlu jujur mengatakan dari segi rekaan yang benar-benar menepati penutupan aurat, Indonesia lebih ke hadapan berbanding kita.

“Saya pernah meminta pereka di Indonesia menghasilkan rekaan fesyen Muslim dan mereka mampu menyediakan busana yang lebih lengkap, termasuk bahagian lengan dan kaki yang ditutup dengan sempurna,” katanya.

Sepanjang dua dekad penganjurannya, IFF turut melebarkan pengaruh ke peringkat antarabangsa apabila menjelajah empat benua iaitu Asia, Eropah, Amerika dan Afrika.

Raja Rezza berkata, beliau pernah dijemput ke Itali kira-kira 10 tahun lalu bagi membincangkan potensi fesyen Islam dalam perkembangan ekonomi dunia, selain menghadiri forum ekonomi antarabangsa di Dubai.

Penglibatan itu memperlihatkan fesyen Islam bukan sekadar berkisar soal penampilan dan gaya berpakaian, sebaliknya mempunyai potensi besar sebagai sebahagian daripada ekosistem ekonomi kreatif global.

Mengulas perancangan seterusnya, beliau mengakui penganjuran di negara Barat berdepan beberapa kekangan berikutan konflik berterusan di Timur Tengah.

Bagaimanapun, IFF tidak berhasrat memperlahankan langkah, malah bersedia meneroka pasaran di benua Timur menjelang tahun hadapan bagi memperluaskan lagi jaringan fesyen Muslim di peringkat antarabangsa.

Bagi edisi kali ini, IFF Kuala Lumpur 2026 yang berlangsung dari 21 hingga 23 November di Mandarin Oriental Kuala Lumpur bakal menghimpunkan 24 pereka dari Malaysia dan Indonesia, sekali gus menjanjikan persembahan yang menggabungkan keunikan warisan budaya dengan sentuhan fesyen moden.

Antara 13 pereka tempatan yang bakal mempersembahkan koleksi ialah Abu, Rizman Ruzaini, Raja Rezza sendiri, Ezuwan Ismail, Tom Abang Saufi, Radzuan Radziwill, Calvin Thoo, Yacutha, Shanell Harun, Qudyn, Khatreena, Arlina Ayou dan Sam Republic.

Turut menyertai festival itu ialah 11 pereka Indonesia termasuk Ghea Panggabean, Jeny Tjahyawati, Evi Susanti, Sri Noviyanti, Riris Ghofir, Lina Sukijo, Dekranasda Brebes X Defrico Audi, Malek Moestaram, Sugeng Waskito, Ayu Dyah Andari dan Sri Busana.

Pentas peragaan turut diserikan dengan aksesori eksklusif daripada tiga jenama tudung iaitu Bawal Exclusive, Byqiss dan Cueveil, selain koleksi beg tangan Hanum Rich Ventures by Hanum Subri serta barang kemas rasmi daripada RVJ Diamonds and Gems.

Kemuncak festival turut menampilkan persembahan artis jemputan seperti Liza Aziz, Zehra Zamri, Haziq Rosebi, Nadeera dan Daniesh Suffian.

Penganjuran kali ini turut mendapat sokongan Mandarin Oriental Kuala Lumpur sebagai penganjur bersama serta RZ Phenomenal Group Sdn Bhd selaku penaja platinum, selain Usaha Jana dan Razak Luxe Décor sebagai penaja emas.

Tidak sekadar meraikan kemewahan fesyen, IFF Kuala Lumpur 2026 turut meneruskan komitmen terhadap kerja kebajikan menerusi tiga sesi pertunjukan pada jam 11.30 pagi, 3 petang dan 8 malam yang dikhususkan bagi pengumpulan dana amal.

Inisiatif itu dilaksanakan bersama beberapa rakan penganjur termasuk Puspanita Cawangan Kementerian Dalam Negeri, Masjid Ibadur Rasheed, Yayasan Metamorphosis, Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis, Yayasan Tuanku Nur Zahirah, Pandu Puteri Kelantan dan Sarawak Ladies Club.

Selepas 20 tahun, IFF bukan sekadar meraikan pencapaian sebuah festival fesyen, sebaliknya terus membawa aspirasi lebih besar untuk memperkukuh kedudukan fesyen Muslim dalam arus perdana industri fesyen dunia.

Perjalanan dua dekad itu membuktikan nilai kesopanan, kreativiti dan warisan budaya mampu bergerak seiring, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada fesyen Islam untuk terus berkembang di pentas antarabangsa.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page