November 26, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Ipoh Buka Tirai Kebangkitan DISAGREE

Spread the love

Disagree bergabung dengan Motherland dan Private Whizz menerusi siri jelajah ‘Let’s Do It All Again Tour’

Selepas kembali menghangatkan pentas menerusi Konsert Black & White in Colour di REXKL, Oktober lalu, kumpulan rock alternatif tempatan, Disagree, meneruskan momentum perjalanan seni mereka menerusi siri jelajah Let’s Do It All Again Tour.

Menariknya, siri jelajah berkenaan bukan bergerak secara solo, sebaliknya menghimpunkan dua lagi kumpulan muzik alternatif tempatan, Motherland dan Private Whizz, dalam satu perkongsian pentas yang meraikan semangat persaudaraan serta kelangsungan muzik independen.

Ipoh, Perak dipilih sebagai destinasi pembuka tirai siri jelajah itu yang dijadual berlangsung di Insider Satellite, Sabtu ini, 28 November.

Pertemuan tiga kumpulan berkenaan membawa dimensi tersendiri dalam landskap muzik alternatif tempatan, khususnya apabila masing-masing memiliki identiti, karakter muzik dan perjalanan seni yang terbentuk menerusi ekosistem muzik independen.

Kolaborasi itu juga berakar daripada kecintaan bersama terhadap budaya muzik akar umbi yang suatu ketika dahulu berkembang melalui persembahan berskala kecil, komuniti peminat setia serta perkongsian pentas antara penggiat muzik.

Justeru, Let’s Do It All Again Tour bukan sekadar platform untuk menghidupkan kembali karya-karya yang pernah mewarnai perjalanan muzik mereka, malah menjadi ruang mempertemukan generasi peminat yang membesar dengan muzik alternatif bersama khalayak baharu.

Menariknya, persembahan sulung di Ipoh turut menampilkan HEM sebagai artis undangan, sekali gus memberikan peluang kepada bakat tempatan untuk berkongsi pentas dan memperluas jaringan dalam komuniti muzik independen.

Siri jelajah berkenaan turut mendapat sokongan RAKITA selaku Rakan Radio Rasmi yang memperkukuh usaha mengetengahkan muzik tempatan kepada khalayak lebih luas.

Bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan itu, acara bermula jam 8 malam dengan tiket Early Bird berharga RM30 sudah habis dijual, manakala tiket General Admission ditawarkan pada harga RM40 dan pembelian di lokasi pada harga RM70.

Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi www.letsdoitallagaintour.com.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page