CHLYPDY Peram ‘Cili Padi’ 17 Bulan, Hidang Rock N Rindu

Berbekalkan identiti Roq-Jiwang dan pengaruh rock klasik, kugiran empat anggota dari Shah Alam itu pertaruh lapan lagu dengan cita rasa berbeza menerusi album sulung.
BUKAN sekadar nama yang kedengaran unik, CHLYPDY mahu membuktikan mereka mempunyai ramuan tersendiri untuk mencipta tempat dalam landskap muzik alternatif tempatan.
Mengambil inspirasi daripada karakter cili padi yang kecil tetapi mempunyai tahap kepedasan berbeza, kugiran itu mengangkat konsep ‘kartel cili padi’ sebagai identiti album sulung mereka, Rock N Rindu.
Menariknya, pendekatan berkenaan turut diterjemahkan menerusi lapan lagu yang masing-masing mempunyai karakter, warna dan pendekatan muzik tersendiri, sekali gus memperlihatkan keengganan mereka untuk terikat kepada satu formula.
Bagi kumpulan yang memperkenalkan muzik mereka sebagai Roq-Jiwang itu, Rock N Rindu bukan sekadar himpunan karya untuk memenuhi katalog diskografi, sebaliknya menjadi manifestasi identiti muzik yang mahu dibina selepas melalui perjalanan kreatif sejak penubuhan mereka pada 2022.

Berasal dari Shah Alam, CHLYPDY dibarisi Qalish Muqri (Vocalist), Nizam Ismail (Guitar 1), Qaliq Ziqri (Bassist), Iman (Guitar 2), Nafeez (Keyboardist) dan Amirul Zailan (Drummer)
Gabungan empat pemuzik itu membentuk identiti Roq-Jiwang yang menjadi tunjang perjalanan CHLYPDY, dengan pengaruh muzik daripada kumpulan seperti Sweet Charity, Alleycats, Def Gab C dan The Changcuters.
Malah, perjalanan mereka sebelum ini turut menyaksikan penghasilan beberapa karya termasuk Sampai Bila, Kelabu, Nakhoda Haloba dan Kelabu 2024.
Lagu Kelabu 2024 juga pernah mencuri perhatian apabila dinobatkan sebagai Juara Lagu Terpaling Platinum dalam Carta Indie Kita menerusi undian pendengar pada Julai 2025.
Terbaharu, Rock N Rindu menghimpunkan lapan lagu termasuk dua single terdahulu, Adem dan Rasa Berdansa, selain enam karya baharu iaitu Rock N Rindu, Mugchick, Diam, Hantu, Dia Yang Tahu dan Biar Akhir Begitu.
Menariknya, proses pembikinan album itu mengambil masa kira-kira 17 bulan bermula Mei 2025 sebelum disempurnakan pada Oktober 2026.
Di sebalik penghasilan naskhah berkenaan, Putu Ceri daripada Empayar Masdo Sdn. Bhd. bertindak selaku Penerbit Eksekutif, manakala Monk menggalas tanggungjawab sebagai Penerbit Bersama.
Kesemua lapan lagu dirakamkan di beberapa studio termasuk ISeekStudio, Dojo dan Ruang Mekar, sementara proses adunan serta mastering mendapat sentuhan Huzai daripada Syns Music.
Bagi CHLYPDY, kepelbagaian cita rasa yang ditampilkan dalam album berkenaan diharap dapat membuka ruang kepada mereka untuk mendekati pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa terikat kepada satu acuan muzik semata-mata.
Mereka juga berharap Rock N Rindu menjadi permulaan kepada perjalanan lebih panjang dalam memperkukuh identiti kumpulan, selain menyumbang warna tersendiri terhadap perkembangan muzik alternatif tempatan
Album Rock N Rindu boleh didengari menerusi pautan promosi rasmi: https://bfan.link/rock-n-rindu.
