November 23, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Insomniacks Terjun Ke Dunia Fesyen, Cipta Sejarah Bersama High Cultured

Spread the love

Kolaborasi pertama kumpulan itu dengan jenama pakaian tempatan turut menjadi projek direct-to-retail pertama Universal Music Malaysia menerusi koleksi sembilan rekaan streetwear.

Tidak mahu identiti mereka terhad kepada dunia muzik semata-mata, kumpulan popular Insomniacks kini mengembangkan pengaruh kreatif menerusi kolaborasi istimewa bersama jenama streetwear tempatan, High Cultured.

Bersandarkan inspirasi album terbaharu mereka, KAMI INSOMNIACKS, kerjasama itu melahirkan koleksi fesyen yang menggabungkan karakter muzik kumpulan berkenaan dengan DNA streetwear High Cultured.

Lebih signifikan, kolaborasi itu mencatat dua pencapaian tersendiri apabila menjadi kerjasama pertama Insomniacks dengan jenama pakaian tempatan, selain projek direct-to-retail pertama Universal Music Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Asia Tenggara dan Korea merangkap Naib Presiden Kanan Asia, Calvin Wong berkata, kerjasama itu membuka lembaran baharu dalam usaha menghubungkan industri muzik dan fesyen tempatan.

Menurutnya, Insomniacks mempunyai identiti muzik tersendiri serta hubungan kukuh dengan peminat, sekali gus menjadikan koleksi berkenaan platform baharu untuk mereka mengekspresikan hubungan tersebut.

Bagi High Cultured pula, kolaborasi itu bukan sekadar menghasilkan koleksi pakaian, sebaliknya menjadi ruang meraikan bakat tempatan dan menyatukan dua komuniti kreatif menerusi nilai keaslian, konsistensi serta ekspresi diri.

Ketua Pegawai Eksekutif High Cultured, KC Teo berkata, pihaknya melihat Insomniacks sebagai kumpulan yang memiliki semangat dan prinsip kreatif seiring dengan falsafah jenama berkenaan.

Katanya, streetwear bukan sekadar berkaitan fesyen, sebaliknya menjadi medium mencerminkan identiti, kreativiti dan budaya yang mampu menyatukan masyarakat, khususnya generasi muda.

Menariknya, Insomniacks turut terbabit secara langsung dalam proses pembangunan koleksi itu dengan berkongsi idea serta membantu menentukan hala tuju kreatif setiap rekaan.

Kumpulan itu menyifatkan gaya High Cultured sebagai padanan tepat dengan identiti album KAMI INSOMNIACKS, sekali gus memberi peluang kepada mereka menterjemahkan perjalanan muzik ke dalam bentuk fesyen.

Pendekatan reka bentuk turut mengambil kira elemen persahabatan, perkembangan diri dan pengalaman harian yang menjadi antara tema penting dalam perjalanan kumpulan berkenaan.

Secara keseluruhan, koleksi Insomniacks × High Cultured menampilkan sembilan rekaan merangkumi Rhinestone Ladies Raglan Baby Tee, Baseball Cap, Rockstar Ringer Slim Fit Tee, KAMI Boxy Tee, Mesh Boxy Jersey Tee, Jersey Polo Tee, Loose Bootcut Sweatpants, Studded Star Boxy Hoodie dan Flame Bomber Jacket.

Menurut Insomniacks, peminat menjadi antara pertimbangan utama sepanjang proses penghasilan koleksi itu kerana mereka mahu setiap rekaan mempunyai nilai sentimental dan menjadi simbol hubungan antara kumpulan berkenaan dengan penyokong setia.

Kolaborasi itu turut dibawa ke pentas antarabangsa apabila Insomniacks mengenakan beberapa rekaan daripada koleksi berkenaan ketika membuat persembahan pembukaan konsert 5 Seconds of Summer di Malaysia pada 17 November lalu.

Kemunculan itu sekali gus memperlihatkan bagaimana muzik dan fesyen mampu bergerak seiring, selain memberikan pendedahan lebih luas terhadap koleksi berkenaan menerusi platform persembahan secara langsung.

Mengulas kemungkinan kerjasama susulan, High Cultured tidak menolak peluang untuk meneroka lebih banyak projek bersama Insomniacks serta pemuzik tempatan lain pada masa hadapan.

Koleksi Insomniacks × High Cultured kini boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi highcultured.my.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page