“Kita Perlu Berani Tolak Rasuah” – Zed Zaidi

SENIMAN, SPRM dan FINAS berganding menganjurkan HARA 2026 bagi menyemai budaya integriti dalam industri kreatif
Tanggungjawab penggiat seni tidak seharusnya terhenti di pentas hiburan atau layar perak, sebaliknya turut merangkumi peranan membentuk masyarakat yang menjunjung nilai integriti serta menolak budaya rasuah.
Berlandaskan kesedaran itu, Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) mengambil inisiatif berganding bahu dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menganjurkan Program Hari Antirasuah Antarabangsa (HARA) 2026: Industri Kreatif pada 29 November ini.
Presiden SENIMAN, Zed Zaidi berkata, program berkenaan bertujuan mendekatkan mesej antirasuah kepada warga industri kreatif menerusi pendekatan lebih santai, mesra dan mudah difahami.
Menurutnya, kerjasama itu tercetus susulan hasrat SPRM memperluaskan kesedaran mengenai kepentingan membanteras rasuah sempena sambutan HARA 2026, khususnya dalam kalangan penggiat seni.
“Kita mahu penggiat seni memahami bahawa isu integriti ini dekat dengan kehidupan dan kerjaya mereka.
“Sebab itu, pendekatan lebih santai dan mesra dipilih supaya mesej antirasuah dapat disampaikan dengan lebih berkesan,” katanya.
Mengulas tanggungjawab anak seni dalam usaha membanteras rasuah, Zed menegaskan integriti perlu menjadi prinsip asas yang tidak boleh dikompromi dalam setiap urusan profesional.
Katanya, pengaruh selebriti dan penggiat seni yang mempunyai kelompok pengikut tersendiri juga wajar dimanfaatkan untuk menyebarkan nilai positif kepada masyarakat.
“Ahli SENIMAN mempunyai peranan penting, bukan sahaja sebagai penggiat seni tetapi juga individu yang mempunyai pengaruh kepada masyarakat. Setiap ahli perlu mengamalkan integriti dalam urusan kontrak, pembayaran, pengurusan produksi dan hubungan profesional.
“Kita perlu berani menolak rasuah dan tidak berkompromi dengan sebarang amalan yang salah. Seni bukan sekadar hiburan, tetapi medium untuk menyampaikan nilai dan membentuk masyarakat,” katanya.
Justeru, Zed berharap ahli SENIMAN tidak melepaskan peluang menyertai program berkenaan bagi meningkatkan pengetahuan mengenai hak serta tanggungjawab mereka sebagai penggiat industri.
Beliau berkata, pendedahan sedemikian penting bagi membolehkan warga seni melindungi diri daripada eksploitasi, penyalahgunaan kuasa dan amalan tidak berintegriti yang boleh menjejaskan perjalanan kerjaya mereka.
“Kita mahu membina industri seni yang lebih profesional, telus dan dipercayai. Paling penting, generasi penggiat seni akan datang dapat bekerja dalam persekitaran yang lebih baik,” katanya.
Menariknya, program sehari itu bukan sekadar tertumpu kepada taklimat kesedaran, malah turut menyediakan pelbagai pengisian interaktif bagi menarik penyertaan warga industri kreatif.

Antara aktiviti yang dirancang termasuk taklimat khas SPRM, bengkel TikTok percuma serta pertandingan video pendek Public Service Announcement (PSA) yang menawarkan hadiah menarik.
Program itu turut dimeriahkan dengan pameran daripada persatuan dan rakan industri selain persembahan artis.
Menyasarkan penyertaan pemain industri kreatif, warga FINAS dan pelajar, program berkenaan akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 5 petang di Kompleks Studio Merdeka FINAS, Ulu Kelang, Selangor.
Zed berharap penganjuran HARA 2026 mendapat sambutan menggalakkan kerana usaha membanteras rasuah bukan tanggungjawab satu pihak semata-mata, sebaliknya memerlukan kesedaran serta komitmen bersama.
Katanya, sudah tiba masanya industri kreatif bergerak lebih jauh dengan tidak hanya mengukur kejayaan menerusi pencapaian karya dan populariti, malah turut memberikan perhatian terhadap pembinaan ekosistem kerja yang telus, profesional dan berintegriti.
