Rosalinda Tak Menang Tangan, Tiga Single Dalam Tempoh Singkat!

Selepas ‘Mek In Kelate’ bersama Man Khan dan ‘Buke Tok Laku’, penyanyi kelahiran Terengganu itu tampil dengan single terbaharu ‘Abe Jange Bimbey’ bersama Eddie Hamid.
Bukan semua penyanyi dikurniakan peluang menghasilkan karya baharu dalam jarak masa yang singkat. Namun, rezeki nampaknya cukup memihak kepada penyanyi lagu dialek Kelantan, Rosalinda, apabila tiga single berjaya diperkenalkan sepanjang tahun ini.
Meskipun bukan nama yang sering menghiasi tajuk utama dunia hiburan, perjalanan seni Rosalinda atau nama sebenarnya Shahima Edayu Akma Binti Mohd Alwi, 35, memperlihatkan perkembangan positif apabila terus mendapat kepercayaan penerbit dan syarikat rakaman.
Selepas mencuri perhatian menerusi lagu duet bersama Man Khan, ‘Mek In Kelate’ yang dilancarkan April lalu, Rosalinda kembali dengan single solo ‘Buke Tok Laku’ pada Ogos sebelum mempertaruhkan karya terbaharu, ‘Abe Jange Bimbey’ yang menampilkan penyanyi dan komposer berpengalaman, Eddie Hamid.
Bagi penyanyi berasal dari Kemaman, Terengganu itu, peluang berkenaan dianggap sebagai rezeki yang tidak pernah dijangka, apatah lagi apabila single solonya masih baharu di pasaran.
“Alhamdulillah, semua yang berlaku telah ditetapkan Allah. Saya memang tak sangka dalam tempoh yang singkat mendapat peluang untuk tampil dengan single baharu lagi.
“Walaupun single solo ‘Buke Tok Laku’ masih baharu di pasaran, rupa-rupanya ada lagi syarikat rakaman yang berminat untuk merakam single solo baharu saya. Ini semua rezeki yang tak dijangka,” katanya.
Mengulas mengenai ‘Abe Jange Bimbey’, Rosalinda mengakui teruja apabila berpeluang bergandingan dengan Eddie Hamid menerusi lagu berentak dangdut Indonesia itu.
Lagu ciptaan Eddie Hamid berkenaan menggunakan lirik hasil nukilan Ijel, Mama Ana dan Jaju.
Menurut Rosalinda, tawaran merakamkan lagu itu diterima daripada Eddie pada awal Julai lalu, namun dia tidak mengetahui identiti penyanyi yang bakal menjadi pasangan duetnya ketika itu.
“Saya dapat tawaran untuk rakam lagu ‘Abe Jange Bimbey’ daripada abang Eddie awal Julai lalu. Apabila mendengar lagu ini, saya dapat rasakan lagu ini boleh diterima oleh semua golongan pendengar.
“Sewaktu ditawar untuk rakam lagu ini, saya diberitahu akan bergandingan dengan seseorang. Saya memang tak tahu siapa bakal pasangan duet saya tapi apa yang penting ialah melaksanakan tanggungjawab saya dengan sebaik-baiknya.
“Bila saya pergi ke studio rakaman K-Seventh, Kota Bharu, barulah saya tahu akan bergandingan dengan abang Eddie dalam lagu terbaharu ini. Terharu sangat. Walaupun sebelum ini kami pernah bergandingan bersama ramai penyanyi lain, kali ini kami berdua saja. Vibes bergandingan dengan orang tersohor ini memang berbeza,” katanya.
Rosalinda memulakan sesi rakaman secara solo pada awal Ogos dan Eddie turut berada di studio bagi membantu sepanjang proses rakaman berlangsung. Bukan sekadar mempertaruhkan lagu baharu, video muzik ‘Abe Jange Bimbey’ juga sudah selesai menjalani penggambaran di Pantai Ndo, Tumpat.
Kali ini, Rosalinda tampil sebagai watak utama tanpa pelakon undangan, manakala Eddie membuat penampilan istimewa dalam video muzik berkenaan.
Rosalinda berharap karya terbaharunya itu mampu mendapat sambutan pendengar sekali gus membuka peluang untuk mendapat pengiktirafan di pentas Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), sebagaimana lagu dialek Kelantan lain yang pernah mencipta kejayaan.
Bagaimanapun, penyanyi yang cukup sinonim dengan lagu dialek Kelantan dan dikir barat itu tidak pernah menyembunyikan impiannya untuk meneroka genre muzik lebih luas, khususnya pop.
” Bohonglah kalau saya katakan tak ada impian nak keluarkan lagu dalam genre pop seperti penyanyi lain selain lagu dialek Kelantan. Kalau ada peluang untuk rakam lagu arus perdana, memang saya tak akan menolak.
“Mungkin belum masanya lagi, saya kena bersabar dulu. Apapun saya tetap bersyukur kerana setakat ini, saya masih ada beberapa lagu lagi yang dalam proses pembikinan.
“Saya bukan tamak, tapi saya percaya pada rezeki kerana setiap orang ada bahagian masing-masing. Bagi saya, setiap karya yang saya keluarkan bukan untuk bersaing dengan sesiapa pun,” katanya.
Single ‘Abe Jange Bimbey’ terbitan kerjasama Dua Karya Production dan Kijang Music dilancarkan pada 12 November lalu dan kini boleh distrim menerusi semua platform penstriman muzik utama.
Video muzik rasmi lagu berkenaan juga boleh ditonton menerusi saluran YouTube Kijang Music.
