November 25, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Ngirup KL Bawa ‘Secebis Sarawak’ Ke Tengah Ibu Kota

Spread the love

Restoran berkonsepkan rumah panjang Dayak tampil mengetengahkan keunikan warisan kulinari, budaya dan keramahan masyarakat Bumi Kenyalang menerusi sentuhan kreatif Chef Achang Libat.

Kredit Foto:  Syed Rusydie

Keunikan cita rasa Bumi Kenyalang kini boleh dinikmati di tengah-tengah ibu kota menerusi pembukaan Ngirup KL, restoran berkonsepkan sajian Sarawak yang menggabungkan keaslian masakan tradisional dengan sentuhan kontemporari.

Terletak di Jalan Tun H.S. Lee, restoran berkenaan bukan sekadar menawarkan hidangan popular seperti Laksa Sarawak dan Kolo Mee, sebaliknya membawa bersama pengalaman budaya serta keramahan masyarakat Sarawak dalam suasana santai.

Diterajui Chef Achang Libat, cef berdarah Kayan dan Lun Bawang yang mempunyai pengalaman kulinari di Kuala Lumpur serta Sydney, Ngirup KL menjadi platform terbaharunya untuk memperkenalkan kekayaan warisan makanan Sarawak kepada masyarakat lebih luas.

Menurut Achang, pendekatan masakannya banyak dipengaruhi pengalaman membesar di Kuching serta kunjungan ke kampung halaman keluarganya di Long Senadoh, Lawas dan kawasan Baram.

Pengalaman zaman kanak-kanak yang dekat dengan kehidupan kampung, termasuk mencari bahan makanan bersama keluarga, membentuk kreativiti serta penghargaan beliau terhadap penggunaan bahan tempatan.

“Matlamat kami hanya mahu memperkenalkan masakan dan budaya Sarawak. Makanan itu sendiri adalah makanan, tetapi apabila kita mengetengahkannya bersama budaya, masyarakat dan keramahan orang Sarawak, ia memberikan perbezaan besar,” katanya.

Achang yang pernah bekerja di beberapa premis terkenal di Sydney termasuk Guylian Chocolate Cafe dan Balcon by Tapavino sebelum kembali ke Kuching pada 2019, mengakui pendekatan masakannya tidak sepenuhnya tradisional.

Sebaliknya, beliau menggabungkan inspirasi masakan kampung dengan pengaruh kehidupan urban tanpa mengorbankan identiti serta rasa asal hidangan Sarawak.

“Masakan saya bukan seperti cara tradisional yang biasa dilakukan oleh ibu saudara saya. Ia lebih kepada inspirasi daripada cerita dan pengalaman membesar di Sarawak.  Saya menggabungkan budaya kampung dengan kehidupan bandar, tetapi tidak mahu menghilangkan keaslian masakan dan cita rasa Sarawak.

“Pendekatan ini lebih eksperimental, namun masih menggunakan bahan autentik apabila boleh atau menggantikannya dengan bahan tempatan yang bersesuaian,” katanya.

Baginya, kreativiti dalam masakan tidak semestinya memerlukan perubahan besar sehingga menghilangkan identiti sesuatu hidangan.  Beliau mengambil contoh Kolo Mee yang boleh diberikan nafas baharu menerusi pendekatan lebih kreatif tanpa perlu menambah elemen mewah seperti kaviar atau hiasan berlebihan.  Apa yang lebih penting ialah mengekalkan karakter, tekstur dan rasa asal hidangan berkenaan.

“Saya mahu mendidik masyarakat mengenai budaya tanpa mengeksploitasinya. Kita perlu mengangkat budaya dengan cara yang betul, sambil memberikan ruang kepada imaginasi baharu,” katanya.

Achang yang kini menerajui Gypsy Badger di Kuching turut dikenali menerusi pengalaman menganjurkan sesi makan eksklusif, acara pop-up, kolaborasi seni dan budaya serta demonstrasi kulinari di pelbagai lokasi.

Menariknya, Ngirup yang membawa maksud ‘mari minum’ dalam bahasa Iban turut dipilih sebagai nama restoran bagi menggambarkan semangat kebersamaan dan keramahan masyarakat Sarawak.  Konsep ruangnya pula diinspirasikan daripada rumah panjang masyarakat Dayak dengan dekorasi yang mengetengahkan kepelbagaian etnik serta budaya Sarawak.

Pengisian berkenaan akan terus berkembang menerusi penambahan bahan pameran, gambar dan kisah daripada pelbagai komuniti etnik di negeri itu.  Bagi memperkenalkan identiti kulinarinya, Ngirup KL turut mengetengahkan beberapa hidangan istimewa termasuk Laksa Sarawak yang menjadi antara sajian utama restoran berkenaan.

Hidangan berasaskan bihun itu disajikan bersama kuah berempah santan yang kaya aroma, dilengkapi ayam carik, hirisan telur dadar, udang dan sambal.

Tidak ketinggalan Kolo Mee, hidangan mi telur kenyal yang digaul bersama sos ringan dan berperisa, selain Roti Kahwin Terung Dayak yang menampilkan roti bakar gaya kopitiam dengan mentega Terung Dayak.

Menu berteraskan warisan budaya pula merangkumi Nasi Goreng Daun Ubi, Nasi Goreng Cornbeef, Sup Ayam Pansuh yang dimasak di dalam buluh menggunakan bahan tempatan serta Fish Umai, sajian ikan tenggiri yang diperam menggunakan limau kasturi dan ramuan aromatik.

Turut ditawarkan Paku Pakis Umai yang menggabungkan sayuran paku pakis dengan sajian berasaskan umai, selain pelbagai pilihan tapas seperti Gula Apong Chicken Karage, Kulit Manok Goreng dengan Minyak Tepus, Kantan Furikake Potato Fries dan Nara’, iaitu nugget daripada daging kerbau salai.

Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai sos dan pencicah termasuk Fried Tempoyak, Sambal Laksa, Tepus Aioli serta Cincalok.  Melengkapkan pengalaman menjamu selera, Ngirup KL turut menyajikan pencuci mulut seperti Terung Dayak Cobbler serta Urum atau Dinuh, snek goreng tradisional yang cukup dikenali dalam kalangan masyarakat Kenyah, Kayan dan Kelabit.

Dalam pada itu, Achang berharap Ngirup KL mampu menjadi destinasi pilihan pelancong dan masyarakat tempatan yang mahu mengenali keunikan Sarawak menerusi pengalaman makanan serta budaya.

Beliau turut percaya hidangan yang baik bukan sekadar mengenyangkan, sebaliknya perlu meninggalkan pengalaman dan emosi kepada mereka yang menikmatinya.

“Di Kuala Lumpur, kita mungkin tidak memperoleh 100 peratus bahan yang sama seperti di Sarawak, tetapi kita masih boleh menghasilkan cita rasa dan pengalaman yang serupa.  Makanan sepatutnya membuatkan seseorang merasai sesuatu, bukan sekadar mengenyangkan perut.

“Orang Sarawak yang datang ke Ngirup pasti akan merasai nostalgia dan menikmati secebis kampung halaman mereka di sini,” katanya.

Ngirup KL beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 1 pagi pada hari biasa, manakala sehingga 2 pagi pada Jumaat dan Sabtu.  Pengunjung turut berpeluang menikmati persembahan muzik akustik secara langsung oleh duo pemuzik Sarawak pada malam Jumaat dan Sabtu.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page