Late Night Frequency Tinggalkan Zon Selesa, Teroka Muzik Akar Nusantara Menerusi Alangkah Indah

Keberanian seseorang pengkarya tidak semestinya diukur melalui kejayaan mengulangi formula yang pernah mencipta populariti, sebaliknya kemampuan meneroka wilayah kreatif baharu tanpa mengorbankan identiti muzik yang menjadi asas perjuangan mereka.
Prinsip itu diterjemahkan kumpulan lima anggota, Late Night Frequency menerusi single terbaharu berjudul Alangkah Indah yang bakal dilancarkan pada 27 November ini.
Menariknya, karya kelima daripada album studio kedua yang sedang dalam pembikinan itu memperlihatkan keberanian kumpulan berkenaan meninggalkan seketika dominasi bunyi disco-funk yang selama ini sinonim dengan identiti muzik mereka.
Sebaliknya, Alangkah Indah membawa pendengar menyelami eksperimentasi muzik lebih luas menerusi gabungan elemen tradisional Nusantara, ritma gendang, rap Melayu, groove bass, sintesis elektronik dan susunan psychedelic.

Pendekatan itu bukan sekadar percubaan mencipta kelainan, sebaliknya manifestasi usaha Late Night Frequency memperluaskan kosa kata muzik kontemporari dengan mengangkat warisan budaya serantau dalam acuan lebih moden.
Lebih daripada itu, karya berkenaan turut membawa dimensi pemikiran yang mendalam apabila mengangkat persoalan mengenai kewujudan manusia, identiti, ego, penyerahan diri dan perjalanan mengenali hakikat kehidupan.
Pengulangan persoalan lirik seperti ‘Namanya siapa?’ dan ‘Siapakah saya?’ menggambarkan pencarian makna diri, manakala ungkapan ‘Alhamdulillah’ menjadi simbol kesyukuran serta penerimaan terhadap kehidupan.
Menariknya, lagu itu tidak melihat pencarian jati diri sebagai proses membentuk seseorang menjadi individu baharu, sebaliknya mengajak pendengar melepaskan keterikatan terhadap ego dan tanggapan sendiri mengenai identiti.
Dalam perkembangan berkaitan, video muzik rasmi Alangkah Indah yang dijadualkan menemui penonton pada 4 Disember depan turut menjanjikan pengalaman visual tersendiri.
Diarahkan, ditulis dan diterbitkan sendiri oleh vokalis kumpulan itu, Dr Moja, video muzik berkenaan menjalani penggambaran di Taman Botani Negara Shah Alam dengan mengetengahkan konsep ritual mistik di tengah kehijauan hutan.
Menggabungkan estetika Nusantara, simbolisme ritual dan sinema psychedelic, karya visual itu menterjemahkan tema kematian ego, penyucian spiritual, penyerahan diri serta kelahiran semula.


Lebih mencuri perhatian, Dr Moja turut menjalani transformasi fizikal sebenar membabitkan rambut panjang yang menjadi identiti penampilannya selama ini. Tindakan yang dirakam tanpa simulasi itu menjadi metafora kepada usaha melepaskan identiti lama dan menanggalkan keterikatan terhadap ego, manakala bentuk sebenar transformasi berkenaan hanya akan didedahkan menerusi tayangan video muzik itu kelak.
Sebelum ini, Late Night Frequency turut menghasilkan beberapa karya termasuk Borderline Personality Disorder, Semekar Bunga (Kau Aku Suka), Annabelle dan kolaborasi tiga bahasa, Jutaan Warna.
Pengiktirafan menerusi Anugerah Industri Muzik (AIM), Anugerah Lagu Indie (ALI) dan VIMA Music Awards turut mengukuhkan kedudukan mereka sebagai antara kumpulan muzik bebas tempatan yang konsisten meneroka identiti muzik tersendiri.
Menerusi Alangkah Indah, Late Night Frequency seolah-olah mahu membuktikan bahawa kematangan seni bukan terletak pada keupayaan mengikut perubahan trend, sebaliknya keberanian mencabar sempadan kreativiti sendiri.
Single terbitan label Late Night Music itu boleh didengari menerusi Spotify, Apple Music, YouTube Music dan platform penstriman digital utama bermula 27 November ini, manakala video muzik rasminya bakal dilancarkan menerusi saluran YouTube rasmi Late Night Frequency pada 4 Disember depan.
