Simpunk ‘Terbang’ Buka Langkah Baharu

Single sulung ciptaan Myra Bruno bawa mesej kebebasan, impian dan keberanian melepaskan masa lalu
Kumpulan pop rock dari Melaka, Simpunk, membuka lembaran baharu dalam perjalanan muzik mereka menerusi pelancaran single sulung berjudul Terbang yang mengangkat tema impian, kebebasan dan keberanian melangkah keluar daripada belenggu kehidupan.
Diterbitkan dengan kerjasama Luncai Emas Sdn Bhd selaku pemegang hak cipta komposisi dan pengedar digital, lagu ciptaan Myra Bruno itu menjadi taruhan awal Simpunk untuk memperkenalkan identiti muzik mereka kepada pendengar tempatan.
Menerusi Terbang, Simpunk cuba menyampaikan mesej bahawa ada masanya seseorang perlu berani melepaskan sesuatu yang disayangi, bukan kerana hilangnya rasa peduli, sebaliknya demi memberi ruang kepada perjalanan dan destinasi baharu yang menanti.
Vokalisnya, Afiq Bruno, berkata setiap individu mempunyai kisah serta perjalanan hidup tersendiri, justeru mereka berharap lagu berkenaan mampu menjadi sumber semangat kepada pendengar.

“Bagi kami, setiap orang ada cerita dan perjalanan masing-masing. Jika lagu Terbang ini boleh beri sedikit semangat atau menemani seseorang dalam perjalanannya, itu sudah cukup bermakna bagi kami,” katanya.
Bagi Simpunk, muzik bukan sekadar proses menghasilkan lagu, sebaliknya medium penceritaan yang merangkum kisah persahabatan, perjuangan, impian serta keberanian untuk terus bergerak ke hadapan meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Ditubuhkan pada 2025, Simpunk dianggotai lima anak Melaka iaitu Afiq Bruno selaku vokalis, Aniq dan Noh Slash (gitar), Wan Gegau (bes) serta Nabil (dram).
Nama Wan Gegau turut dikenali dalam dunia hiburan tempatan menerusi penglibatannya sebagai pelawak dan pelakon, selain popular dengan tagline “Nampaktakk”.
Sebelum melangkah ke fasa baharu menerusi pelancaran single, Simpunk aktif mengadakan persembahan kugiran secara langsung di Melaka dan beberapa lokasi lain di seluruh negara.
Kerjasama dengan Luncai Emas dilihat sebagai peluang bermakna buat kumpulan itu untuk memperluas capaian karya mereka menerusi platform penstriman digital, sekali gus memperkenalkan muzik Simpunk kepada khalayak lebih besar.
Sokongan syarikat berkenaan terhadap karya pelbagai artis dan genre turut membuka ruang kepada Simpunk untuk mewarnai landskap muzik tempatan dengan identiti tersendiri.
Single Terbang kini boleh didengari menerusi platform penstriman muzik utama termasuk Spotify, Apple Music, YouTube Music dan KKBOX. Video muzik rasmi lagu berkenaan juga boleh ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas.
