AKAR//NEXT Himpun 60,000 Pengunjung, 190 Vendor Gegarkan Pasar Seni

Festival tiga hari anjuran Goodseed Event bukan sekadar menyajikan hiburan, malah mengangkat warisan Nusantara, kreativiti dan ekonomi komuniti menerusi 23 persembahan serta penyertaan usahawan tempatan.
Lebih 60,000 pengunjung membanjiri Central Market atau Pasar Seni sepanjang tiga hari penganjuran festival budaya kontemporari AKAR//NEXT 2026, sekali gus membuktikan gabungan muzik, warisan dan kreativiti tempatan masih mempunyai daya tarikan tersendiri.
Berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November lalu, festival mengangkat tema One Root. Infinite Futures. itu turut menghimpunkan 190 vendor daripada pelbagai sektor, termasuk pengusaha makanan dan minuman, jenama tempatan, pereka serta usahawan produk kreatif.
Dianjurkan Goodseed Event dengan sokongan Hotlink sebagai penaja, AKAR//NEXT 2026 bukan sekadar menawarkan pengalaman hiburan, sebaliknya menjadi platform mempertemukan penggiat seni, komuniti budaya dan pemain ekonomi kreatif dalam satu ekosistem yang lebih dinamik.
Keunikan festival itu terserlah menerusi penggunaan kawasan parkir, ruang dalaman Pasar Seni serta Benteng Pasar Seni yang diubah menjadi ruang interaksi budaya, perniagaan dan kreativiti.




Sebanyak 23 persembahan menjadi antara tarikan utama sepanjang festival berlangsung, membabitkan penglibatan artis, kumpulan muzik indie, pemuzik dan DJ.
Antara nama yang turut mengisi pentas ialah D’Pujangga, Satwo, Aliff dan OUG, sekali gus menawarkan kepelbagaian muzik kepada pengunjung daripada persembahan secara langsung hinggalah muzik elektronik.


Lebih menarik, festival itu turut mengetengahkan eksperimentasi muzik menerusi pertembungan Afrobeat dengan elemen Nusantara, selain gabungan instrumen tradisional dan susunan elektronik moden. Persembahan Gambus dan Tabla yang diberikan sentuhan kontemporari memperlihatkan bagaimana khazanah muzik tradisional boleh diteroka semula tanpa menghilangkan identiti asalnya.
Di sebalik kemeriahan muzik moden, AKAR//NEXT 2026 turut meletakkan warisan budaya sebagai antara teras utama penganjurannya.

Persembahan Gamelan, Cak Lempong, Ghazal, Teater Randai, Dikir Barat serta tarian tradisional membuka ruang kepada pengunjung untuk mendekati kepelbagaian seni persembahan yang menjadi sebahagian daripada identiti budaya Nusantara.
Pendekatan itu memperlihatkan bahawa warisan tidak seharusnya terperangkap dalam kerangka persembahan konvensional, sebaliknya perlu diberikan ruang untuk berkembang melalui pendekatan kreatif yang lebih dekat dengan generasi muda.
Dalam konteks itu, AKAR//NEXT membawa mesej bahawa pemeliharaan budaya bukan sekadar usaha mengimbau masa silam, tetapi tanggungjawab memastikan khazanah berkenaan terus relevan dalam landskap seni masa kini.



Selain persembahan pentas, penyertaan 190 vendor turut menjadi nadi penting yang menghidupkan keseluruhan festival. Pengunjung berpeluang meneroka pelbagai pilihan makanan dan minuman termasuk Beriani Johor, Tahu Begedil, Takoyaki, Tahu Crispy serta Popiah Fusion dengan aneka pilihan inti.
Deretan pencuci mulut seperti kek, biskut, coklat dan strawberi turut melengkapkan tawaran gastronomi, selain minuman popular seperti matcha dan kopi serta sajian tradisional dari Sabah.
Tidak terhad kepada makanan, pengunjung juga berpeluang mendapatkan pelbagai produk gaya hidup termasuk pakaian, minyak wangi, beg tangan, kasut, aksesori dan barangan kreatif keluaran jenama tempatan.
Penyertaan besar-besaran vendor itu bukan sahaja memberikan pilihan lebih luas kepada pengunjung, malah membuka peluang kepada usahawan tempatan memperkenalkan produk, meluaskan jaringan perniagaan dan berinteraksi secara langsung dengan pelanggan.
Menariknya, AKAR//NEXT 2026 turut menyediakan aktiviti kreatif untuk kanak-kanak menerusi sudut melukis serta permainan tradisional seperti batu seremban dan congkak.
Pengisian berkenaan memberikan peluang kepada generasi muda mengenali warisan permainan rakyat, selain menjadikan festival itu sebagai destinasi rekreasi yang boleh dinikmati seisi keluarga.
Gabungan muzik kontemporari, seni persembahan tradisional, gastronomi, fesyen dan aktiviti komuniti menjadikan festival itu dekat dengan cita rasa Gen Z tanpa mengetepikan nilai budaya yang menjadi asas identitinya.
Pemilihan Pasar Seni sebagai lokasi penganjuran juga memberikan dimensi tersendiri memandangkan kawasan berkenaan mempunyai hubungan erat dengan sejarah, seni dan perkembangan warisan Kuala Lumpur.
Secara keseluruhannya, kehadiran lebih 60,000 pengunjung, penyertaan 190 vendor serta 23 persembahan membuktikan potensi AKAR//NEXT sebagai platform yang mampu menyatukan industri hiburan, seni budaya dan ekonomi kreatif.
