November 26, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Dotty’s Perkukuh Legasi Bakeri, Kini Singgah Di AEON Mall Shah Alam

Spread the love

Selepas lebih sedekad membina nama menerusi pastri artisan dan inovasi cita rasa tempatan, jenama diasaskan Nadia Nasimuddin terus mengembangkan sayap dalam industri kafe dan bakeri.

Lebih sedekad membina reputasi dalam industri bakeri dan kafe, Dotty’s Pastries & Coffee terus memperkukuh legasinya menerusi pembukaan cawangan terbaharu di AEON Mall Shah Alam, Seksyen 13.

Langkah pengembangan itu mencerminkan kesinambungan perjalanan jenama berkenaan yang bermula sebagai sebuah bakeri kejiranan di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, pada 2015 sebelum berkembang menjadi antara destinasi pilihan penggemar pastri dan sajian kafe.

Di sebalik perkembangan itu ialah pengasasnya, Nadia Nasimuddin, yang berjaya membentuk identiti Dotty’s menerusi gabungan kreativiti, kualiti penghasilan dan keberanian bereksperimentasi dengan cita rasa tempatan.

Nama Dotty’s mula mendapat perhatian menerusi Salted Egg Yolk Cronut, gabungan croissant dan donat yang diisi sos kuning telur masin sehingga mencetuskan fenomena dalam kalangan penggemar pastri di Kuala Lumpur.

Keistimewaan produk itu turut mendapat pengiktirafan sebuah majalah gaya hidup antarabangsa yang menyifatkan Dotty’s sebagai perintis kepada fenomena Salted Egg Yolk Cronut di ibu kota ketika itu. Dihasilkan dalam hanya tiga kelompok setiap hari, pastri berkenaan pernah menjadi tarikan sehingga pelanggan sanggup beratur panjang untuk mendapatkannya.

Namun, kekuatan Dotty’s tidak terhenti pada kejayaan satu produk ikonik apabila jenama itu terus meneroka pendekatan baharu dengan menyuntik elemen kulinari tempatan ke dalam penghasilan pastri moden.

Antara hasil kreativiti berkenaan ialah Signature Croti, gabungan croissant dan roti canai yang dihidangkan bersama Sambal Sardin menggunakan resipi Nadia sendiri, diinspirasikan daripada snek kegemarannya ketika zaman kanak-kanak.

Selain itu, penggunaan elemen seperti onde-onde, sambal sardin dan telur masin dalam penghasilan pastri memperlihatkan usaha Dotty’s mengangkat identiti rasa Malaysia menerusi pendekatan gastronomi yang lebih kontemporari.

Eksperimentasi tersebut turut mendapat perhatian pelanggan antarabangsa, termasuk dari Hong Kong, Singapura dan Dubai.

Dalam perkembangan sama, Maltilda Chocolate Cake turut menjadi antara produk popular Dotty’s menerusi interpretasi tersendiri terhadap fenomena kek coklat Matilda yang tular, manakala pilihan sajian utama merangkumi Signature Mushroom Soup with Truffle Oil, Salted Egg Pasta with Soft Shell Crab dan Meat Platter.

Menu tempatan seperti Dotty’s Curry Mee dan Dotty’s Chicken Rice turut melengkapkan penawaran kafe berkenaan, sekali gus memperlihatkan konsep perniagaan yang tidak hanya tertumpu kepada pastri dan kopi.

Komitmen terhadap kualiti pula diterjemahkan menerusi proses penghasilan roti, pastri dan kek dari awal yang dibakar segar setiap hari tanpa bahan pengawet atau ramuan tiruan.

Malah, dapur pusat Dotty’s yang mengendalikan pengeluaran pastri, kek dan produk bakeri turut memperoleh pensijilan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak 2023.

Kini, selain cawangan di Suria KLCC dan IOI City Mall, Putrajaya, kehadiran di AEON Mall Shah Alam membuka ruang kepada Dotty’s untuk mendekati lebih ramai pelanggan di Lembah Klang.

Pembukaan itu sekali gus melengkapkan perjalanan lebih sedekad jenama berkenaan dalam membina ekosistem perniagaan bakeri dan kafe yang menggabungkan pastri artisan, sajian tempatan serta pengalaman santai untuk keluarga dan rakan.

Dotty’s Pastries & Coffee di AEON Mall Shah Alam terletak di Lot G02, Aras Bawah, Jalan Akuatik 13/64, Seksyen 13, Shah Alam.

Premis berkenaan beroperasi setiap hari dari jam 10 pagi hingga 10 malam, dengan pesanan terakhir pada jam 9.30 malam.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page