Tiket Sang Kancil ‘Licin’ Sebelum Dilancar

Permintaan luar biasa dorong Istana Budaya tambah slot 14 November, jualan tiket persembahan tambahan lepasi 60 peratus
Belum sempat tirai pelancaran dibuka, Teater Muzikal Kanak-kanak Pengembaraan Sang Kancil sudah mencuri perhatian apabila tiket persembahan hari pertama habis terjual, sekali gus mendorong Istana Budaya (IB) menambah satu slot persembahan bagi memenuhi permintaan penonton.
Lebih menarik, tiket persembahan pada 13 November itu habis terjual sebelum sidang media pelancaran rasmi berlangsung pada 12 Oktober lalu, manakala jualan bagi slot tambahan pada 14 November, jam 2.30 petang, turut melepasi 60 peratus ketika pengumuman dibuat.

Pengarah IB, Hanida Mohamed Yusof, berkata penambahan itu menjadikan keseluruhan empat persembahan ditawarkan sepanjang tiga hari pementasan di Panggung Sari, IB, dari 13 hingga 15 November ini.
Persembahan pertama berlangsung pada 13 November, jam 8.30 malam, diikuti dua slot pada 14 November, iaitu jam 2.30 petang dan 8.30 malam, manakala persembahan terakhir dijadualkan pada 15 November, jam 2.30 petang.

Sambutan itu memberikan petanda positif terhadap kebangkitan semula produksi teater kanak-kanak IB selepas hampir enam tahun, sekali gus membuka peluang kepada keluarga memperkenalkan seni persembahan secara langsung kepada generasi muda.
Kali terakhir IB menerbitkan teater kanak-kanak ialah menerusi Siti di Alam Fantasi pada 2020. Bagaimanapun, pementasan itu terpaksa dibatalkan pada saat akhir ketika sesi pratonton susulan pengumuman sekatan pergerakan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.
Mengangkat konsep Magika Nusantara, Pengembaraan Sang Kancil menggabungkan unsur magis, dongeng dan cerita rakyat tradisional Melayu serta Nusantara menerusi dunia fantasi Rimba Tropika Nusantara.
Hanida berkata, penonton dibawa meneroka pelbagai lokasi imaginatif termasuk Perkampungan Kancil, Hutan Ajaib, Sungai, Taman Buah-buahan, Sarang Madu, Taman Kelip-kelip dan Kawasan Raja Rimba.
“Setiap lokasi membentuk sebuah dunia tersendiri yang kaya dengan warna, karakter dan suasana, sekali gus memberikan ruang kepada kanak-kanak menggunakan imaginasi mereka ketika mengikuti perjalanan watak-watak di pentas,” katanya.

Keunikan produksi itu turut terserlah menerusi penerapan motif batik Malaysia yang diinspirasikan daripada flora dan fauna seperti bunga raya, orkid, daun, pakis serta pucuk rebung. Elemen warisan itu diterjemahkan melalui rekaan set, kostum, prop dan grafik pentas dengan pendekatan kontemporari.
Penulis skrip, Siti Jasmina Ibrahim, berkata kisah Sang Kancil membawa mesej bahawa kebijaksanaan dan keupayaan seseorang tidak seharusnya diukur berdasarkan saiz tubuh atau penampilan luaran.

Sang Kancil digambarkan sebagai watak yang berimpian mengembara dan melihat dunia lebih luas, namun hasratnya sering dipandang rendah oleh keluarga sendiri.
Perjalanannya berubah apabila dia tersesat ke daerah lain dan bertemu Wang Wang, Cerdas serta Cergas. Mereka kemudian dihanyutkan arus sungai dan terpaksa mengembara bersama-sama untuk mencari jalan pulang.
Sepanjang perjalanan, Sang Kancil membantu haiwan yang ditindas oleh Chip Chip, ketua monyet, dan Taiko Boo, ketua buaya. Namun, keraguan Cerdas terhadap kebijaksanaannya mencetuskan konflik persahabatan.
Dalam masa sama, Taring, adik Raja Rimba yang tamak kuasa, merancang menyerang keluarga Sang Kancil. Watak utama itu akhirnya perlu mengumpulkan keberanian untuk mempertahankan keluarganya bersama-sama sahabat dan haiwan yang pernah dibantu.
Konflik diselesaikan menerusi kebijaksanaan, helah dan pertandingan berbalas pantun, bukannya kekerasan, sekali gus mengangkat nilai persahabatan, kasih sayang keluarga, keyakinan diri serta semangat saling membantu.
Dari segi muzik, hampir 60 peratus persembahan terdiri daripada lagu, muzik dan koreografi, dengan pengarah muzik Ayop Azril menghasilkan hampir 16 lagu baharu khusus untuk produksi itu.
Antara lagu yang diketengahkan ialah Wira Bijaksana, Usah Angan-angan Tinggi, Kita Kancil Kecil, Sekawan-kawan, Cha-Cha Chip Chip, Satu Dua Tiga Lekuk dan Dondang Pantun Rimba.
Kesemua lagu itu dipersembahkan secara langsung dengan iringan 36 pemuzik daripada Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dan bahagian alat muzik bertali atau strings Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).

Pengarah teater, Nawfal Zamri, berkata sesi uji bakat pada 16 Ogos lalu di Bilik Seri Nilam, IB, menerima penyertaan 140 kanak-kanak berusia lapan hingga 12 tahun.
“Seramai 46 kanak-kanak terpilih untuk menjayakan produksi itu dan menjalani latihan intensif selama dua bulan bagi membentuk keserasian, disiplin serta persembahan yang meyakinkan,” katanya.
Barisan pelakon dewasa menampilkan Iedil Dzuhrie Alaudin sebagai Bapa Kancil, Asmidar sebagai Ibu Kancil, Taqim Zaki sebagai Taring, Anas Ridzuan sebagai Mat Tanduk dan Khir Rahman sebagai Raja Rimba.
Nawfal, graduan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang pengarahan dan seni persembahan, turut mempunyai pengalaman mengarahkan teater muzikal Living Forest yang membabitkan kanak-kanak sindrom Down dan menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records.
Gabungan pelakon cilik, artis berpengalaman, muzik orkestra secara langsung dan rekaan visual berteraskan warisan tempatan menjadikan Pengembaraan Sang Kancil sebuah produksi yang menyatukan hiburan, pendidikan serta pengenalan seni budaya kepada generasi muda.

Bagi mendapatkan tiket, IB menawarkan promosi beli empat tiket, percuma satu bagi kategori Kancil dan Gajah. Pelajar sekolah yang membeli sekurang-kurangnya 20 tiket bagi kategori Sang Kancil dan Gajah pula layak menikmati diskaun 10 peratus. Tiket boleh dibeli menerusi Cloudjoi selaku ejen rasmi pementasan atau melalui saluran media sosial rasmi IB.
