Sabhi Pertaruh ROMANSA, Tak Kisah Digelar Penyanyi Lagu Kahwin
Selepas mencipta fenomena menerusi lagu Cinta Sesungguhnya, penyanyi kelahiran Sabah, Sabhi Sadhi kembali mempertaruhkan karya baharu berjudul ROMANSA yang sarat dengan elemen cinta, kebahagiaan dan penghargaan terhadap sebuah hubungan yang dibina atas dasar kesetiaan serta pengorbanan.
Menariknya, Sabhi mengakui dia tidak kisah sekiranya dilabel sebagai penyanyi lagu perkahwinan selepas kejayaan Cinta Sesungguhnya dan kemunculan ROMANSA yang turut mempunyai nuansa romantik serta dekat dengan suasana majlis perkahwinan.
Menurut Sabhi, label itu bukan sesuatu yang negatif kerana ia membuktikan karya yang dihasilkan berjaya menyentuh hati pendengar.

“Tidak kisah orang nak kata apa. Yang penting, saya banyak menerima tawaran menyanyi di majlis-majlis perkahwinan. Kalau ada pasangan memilih lagu saya untuk mengiringi hari istimewa mereka, saya anggap itu satu rezeki dan tanda bahawa karya tersebut dekat dengan hati pendengar,” katanya.
Sabhi berkata, dia bukanlah seorang artis yang gemar mengeluarkan lagu secara kerap kerana lebih mengutamakan kualiti berbanding kuantiti, malah dia sanggup mengambil masa sehingga dua atau tiga tahun untuk memastikan karya yang dipersembahkan benar-benar menepati identiti serta membawa mesej yang positif.
“Saya memang sangat memilih dalam soal lagu. Saya akan mengambil masa mencari komposer, penulis lirik dan karya yang sesuai dengan kehendak saya.
“Saya juga sentiasa memastikan setiap lagu mempunyai mesej yang baik kerana muzik bukan sekadar hiburan, tetapi mempunyai pengaruh terhadap emosi dan pemikiran pendengar,” katanya.
Mengulas tekanan selepas kejayaan besar Cinta Sesungguhnya, Sabhi mengakui dia sentiasa meletakkan penanda aras tinggi terhadap dirinya sendiri.
“Saya sentiasa memikirkan lagu apakah yang mampu menandingi atau sekurang-kurangnya menyamai impak Cinta Sesungguhnya. Saya tidak membandingkan karya saya dengan lagu orang lain, tetapi lebih kepada bagaimana saya boleh menghasilkan sesuatu yang lebih baik daripada karya saya sendiri,” katanya.
Untuk ROMANSA, Sabhi bekerjasama dengan komposer Farouk Roman dan penulis lirik Senna yang disifatkannya mempunyai visi serta hala tuju muzik yang sama.
Katanya, dia turut terbabit secara langsung dalam proses kreatif dengan memberikan panduan mengenai konsep dan emosi yang mahu diterapkan dalam lagu terbabit.
“Saya mahukan elemen keceriaan, kebahagiaan dan mesej yang positif. Saya juga memberikan beberapa rujukan termasuk Cinta Sesungguhnya sebagai panduan untuk mendapatkan rasa yang saya inginkan,” katanya.
Dari segi penceritaan, ROMANSA mengisahkan perjalanan cinta dua insan yang melalui pelbagai dugaan sebelum akhirnya kembali bersatu.

“Melodi lagu ini sangat romantis dan liriknya juga indah. Ia menceritakan tentang pasangan yang berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan, namun cinta yang mereka miliki menjadi kekuatan untuk kembali bersama,” katanya.
Lagu yang dirakamkan di SIFI Records pada 2023 itu diterbitkan oleh AJ Productions dan sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital sejak 9 Februari lalu.
Sementara itu, komposer ROMANSA, Farouk Roman berkata, idea menghasilkan lagu itu tercetus daripada keinginan untuk menghasilkan karya yang dekat dengan realiti kehidupan masyarakat.
Menurutnya, tema cinta dan kehilangan adalah sesuatu yang universal dan mudah menyentuh perasaan pendengar.
“Mesej utama ROMANSA ialah menghargai cinta dan setiap momen bersama insan tersayang sebelum semuanya berubah atau hilang. Saya percaya lagu yang lahir daripada emosi yang jujur lebih mudah menyentuh hati pendengar,” katanya.
Lebih menarik, Sabhi turut menggalas tanggungjawab sebagai pengarah muzik video ROMANSA yang menampilkan kisah perjalanan cinta sebuah pasangan daripada pertemuan, perpisahan sehingga kembali bersatu dalam ikatan perkahwinan.
“Saya memilih pelakon yang tidak mempunyai pengalaman berlakon, jadi saya perlu membimbing mereka dari segi emosi dan penghayatan bagi setiap babak.
“Saya berharap ROMANSA dapat pergi lebih jauh dan ‘fly high’ seperti Cinta Sesungguhnya. Saya mahu penonton dapat melihat muzik video ini dan merasakan ia dekat dengan kehidupan mereka kerana cinta itu penuh dengan pengorbanan,” katanya.
