Seni Malaysia-China Rentas Sempadan, 16 Seniman Muda Warnai TRX

Pameran Art Without Boundaries edisi kedua buka ruang pertukaran budaya, perkukuh jaringan seni visual dan teroka potensi AI dalam kreativiti kontemporari.
Seni tidak mengenal sempadan geografi apabila 16 seniman muda dari China dan Taiwan berhimpun menerusi pameran Art Without Boundaries – New Voyage to Nanyang, sekali gus membuka ruang baharu bagi pertukaran budaya dan pengukuhan jaringan seni visual antara China dengan Asia Tenggara.
Berlangsung di Galeri Ruang Teduh, Exchange 106, Tun Razak Exchange (TRX), pameran yang dibuka pada 10 Oktober lalu itu bukan sekadar menghimpunkan karya daripada latar budaya berbeza, malah menjadi platform untuk memperluas pendedahan antarabangsa kepada generasi baharu pengkarya seni.
Pameran yang berlangsung sehingga 11 November ini mengetengahkan pelbagai medium, termasuk lukisan, seramik, arca serta karya yang meneroka penggunaan kecerdasan buatan (AI), mencerminkan perkembangan seni kontemporari yang semakin dinamik seiring perubahan teknologi.

Majlis pembukaannya disempurnakan pengarah filem prolifik Malaysia, Dato’ (Dr.) Uwei bin Haji Saari, yang turut dikenali dalam lingkungan seni visual tempatan sebagai pengumpul, kurator dan tokoh intelektual seni kreatif.
Beliau diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Exchange 106, Faris Najhan Hashim; Pengurus Besar Autumn Mosaic Art Center, Mr. Lee; serta Pengarah Akademik pameran, Profesor Victoria Lu.
Turut hadir beberapa seniman yang mengambil bahagian, antaranya Shu Yuqian, Bridge Liang, Liao Liao dan Ding Qirourou.
Dianjurkan Autumn Mosaic Art Center dengan kerjasama Viki Lulu House, Galeri Ruang Teduh dan FJFTZ Xiamen, pameran edisi kedua itu memberi tumpuan kepada pembangunan bakat muda, peluasan jaringan profesional serta pengukuhan hubungan seni dan kebudayaan antara China dengan Malaysia, khususnya.

Pengarah Akademik pameran, Profesor Victoria Lu, yang juga seniman dan tokoh seni kontemporari dari Taiwan, membawa pengalaman luas dalam bidang seni antarabangsa menerusi penglibatannya dalam kuratorial dan pembangunan bakat baharu.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Kurator Asia untuk California International Arts Foundation dan kini menerajui aspek kreatif serta kuratorial Autumn Mosaic Art Center, selain mengasaskan Viki Lulu House, sebuah inisiatif yang menyokong perkembangan seniman muda.
Menerusi platform itu, beliau berusaha menyediakan peluang kepada pengkarya baharu untuk mengembangkan amalan seni, mendapatkan pendedahan antarabangsa dan menjangkau khalayak lebih luas.
Dalam landskap seni yang semakin dipengaruhi teknologi, AI turut dilihat berpotensi menjadi rakan kolaborasi yang memperluas kemungkinan ekspresi artistik, bukannya ancaman terhadap kreativiti manusia.
Bagaimanapun, penggunaan teknologi tidak menafikan kepentingan daya cipta, pemikiran kritis dan pertimbangan manusia yang kekal sebagai teras penghasilan karya seni.
Selepas penganjuran terdahulu di Bangkok, Thailand, inisiatif Art Without Boundaries memasuki fasa baharu menerusi edisi kedua pada 2026 dengan Kuala Lumpur dipilih sebagai destinasi pertama bagi jelajah antarabangsa berkenaan.
Kerjasama dengan Viki Lulu House turut memperkukuh usaha menyediakan platform yang lebih mudah diakses oleh seniman muda dari China untuk memperkenalkan karya mereka kepada khalayak serantau.
Menerusi program berkenaan, seniman terpilih berpeluang mempamerkan karya tanpa dikenakan bayaran penyertaan, di samping berkongsi ruang pameran dengan pengkarya muda dari negara lain di lokasi seni utama Asia Tenggara.
Lebih penting, inisiatif itu berpotensi membuka peluang kepada seniman Malaysia untuk membina hubungan dengan penggiat seni, pengumpul dan institusi kebudayaan di China.





Pertukaran sedemikian mampu memperluas mobiliti seniman, menggalakkan perkongsian pengetahuan serta mewujudkan asas kerjasama profesional yang lebih kukuh antara kedua-dua negara.
Melangkaui fungsi sebagai ruang pameran, Art Without Boundaries – New Voyage to Nanyang turut membawa aspirasi untuk membina hubungan jangka panjang antara komuniti seni China dan Malaysia.
Kelangsungan jaringan selepas pameran berakhir menjadi antara elemen penting bagi memastikan peluang yang diwujudkan tidak terhenti pada pertemuan karya dengan khalayak, sebaliknya berkembang kepada kerjasama, pertukaran kepakaran dan pembangunan kerjaya seniman.
Orang ramai, penggiat seni dan peminat seni visual berpeluang menyaksikan pameran Art Without Boundaries – New Voyage to Nanyang di Galeri Ruang Teduh, Lot UG 31 dan 32, Menara Exchange 106, TRX Kuala Lumpur, sehingga 11 November 2026.
