Limp Bizkit Pilih Malaysia, Aura Nu Metal Kembali Menggegar
Selepas lebih tiga dekad menggegarkan pentas dunia dan mencipta fenomena nu metal yang menjadi kegilaan generasi penghujung 1990-an dan awal 2000-an, kumpulan legenda dari Amerika Syarikat, Limp Bizkit, akhirnya bakal menjejakkan kaki ke Malaysia buat kali pertama.
Lebih membanggakan, Kuala Lumpur dipilih sebagai satu-satunya destinasi persinggahan mereka di Asia bagi tahun 2026, sekali gus menjadikan negara ini pusat tumpuan peminat muzik rock dan alternatif dari seluruh rantau.
Konsert bertajuk Limp Bizkit Live in Malaysia – One-Stop Asia Show yang dibawakan oleh Hitman Solutions itu dijadual berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada 9 Disember depan.
Status eksklusif yang diberikan kepada Malaysia itu dijangka menarik kehadiran peminat dari Indonesia, Singapura, Thailand, Filipina, Jepun dan Korea Selatan, menjadikan Kuala Lumpur sebagai “ibu kota nu metal Asia” buat satu malam.
Bagi mereka yang membesar dengan saluran MTV pada era kegemilangan muzik rock moden, nama Limp Bizkit sememangnya tidak asing. Diketuai vokalis Fred Durst yang terkenal dengan topi merah ikoniknya, kumpulan itu mencetuskan fenomena global menerusi album Significant Other pada 1999 sebelum meledak dengan Chocolate Starfish and the Hot Dog Flavored Water setahun kemudian.
Lagu-lagu seperti Rollin’, Break Stuff, My Way, Nookie, Take A Look Around dan My Generation bukan sahaja menjadi runut bunyi generasi Y, malah terus mendapat tempat dalam kalangan pendengar muda yang menyaksikan kebangkitan semula genre nu metal sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Ditubuhkan di Jacksonville, Florida pada 1994, Limp Bizkit berjaya menjual lebih 40 juta album di seluruh dunia dan pernah menerima beberapa pencalonan Anugerah Grammy. Bersama Korn dan Linkin Park, mereka dianggap antara pelopor utama yang mengubah landskap muzik rock dunia pada penghujung milenium.
Menariknya, walaupun usia kumpulan itu sudah mencecah lebih 30 tahun, populariti mereka tidak pernah pudar. Malah, persembahan mereka di festival-festival utama dunia masih dibanjiri ribuan peminat yang sanggup beraksi dalam ‘mosh pit’ demi mengimbau nostalgia zaman remaja.
Barisan terkini Limp Bizkit masih mengekalkan tonggak utama mereka iaitu Fred Durst selaku vokalis, Wes Borland sebagai gitaris utama yang terkenal dengan penampilan eksentrik, John Otto di posisi dram serta DJ Lethal yang mengendalikan turntable dan elemen hip hop yang menjadi identiti unik kumpulan itu.
Selepas kehilangan pemain bass dan anggota pengasas Sam Rivers pada Oktober tahun lalu, posisi tersebut kini diteruskan oleh Richie Buxton sebagai pemain bass jelajah bagi memastikan legasi kumpulan itu terus hidup.
Apa yang lebih menarik, konsert di Malaysia dijadualkan berlangsung hanya beberapa hari sebelum Limp Bizkit meneruskan siri jelajah mereka ke Johannesburg, Afrika Selatan pada 13 Disember depan. Ini menjadikan Kuala Lumpur antara destinasi terakhir dalam jelajah antarabangsa mereka sebelum menutup tahun 2026 dengan persembahan di Stadium FNB, Johannesburg.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal berkata, membawa Limp Bizkit ke Malaysia merupakan satu pencapaian besar buat industri hiburan tempatan.
“Ini merupakan satu pencapaian yang amat besar, bukan sahaja buat kami sebagai penganjur, tetapi buat semua peminat muzik rock dan alternatif di seluruh rantau ini. Selama lebih tiga dekad, Limp Bizkit telah mencorakkan bunyi dan budaya rock moden, namun peminat di Malaysia belum pernah berpeluang merasai pengalaman menyaksikan mereka secara langsung di sini.
“Konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan, tetapi detik bersejarah yang bakal menyatukan peminat dari seluruh Asia di Kuala Lumpur,” katanya.
Sementara itu, Ketua Projek Khas Hitman Solutions, Keeran D berkata, status Malaysia sebagai satu-satunya destinasi Asia menjadikan acara berkenaan lebih istimewa.
“Dengan pengesahan Kuala Lumpur sebagai satu-satunya destinasi persinggahan mereka di Asia tahun ini, konsert ini menjadi lebih istimewa. Kami bangga dapat menjadikan Malaysia sebagai destinasi tumpuan bagi peminat dari seluruh Asia untuk berkumpul dan menyaksikan sebuah kumpulan yang benar-benar ikonik beraksi secara langsung di pentas,” katanya.
Selain deretan lagu malar segar yang menjadi siulan ramai, peminat juga boleh menjangkakan persembahan penuh tenaga dan aksi spontan Fred Durst yang sememangnya terkenal dengan karisma luar biasa di atas pentas.

Lebih daripada sekadar sebuah konsert, Limp Bizkit Live in Malaysia – One-Stop Asia Show dilihat sebagai sebuah perayaan nostalgia buat generasi yang membesar bersama era MTV dan kebangkitan nu metal, selain menjadi peluang kepada generasi baharu untuk menyaksikan sendiri kumpulan yang pernah mengubah wajah muzik rock dunia.
Tiket bagi konsert berkenaan akan mula dijual pada 30 Jun ini bermula jam 12 tengah hari menerusi laman web Hitman Live dengan empat kategori harga ditawarkan, bermula RM398 hingga RM786.
