October 14, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Nidji, Masdo Panaskan NU FEST 2027, Tiket Serendah RM88

Spread the love

Festival di Stadium Merdeka 30 Januari depan himpunkan artis Malaysia dan Indonesia, tampilkan konsep muzik, budaya serta gaya hidup

Daripada menyanyi beramai-ramai mengikut lagu popular Nidji hingga menikmati irama retro Masdo, NU FEST 2027 menawarkan peluang kepada peminat muzik untuk berpesta di Stadium Merdeka dengan harga tiket bermula RM88.

Festival yang bakal berlangsung pada 30 Januari tahun depan itu menghimpunkan barisan artis tempatan dan Indonesia dalam acara yang menggabungkan muzik, budaya, kreativiti serta gaya hidup, sekali gus menyasarkan golongan muda sebagai kelompok pengunjung utama.

Lebih menarik, kemunculan Nidji bukan sekadar menjanjikan persembahan bertenaga menerusi lagu popular mereka, malah membawa mesej bahawa muzik mampu menjadi jambatan yang menyatukan masyarakat merentasi sempadan negara.

Vokalis Nidji, Ubay Yusuf, sebelum ini menyuarakan harapan agar muzik dapat menyatukan rakyat Malaysia dan Indonesia, khususnya ketika hubungan kedua-dua negara menjadi perbualan hangat di media sosial.

Kumpulan popular Indonesia itu dijadualkan membuat persembahan selama 90 minit di NU FEST 2027, sekali gus memberikan ruang kepada peminat untuk menikmati himpunan lagu mereka secara langsung.

Masdo pula bakal membawa pesona muzik retro yang disuntik dengan sentuhan kontemporari, identiti yang berjaya menarik perhatian pendengar muda, khususnya generasi Z.

Gabungan kedua-dua nama itu menjadi antara tarikan utama pengumuman Fasa 2 festival berkenaan yang dianjurkan COMs. Creative Studio dengan kerjasama AKE Seni.

Selain Nidji dan Masdo, pengumuman Fasa 1 turut menyenaraikan The Changcuters, Dukes, Lokarya, The Beretta’s, Saja dan Monosterio, selain kemunculan istimewa Band D_Va.

The Changcuters yang memasuki tahun ke-22 perjalanan muzik mereka dijangka menyuntik tenaga menerusi identiti rock tersendiri, manakala Dukes dan Lokarya berpeluang memperkenalkan muzik mereka kepada khalayak lebih luas.

The Beretta’s, Saja dan Monosterio pula melengkapkan kepelbagaian genre yang ditawarkan, sementara Band D_Va dijangka menghidupkan nostalgia muzik era 2000-an.

Kemeriahan festival turut diserikan dengan penyertaan Beats & Brew, komuniti DJ tempatan yang bakal menambah variasi hiburan menerusi persembahan dinamik sepanjang acara.

Wakil COMs. Creative Studio, Zairul Addry Helmy berkata, pemilihan artis mengambil kira kepelbagaian genre, kekuatan kelompok peminat dan karakter persembahan bagi memastikan festival itu mampu menarik pengunjung daripada pelbagai generasi.

“Kami mahu barisan artis yang boleh merentasi beberapa generasi dan kelompok peminat yang berbeza. Setiap nama mempunyai karakter tersendiri, daripada rock, pop dan nostalgia hinggalah muzik alternatif serta tenaga yang lebih segar.

“Gabungan ini diharap dapat memberikan pengalaman muzik yang pelbagai sepanjang berlangsungnya festival,” katanya.

Mengangkat konsep Music, Culture & Community, NU FEST 2027 dirancang sebagai destinasi gaya hidup yang menawarkan pengalaman lebih luas daripada persembahan di pentas utama.

Pengunjung boleh meneroka pelbagai tarikan yang dirancang, termasuk Rock Zone, tempat duduk Grandstand, kawasan makanan, karnival, pasar kreatif dan aktiviti pengenalan jenama atau brand activation.

Pendekatan itu bertujuan menggalakkan pengunjung datang lebih awal untuk menikmati suasana festival, meneroka aktiviti kreatif dan berinteraksi sebelum menyaksikan persembahan artis pilihan.

“Kami tidak mahu NU FEST dilihat sebagai sebuah konsert yang mempunyai ramai artis sahaja. Sebaliknya, kami mahu pengunjung datang lebih awal, menikmati suasana festival, meneroka karnival dan aktiviti kreatif sebelum menyaksikan persembahan di pentas utama.

“Konsep kami sangat mudah iaitu Music, Culture & Community. Kami mahu NU FEST menjadi tempat golongan muda berkumpul, berseronok dan mencipta pengalaman bersama,” kata Zairul.

Aspek produksi merangkumi visual, pencahayaan, skrin LED dan sistem bunyi turut diberi perhatian bagi menyokong persembahan artis serta memastikan pengalaman festival lebih menyeluruh.

Dalam jangka panjang, penganjur menyasarkan NU FEST berkembang menjadi festival tahunan yang turut membuka peluang kepada jenama tempatan, usahawan, pencipta kandungan, pengusaha makanan dan bakat muda untuk membina jaringan serta mengembangkan potensi masing-masing.

Bagi peminat yang mahu menyertai pesta muzik itu, tiket ditawarkan pada harga bermula RM88, selain tawaran khas untuk pembelian secara berkumpulan.

Jualan Fasa 1 akan dibuka terlebih dahulu bagi kategori Standing, manakala maklumat mengenai kategori Seating, termasuk kawasan Grandstand, akan diumumkan kemudian.

NU FEST 2027 bakal berlangsung pada 30 Januari 2027 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Maklumat lanjut mengenai penjualan tiket dan pengisian festival akan diumumkan oleh COMs. Creative Studio bersama AKE Seni dari semasa ke semasa.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page