Ara Johari Kembali Dengan Kisah Galau, ‘Kisah Yang Hampir Sempurna’ Jadi Taruhan Baharu

Kisah Yang Hampir Sempurna angkat realiti perpisahan tanpa orang ketiga, Hun Haqeem jadi hero muzik video
Bukan semua perpisahan berpunca daripada orang ketiga. Ada cinta yang terlerai tanpa kecurangan, tanpa pergaduhan, malah tanpa jawapan yang mampu merawat luka.
Realiti pahit itu menjadi taruhan penyanyi Ara Johari menerusi single balada galau terbaharunya, Kisah Yang Hampir Sempurna, yang mengisahkan dua hati terpaksa membawa haluan berbeza meskipun pernah mengimpikan pengakhiran bersama.
Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari, 29, berkata lagu ciptaan Aepul Roza dan Daus Drama Band itu mempunyai keistimewaan tersendiri kerana mengangkat sisi perpisahan yang jarang diberikan perhatian.
Menurutnya, lagu berkenaan sudah dihantar Aepul lebih setahun lalu, namun dia memilih untuk menunggu masa yang dirasakan sesuai sebelum memperkenalkannya kepada pendengar.
“Lagu ini mengisahkan sebuah perhubungan yang berakhir dengan perpisahan, bukan kerana ada orang ketiga, tetapi kedua-dua hati tidak ditakdirkan untuk bersatu.
“Ara rasa tidak semua perpisahan harus berakhir dengan pergaduhan atau disebabkan orang ketiga. Ada perpisahan yang tidak memerlukan alasan mengapa mereka harus berpisah,” katanya ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu itu di Universal Music Malaysia, di sini, 13 Oktober lalu.
Lirik lagu berkenaan ditulis Aepul bersama Ara, sekali gus meneruskan identiti muzik galau yang sebelum ini mendapat perhatian menerusi Menjaga Jodoh Orang Lain dan Terlalu Bodoh.
Menariknya, muzik video rasmi Kisah Yang Hampir Sempurna turut menampilkan pelakon popular, Hun Haqeem sebagai hero, sekali gus menambah tarikan kepada karya terbaharu penyanyi itu.
Ara berkata, pelancaran lagu berkenaan juga mengambil kira permintaan peminat yang mahu melihatnya kembali menghasilkan karya bersama komposer tempatan, selain menyimpan hasrat untuk menembusi pentas Anugerah Juara Lagu (AJL).
“Sejak Ara melancarkan Menjaga Jodoh Orang Lain dan Terlalu Bodoh, ramai peminat bertanya bila Ara akan ada lagu bersama komposer tempatan supaya dapat masuk AJL.
“Jadi, Ara beranggapan inilah masa yang sesuai untuk melancarkan lagu ini,” katanya.
Kisah Yang Hampir Sempurna terbitan dan edaran Universal Music Malaysia mula menemui pendengar di semua platform penstriman digital sejak 9 Oktober lalu.
