Raja Band KL Kembali Selepas 11 Tahun, Hadiah RM28,000 Jadi Rebutan!

10 kumpulan bakal berentap merebut gelaran juara, manakala Ito Mohd Blues Gang & Son, K.O.I. dan Khalifah antara penghibur Rasa Rakyat di Panggung Anniversari.
Selepas 11 tahun menyepi, pertandingan Raja Band Kuala Lumpur (KL) kembali menghidupkan pentas muzik tempatan dengan menghimpunkan 10 kumpulan terbaik yang bakal berentap merebut gelaran juara edisi 2026.
Lebih menarik, pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM28,000 itu bakal berlangsung di Panggung Anniversari, Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur, Sabtu ini.
Menerusi Grand Final Raja Band KL 2026, kesemua finalis bakal memperlihatkan keupayaan masing-masing dalam mempertaruhkan kreativiti, susunan muzik dan identiti persembahan bagi memikat barisan juri.
Sepuluh kumpulan yang berjaya melangkah ke pentas akhir ialah Mijo’s Band, The Massive, Chlypdy, Angkatan Kita, The Rudean, The Crush Band, Crackers Paradox, Renewar, Orion dan Soul Difficulties.
Pertandingan yang mula diperkenalkan pada 2012 dan kali terakhir dianjurkan pada 2015 itu kembali selepas menerima lebih 100 penyertaan menerusi saringan dalam talian.
Juara bakal membawa pulang wang tunai RM10,000, manakala naib juara menerima RM5,000 dan tempat ketiga RM3,000. Tujuh kumpulan lain pula masing-masing membawa pulang RM1,000 sebagai hadiah saguhati.
Dua anugerah khas turut disediakan iaitu Susunan Muzik Terbaik dan Persembahan Terbaik dengan masing-masing menawarkan hadiah RM1,500.

Barisan juri terdiri daripada komposer terkenal, Dr Azmeer, penggiat industri hiburan Jennifer Thompson serta komposer dan pemuzik Zai Hamzah atau Achoi daripada Floor 88 dan K.O.I.
Menariknya, Achoi mempunyai pengalaman tersendiri apabila pernah menyertai pertandingan sama pada 2015 bersama Floor 88 sebelum kembali kali ini dengan tanggungjawab sebagai juri.
Malam pertandingan yang bermula jam 8.30 malam itu turut dimeriahkan dengan persembahan khas Kugiran D’Tepi Pantai, manakala Nadia Hasnan bertindak sebagai hos.
Acara berkenaan merupakan sebahagian daripada program Semarak Seni @ Panggung Anniversari anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Kebudayaan, Kesenian, Pelancongan dan Sukan dengan sokongan dana Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) di bawah inisiatif Warisan Kuala Lumpur.
Kemeriahan tidak terhenti setakat pertandingan muzik apabila Ahad ini, pengunjung turut berpeluang menikmati program Rasa Rakyat yang menggabungkan hiburan dan jualan pelbagai makanan serta minuman.

Bermula jam 5 petang hingga 7 malam, pengunjung bakal disajikan persembahan Dikir Barat Issey & Friends dengan Mie Raja Lawak sebagai hos.
Sementara itu, pentas malam bermula jam 8.30 malam bakal menyaksikan persembahan Ito Mohd Blues Gang & Son, K.O.I., Khalifah serta kumpulan yang dinobatkan sebagai juara Raja Band KL 2026. Segmen berkenaan akan dikendalikan Sonic Hussein.
Penganjuran dua acara berkenaan bukan sekadar menawarkan hiburan hujung minggu, malah menjadi usaha DBKL menghidupkan Panggung Anniversari sebagai ruang pengembangan seni dan budaya, selain membuka peluang kepada pemuzik tempatan serta usahawan kecil untuk mengetengahkan bakat dan produk masing-masing.
Apa yang pasti, pengunjung mempunyai dua alasan untuk ke Panggung Anniversari hujung minggu ini, menyaksikan perebutan gelaran Raja Band KL pada Sabtu dan menikmati kepelbagaian hiburan serta juadah menerusi Rasa Rakyat pada Ahad.
Kemasukan adalah percuma bagi kedua-dua acara.
