November 26, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Cinta Lama Datuk Nenek Kembali Berputik, Ganggu Persiapan Kahwin Cucu

Spread the love

Widyawati, Sintya Marisca, Iskak Khivano dan Gisellma Firmansyah antara pelakon yang bakal memeriahkan Malam Gala Cinta Lama Babak Kedua di Kuala Lumpur, 3 Disember ini.

KISAH cinta yang pernah terkubur puluhan tahun lalu kembali mengusik kehidupan apabila persiapan perkahwinan sepasang cucu membuka semula rahsia percintaan datuk dan nenek mereka.

Itulah konflik menarik yang diketengahkan menerusi filem drama romantik Indonesia, Cinta Lama Babak Kedua (#CLBK), yang mengangkat persoalan cinta, kemaafan dan keberanian melepaskan masa silam demi kebahagiaan generasi seterusnya.

Filem arahan Ivander Tedjasukmana itu menampilkan dua pelakon veteran Indonesia, Widyawati sebagai Sita dan Slamet Rahardjo sebagai Abi, selain Iskak Khivano atau lebih dikenali sebagai Khiva Iskak serta Sintya Marisca yang masing-masing membawa watak Raka dan Ambar.

Barisan pelakon turut diperkuatkan dengan kemunculan Gisellma Firmansyah, Sarah Sechan dan Kiki Narendra.

Menariknya, konflik bermula apabila Raka dan Ambar yang sedang membuat persiapan perkahwinan berdepan kejutan apabila Sita membatalkan majlis keluarga selepas mengetahui Abi, datuk kepada Ambar, sebenarnya bekas kekasih yang pernah melukakan hatinya ketika zaman muda.

Keadaan itu meletakkan pasangan berkenaan dalam dilema apabila masing-masing cuba mempertahankan keluarga sendiri sehingga hubungan mereka mula renggang. Usaha Ambar memujuk Abi supaya meminta maaf kepada Sita pula membuka kembali episod luka lama yang belum benar-benar sembuh.

Namun, pertemuan semula Sita dan Abi di Bandung tanpa diduga menyemarakkan kembali perasaan yang pernah terpendam, sekali gus menjadikan usaha Raka dan Ambar menyelamatkan hubungan mereka semakin rumit.

Di sebalik konflik romantik itu, filem berkenaan turut menyentuh sisi kematangan emosi apabila masa lalu tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kebahagiaan generasi baharu.

Sementara itu, menjelang tayangan di pawagam Malaysia, Malam Gala Cinta Lama Babak Kedua bakal berlangsung pada 3 Disember ini di TGV Pavilion Kuala Lumpur, Bukit Bintang.

Empat pelakon filem berkenaan iaitu Widyawati, Sintya Marisca, Iskak Khivano dan Gisellma Firmansyah dijadualkan hadir bertemu peminat serta pengamal media tempatan.  Turut memeriahkan acara berkenaan ialah Vladimir Rama selaku penerbit bersama filem itu.

Pada sidang media di Jakarta, 26 Jun lalu, Ivander berkata, naskhah Cinta Lama Babak Kedua sebenarnya tersimpan hampir sedekad sebelum akhirnya berpeluang direalisasikan ke layar perak.

Mengulas pengalamannya mengarahkan dua pelakon berpengalaman, Slamet Rahardjo dan Widyawati, Ivander mengakui banyak perkara dipelajari sepanjang bekerjasama dengan kedua-dua figura seni berkenaan.

“Saya belajar banyak dari keduanya,” katanya.

Widyawati pula berpendapat kisah yang diketengahkan menerusi watak Sita dan Abi mempunyai kaitan rapat dengan realiti kehidupan, biarpun tidak semestinya berlaku dalam situasi serupa.

“Mungkin tidak persis seperti ini tetapi pasti ada yang mengalami,” katanya.

Cinta Lama Babak Kedua mula ditayangkan di Indonesia pada 2 Julai lalu dan bakal menemui penonton Malaysia mulai 10 Disember ini menerusi edaran Juragan Kaya Sdn Bhd.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page