Ernie Zakri Ungguli Pentas Serantau, Dinobat Ikon Muzik Asia Tenggara

Pengiktirafan Top Asia Corporate Ball melengkapkan tiga pencapaian besar penyanyi itu dalam tempoh 10 hari, termasuk persembahan bersama Presiden Perancis.
Nama Ernie Zakri terus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap muzik serantau apabila penyanyi bersuara lantang itu dinobatkan sebagai penerima Southeast Asia’s Music Icon Award 2026 pada Top Asia Corporate Ball 2026, di Grand Hyatt Hotel, di sini, malam tadi.
Pengiktirafan berprestij itu bukan sekadar mengiktiraf keupayaan vokal dan kredibiliti persembahannya, malah menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perjalanan seni Ernie yang semakin melangkaui sempadan industri muzik tempatan.
Lebih menarik, kejayaan berkenaan hadir ketika Ernie sedang menikmati momentum luar biasa apabila meraih tiga pencapaian berprofil tinggi dalam tempoh hanya 10 hari, sekali gus meletakkan namanya dalam perhatian industri hiburan dan korporat di peringkat serantau.
Top Asia Corporate Ball yang meraikan ulang tahun penganjuran ke-11 tahun ini adalah acara anjuran RHA Media, penerbit Top 10 of Asia dan Top 10 of Malaysia, yang menghimpunkan tokoh korporat, pemimpin perniagaan serta personaliti berpengaruh daripada pelbagai industri di Asia.

Menerusi pengiktirafan itu, Ernie turut menyertai kelompok figura hiburan terkenal yang pernah diraikan platform berkenaan, antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk M. Nasir, Dato’ Sri Rossa, Afgan, Ruth Sahanaya dan Alan Tam.
Sebelum menerima pengiktirafan berkenaan, Ernie terlebih dahulu mencipta detik istimewa pada 17 November lalu apabila diberi penghormatan menyampaikan lagu klasik Perancis, La Vie en rose, bersama Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
Persembahan itu berlangsung dalam majlis jamuan rasmi yang dihoskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sempena lawatan rasmi Macron ke Malaysia.
Peluang berkenaan bukan sahaja memperlihatkan kemampuan Ernie menggalas tanggungjawab sebagai penghibur dalam acara diplomatik berprofil tinggi, malah membawa suara dan identiti seni Malaysia ke pentas antarabangsa.
Pada tarikh sama, Ernie turut menerima anugerah Celebrity Entrepreneur of the Year di SEBA ASEAN Elites Edition 2025/2026, satu pengiktirafan yang menyorot perkembangan dirinya bukan sahaja sebagai penggiat muzik, tetapi juga figura dalam bidang keusahawanan selebriti.
Mengulas rentetan pencapaian itu, Ernie menyifatkan November sebagai antara bulan paling bermakna dalam kehidupan dan perjalanan kerjayanya.
“November ini menjadi antara bulan yang paling bermakna dalam hidup dan kerjaya saya. Dalam tempoh yang singkat, saya diberi peluang membuat persembahan bersama Presiden Perancis, menerima pengiktirafan di SEBA Awards dan kini Southeast Asia’s Music Icon Award.
“Saya masih cuba menghadam setiap pengalaman ini. Saya anggap semuanya sebagai rezeki dan amanah besar — bukan sekadar tentang anugerah, tetapi peluang untuk terus berkembang sebagai anak seni Malaysia,” katanya.
Bagi Ernie, setiap pengiktirafan yang diterima bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya menjadi dorongan untuk terus menghasilkan karya dan persembahan berkualiti serta memperkenalkan muzik Malaysia kepada khalayak lebih luas.
Sokongan keluarga, pasukan pengurusan, rakan industri dan peminat turut menjadi antara tunjang penting yang membolehkan beliau terus berkembang dalam industri seni.
Rentetan kejayaan itu sekali gus memperlihatkan bagaimana perjalanan seorang penyanyi tempatan mampu membuka ruang lebih luas kepada pengiktirafan serantau, sekali gus meletakkan bakat Malaysia dalam radar industri hiburan Asia Tenggara.
