November 18, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

EXISTS Pulang Ke Akar, Tujuh Anggota Bersatu Di Johor

Spread the love

Himpunkan tujuh anggota, bawakan karya daripada lapan album studio dalam persembahan lebih dua jam, jualan tiket sudah mencecah 50 peratus.

BUKAN mudah menghimpunkan tujuh anggota sebuah kumpulan legenda dalam satu pentas, apatah lagi apabila masing-masing mempunyai sejarah dan sumbangan tersendiri dalam perjalanan muzik yang menjangkau lebih tiga dekad.

Namun, itulah yang bakal direalisasikan EXISTS menerusi Konsert Exists Pulang Live In Johor Bahru di EduCity Sports Complex, Iskandar Puteri, Johor, 9 Januari 2027.

Lebih mencuri perhatian, konsert itu menyatukan Mamat dan Ezad selaku vokalis bersama Along dan Shah (gitar), Musa (bass), Ujang (dram) serta Ajai (keyboard), sekali gus membuka ruang buat peminat menghayati semula pelbagai fasa perjalanan muzik kumpulan berkenaan.

Mengangkat judul Pulang, persembahan anjuran Nusantara Live Entertainment bersama Infinity Love Creative Ventures itu membawa makna tersendiri apabila Johor merupakan tempat bermulanya perjalanan seni EXISTS sebelum nama mereka berkembang menjadi antara kumpulan popular dalam industri muzik tanah air.

Bagi Ajai, peluang kembali mengadakan persembahan besar di negeri kelahiran mereka bukan sekadar memenuhi tuntutan kerjaya seni, sebaliknya satu penghargaan terhadap tempat yang membentuk identiti kumpulan itu.

“Johor adalah tempat kami bermula. Di sinilah perjalanan EXISTS dibentuk, di sinilah kami belajar mengenal muzik dan mengejar impian.

“Apabila diberi peluang untuk kembali dan mengadakan sebuah konsert besar di negeri sendiri, perasaannya memang berbeza. Ini bukan sekadar tentang membuat persembahan, tetapi tentang pulang dan menghargai tempat yang membentuk siapa kami hari ini,” katanya pada sidang media konsert itu di Hotel Sheraton Kuala Lumpur, 17 November lalu.

Sementara itu, Musa melihat konsert berkenaan sebagai peluang menemukan semula peminat yang membesar dengan lagu-lagu EXISTS, termasuk mereka yang kini sudah membawa anak-anak mengenali karya kumpulan itu.

Katanya, muzik EXISTS mempunyai keistimewaan tersendiri apabila mampu menghubungkan pengalaman dan kenangan pendengar daripada generasi berbeza.

“Kami tahu ramai yang membesar dengan lagu-lagu EXISTS. Ada yang menyimpan kenangan zaman sekolah, zaman percintaan, malah ada yang kini sudah membawa anak-anak mereka mendengar lagu yang sama.

“Kami mahu malam ini menjadi satu pertemuan antara generasi. Kami mahu peminat datang bukan sekadar untuk menonton konsert, tetapi merasai kembali kenangan yang pernah menjadi sebahagian daripada kehidupan mereka,” katanya.

Menariknya, persembahan itu bakal membawa peminat menyusuri karya daripada lapan album studio EXISTS menerusi persembahan berdurasi lebih dua jam.

Antara lagu yang sinonim dengan kumpulan itu termasuk Untukmu Ibu, Mengintai Dari Tirai Kamar, Julia, Jesnita, Bunga, Janji Padamu, Alasanmu dan Langkah Seiringan.

Pertemuan Mamat dan Ezad dalam satu persembahan turut memberikan dimensi tersendiri memandangkan kedua-duanya mewakili fasa berbeza perjalanan vokal EXISTS.

Justeru, konsert berkenaan bukan sekadar medan mengimbau lagu-lagu popular, tetapi turut membuka peluang kepada peminat menyaksikan perjalanan muzik kumpulan itu melalui gabungan tujuh anggota yang mempunyai sejarah bersama EXISTS.

Dalam perkembangan sama, wakil Nusantara Live Entertainment, Muhammad Hafiz Abd Hamid dan Nur Liyana Abd Rahman berkata, penganjuran konsert berkenaan adalah kolaborasi kali kedua bersama Infinity Love Creative Ventures selepas kejayaan Wali Live In JB pada 3 Oktober lalu.

Konsert berkenaan berjaya menarik kira-kira 14,000 penonton di lokasi sama, sekali gus memberikan keyakinan kepada kedua-dua penganjur untuk meneruskan penganjuran persembahan berskala besar di Johor.

Menurut mereka, pemilihan EXISTS sebagai artis utama mempunyai nilai sentimental memandangkan Johor merupakan tempat bermulanya perjalanan muzik kumpulan berkenaan.

Malah, sambutan peminat terhadap konsert itu juga memberangsangkan apabila 50 peratus tiket sudah terjual setakat sidang media berlangsung.

Bagi peminat yang mahu menyaksikan pertemuan tujuh anggota EXISTS di satu pentas, tiket ditawarkan menerusi enam kategori iaitu Janji Padamu (CAT 4) berharga RM98, Julia (CAT 3) RM138, Jesnita (GA) RM149, Bunga (CAT 2) RM168, Alasanmu (CAT 1) RM428 dan Untukmu Ibu (SUPERVIP) RM928.

Tiket boleh dibeli menerusi laman sesawang https://myticket.asia/.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page