June 24, 2026

MMS | Malaysia Music Scene

Bukan Sekadar Muzik

Spider Sedia Berpesta Bersempena ‘SPIDERAYA’,  1,000 Pembeli Awal Tiket Spideraya Terima Baju-T Eksklusif

Spread the love

Tanpa perlu ‘Relaku Pujuk’, cukup sekadar pengumuman mengenai konsert berskala besar mereka, ribuan peminat Spider sudah bersedia menjadi ‘Kita Satu’.

Selepas lebih tiga dekad mewarnai industri muzik tempatan, kumpulan Spider akhirnya bakal meraikan perjalanan seni mereka menerusi sebuah pesta istimewa, Spideraya, yang dijadual berlangsung di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil pada 26 September depan.

Lebih menarik, konsert anjuran B7 Resources Sdn Bhd itu bakal menyaksikan Tam, Aie, Iss dan Pown beraksi selama tiga jam dengan persembahan membabitkan 30 lagu yang menghimpunkan pelbagai karya malar segar mereka sejak era album Ngam Ho sehingga Ankabut.

Di sebalik keterujaan meraikan ulang tahun ke-30 kumpulan itu, vokalis Spider, Tam mengakui satu pesanan ringkas daripada maestro terkenal, Datuk M Nasir menjadi pegangan paling berharga sepanjang bergelar anak seni.

Katanya, ketika itu dia pernah bertanya kepada M Nasir mengenai cara terbaik untuk berkomunikasi dengan khalayak ramai.

“Dulu saya pernah tanya kepada M Nasir, macam mana saya nak bercakap di depan orang ramai. Dia cuma cakap, kalau kau tak boleh cakap, jangan cakap. Kau menyanyi saja.

“Bagi saya, itu jawapan yang paling baik dan sampai hari ini saya masih pegang nasihat itu,” katanya pada sidang media Konsert Spideraya yang telah berlangsung di Banglo 289 pada 23 Jun lalu.

Menurut Tam, komunikasi dengan penonton sentiasa menjadi cabaran terbesar buat dirinya walaupun tidak pernah berdepan masalah gemuruh ketika membuat persembahan.

“Bukan saya gementar, cuma saya takut kalau bercakap panjang, orang bosan. Ayat saya pula kadang-kadang berterabur. Kita ini ‘mat rock’, takut tersalah cakap dan ada yang terasa hati.  Tetapi demi peminat, saya belajar juga bercakap sedikit demi sedikit,” katanya sambil ketawa.

Dalam perkembangan sama, Tam bersama tiga lagi anggota Spider iaitu Aie, Iss dan Pown bakal meraikan ulang tahun ke-30 kumpulan itu menerusi Spideraya, sebuah konsert yang disifatkan sebagai pesta besar meraikan perjalanan muzik mereka bersama peminat.

Penganjur, B7 Resources Sdn Bhd menyifatkan Spideraya sebagai sebuah perayaan yang sudah lama dinantikan memandangkan ini adalah kali pertama Spider tampil dengan konsert berskala besar selepas lebih tiga dekad mewarnai industri muzik tempatan.

Wakil B7 Resources Sdn Bhd, Khairul Afizi berkata, jenama Spider sendiri sudah cukup besar untuk diraikan menerusi sebuah persembahan istimewa.

“Kejayaan beberapa siri konsert mereka sebelum ini membuktikan Spider masih mempunyai pengaruh yang kuat. Sebab itu kami begitu teruja untuk merealisasikan Spideraya,” katanya.

Menurutnya, nama Spideraya dipilih sebagai simbol kepada perayaan perjalanan muzik kumpulan berasal dari Johor Bahru itu yang sudah menemani kehidupan peminat selama lebih 30 tahun.

Lebih menarik, pihak penganjur turut mengumumkan kejutan istimewa buat peminat setia Spider apabila 1,000 pembeli tiket terawal bakal menerima baju-T eksklusif Spider edisi terhad yang dihasilkan khas sempena penganjuran Spideraya.

Menurut Khairul, pemberian cenderahati istimewa itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang sentiasa berdiri teguh bersama Spider sejak awal kemunculan mereka.

“Spider mempunyai kelompok peminat yang sangat setia. Jadi kami mahu memberikan sesuatu yang eksklusif dan mempunyai nilai sentimental kepada mereka. Baju-T edisi terhad ini hanya diberikan kepada 1,000 pembeli tiket terawal,” katanya.

Sementara itu, Tam berkata, persetujuan menerima tawaran B7 Resources dibuat selepas melihat visi dan misi penganjur yang seiring dengan semangat Spider sepanjang berkarya.

“Spider bukan sekadar mahu menghiburkan peminat. Apa yang kami mahu tinggalkan adalah impak dan sejarah yang baik kepada industri.

“Industri ini mungkin hiburan, tetapi kami serius dalam apa yang dilakukan. Sebab itu Spideraya bukan sekadar sebuah konsert, sebaliknya sebuah perayaan yang kami mahu dikenang oleh semua yang hadir.

Tam turut memberitahu, persetujuan menerima tawaran B7 Resources dibuat selepas melihat visi dan misi penganjur yang seiring dengan semangat Spider sepanjang berkarya.

“Spider bukan sekadar mahu menghiburkan peminat. Apa yang kami mahu tinggalkan adalah impak dan sejarah yang baik kepada industri. Industri ini mungkin hiburan, tetapi kami serius dalam apa juga yang dilakukan. Sebab itu Spideraya bukan sekadar konsert biasa, sebaliknya sebuah perayaan yang kami mahu peminat kenang sampai bila-bila,” katanya.

Konsert Spideraya dijadual berlangsung pada 26 September ini, bermula jam 8.30 malam di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.

Tiket bagi kategori Kita Satu (RM148), Aladin (RM158), Ngam Ho (RM168), Ankabut (RM208), Bintang 12 (RM238) dan Nazraku (RM268) boleh didapati menerusi platform Ticket2U.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page