November 26, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Penganjur Sasar Lebih 300,000 Pengunjung Ke KL Gastrofest 2026

Spread the love

Kerjasama Sulung Havoc Bersama Dbkl Realisasikan Impian Anjur Festival Di Dataran Merdeka, Himpunkan Lebih 300 Penjaja, Persembahan Budaya Antarabangsa Dan Barisan Artis Popular.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan kehadiran lebih 300,000 pengunjung sepanjang penganjuran KL Gastrofest 2026 yang bakal berlangsung selama enam hari bermula 8 hingga 13 Disember ini di Dataran Merdeka.

Sasaran itu mengambil kira kepelbagaian pengisian yang disediakan menerusi festival berkenaan, bukan sahaja mengetengahkan gastronomi tempatan dan antarabangsa, malah menggabungkan elemen seni budaya serta hiburan bagi menarik kehadiran warga kota dan pelancong.

Perkara itu diperincikan Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi DBKL, Encik Ismadi Sakirin, ketika sidang media KL Gastrofest 2026 yang berlangsung di Banglo 289, Bangunan Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur, pada 26 November lalu.

Menurutnya, penganjuran festival itu turut membuka peluang kepada penjaja dan usahawan makanan tempatan untuk memperluas pasaran, memperkenalkan produk serta mendekati kelompok pelanggan baharu.

Sebanyak lebih 300 penjaja dan usahawan makanan tempatan serta antarabangsa bakal mengambil bahagian, sekali gus menjadikan Dataran Merdeka sebagai pusat tumpuan gastronomi sepanjang tempoh penganjuran.

Festival anjuran DBKL dengan kerjasama HAVOC selaku rakan strategik utama itu berlangsung dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) HAVOC Event Management, Dato’ Firdaus Nadxaman, menyifatkan peluang bekerjasama dengan DBKL bagi merealisasikan KL Gastrofest 2026 sebagai satu pengalaman cukup bermakna buat pihaknya.

Malah, penganjuran itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi kerjasama sulung HAVOC bersama DBKL, selain merealisasikan impian syarikat berkenaan untuk menganjurkan festival berskala besar di lokasi bersejarah, Dataran Merdeka.

“Saya amat teruja apabila diberi ruang dan peluang untuk bekerjasama dengan DBKL. Lagipun, ini adalah kali pertama pihak saya terlibat, apatah lagi ia diadakan di Dataran Merdeka.

“Memang menjadi impian HAVOC untuk mengadakan festival di sana,” katanya.

Bagi Firdaus, peluang berkenaan bukan sekadar membuka ruang kerjasama antara dua pihak, sebaliknya menjadi platform untuk HAVOC bersama DBKL menghidupkan sebuah acara yang mampu memberikan pengalaman berbeza kepada masyarakat menerusi gabungan gastronomi, seni budaya dan hiburan.

Sepanjang festival berlangsung, pengunjung berpeluang menikmati pelbagai hidangan warisan dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, selain makanan popular, pencuci mulut kreatif serta sajian antarabangsa.

Turut disediakan Pavilion Usahawan MADANI sebagai ruang khusus untuk usahawan kecil memasarkan produk masing-masing.

Menerusi konsep Picnic, Healing & Lepak, DBKL turut menyediakan ruang berkelah, kawasan santai dan lima zon makan bagi memberikan pengalaman lebih selesa kepada pengunjung.

Lebih menarik, KL Gastrofest 2026 turut digabungkan dengan Festival Gendang dan Tari Antarabangsa Kuala Lumpur (KL GENTA) Edisi Ke-10 yang menghimpunkan 10 kumpulan kebudayaan dari enam negara iaitu Malaysia, Brunei Darussalam, Filipina, Indonesia, Timor-Leste dan Vietnam.

Mengangkat tema ‘Merentas Sempadan, Menyusuri Budaya’, festival kebudayaan itu menjadi platform pertukaran ilmu dan pengalaman dalam seni pergendangan serta tarian tradisional, selain memperkenalkan keunikan busana warisan negara masing-masing.

Kemuncak KL GENTA ialah Malam Gala pada 12 Disember, jam 8.30 malam di Dataran Merdeka yang bakal menampilkan persembahan kumpulan kebudayaan tempatan dan antarabangsa, persembahan gabungan serta penampilan istimewa MimiFly.

Dalam masa sama, pengunjung turut disajikan dengan siri Konsert Aku Tunggu di Kuala Lumpur yang menampilkan barisan artis tanah air menerusi tema persembahan berbeza.

Konsert Rock 90-an pada 8 Disember bakal mengimbau kegemilangan muzik rock tempatan menerusi penampilan Samudera, Aan Ways, Elly Xceed, Burn Meditasi, Amir Esa Pearl, Isa Graviti, Wom UG14, Ezam Akar dan Alim Kris.

Malam Galau pada 9 Disember pula menampilkan Betta Band, Drama Band dan Aisyah Ella, diikuti Lawak Havoc Muzika pada 10 Disember bersama Fad Bocey, Sharif Zero dan Danial Zaini.

Sebagai penutup festival pada 13 Disember, Konsert Malam Hanya Yang Satu bertemakan ketuhanan bakal menampilkan Ejam Medicine, Aris Ariwatan, Yabang Khalifah Hulubalang, Ali XPDC, Rahmad Mega dan Daie Band.

Selain pertandingan teh tarik, aktiviti melukis dan mewarna serta pelbagai pengisian interaktif untuk seisi keluarga, DBKL turut memberi penekanan terhadap aspek kebersihan dengan menyediakan tong sampah mencukupi di kawasan jualan makanan, ruang makan dan lokasi tumpuan pengunjung.

Menerusi penganjuran berskala besar itu, DBKL berharap KL Gastrofest 2026 mampu memperkukuh kedudukan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan gastronomi, seni dan budaya, di samping merancakkan kegiatan ekonomi usahawan serta penjaja tempatan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page