November 2, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Women Talk Masuki Musim Ke-10, Perkasa Suara Wanita

Spread the love

Diterajui Diana Danielle dan Nadia Heng, program bual bicara TV3 tampil dengan pendekatan lebih segar menerusi temu bual lapangan serta perbincangan isu keluarga dan generasi muda.

Selepas sembilan musim mendapat perhatian penonton, program bual bicara berbahasa Inggeris, Women Talk kembali dengan musim kesepuluh yang menjanjikan perbincangan lebih segar, terbuka dan dekat dengan realiti kehidupan masyarakat masa kini.

Diperkenalkan sejak April 2022, program yang memberi fokus kepada wanita dan gaya hidup itu terus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform perkongsian pengalaman serta perspektif dalam mengetengahkan pelbagai isu berkaitan wanita, keluarga dan masyarakat.

Menariknya, musim terbaharu ini menyaksikan Women Talk melangkaui pendekatan perbincangan di studio apabila turut menampilkan temu bual lapangan dan segmen vox-pop bagi mendapatkan pandangan secara langsung daripada masyarakat.

Program yang diterajui pelakon Diana Danielle bersama pengacara televisyen dan bekas Miss World Malaysia, Nadia Heng itu turut mengekalkan format perbincangan panel serta sesi bersama pakar bagi mengupas isu daripada pelbagai sudut.

Pengurus Besar Kanan, Strategi Kandungan dan Audiens TV3 & TV9, Anida Tahrim berkata, memasuki musim kesepuluh, Women Talk terus mengukuhkan peranannya sebagai platform perkongsian kisah, pengalaman dan perspektif yang dekat dengan kehidupan masyarakat Malaysia.

Menurutnya, musim ini turut memperluas jangkauan perbincangan menerusi lebih banyak segmen vox-pop dan laporan lapangan bagi membawa suara masyarakat secara langsung ke dalam program.

Pendekatan itu sekali gus merapatkan jurang perspektif antara golongan ibu, anak muda dan keluarga dalam memahami perubahan sosial masa kini.

Sepanjang 13 episod, Women Talk Musim 10 akan mengetengahkan lima kelompok topik utama merangkumi keluarga dan keibubapaan, budaya Gen Z dan anak muda, literasi kewangan, kesihatan dan kesejahteraan serta hubungan dan perkembangan diri.

Kepelbagaian topik itu dilihat mampu menjadikan program berkenaan sebagai ruang perbincangan yang relevan, khususnya dalam memahami cabaran kehidupan wanita dan keluarga merentas generasi.

Jangan lepaskan peluang mengikuti Women Talk Musim 10 mulai 7 November ini, setiap Sabtu, jam 5 petang di TV3 atau menerusi platform penstriman Tonton.

Untuk perkembangan lanjut, penonton boleh mengikuti laman media sosial rasmi TV3 Malaysia menerusi Facebook, Instagram, X, Threads dan TikTok di @TV3Malaysia.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page