Monosterio Akhirnya Jumpa ‘Rumah’

Dua Tahun Siapkan Album, Luncai Emas Nampak Potensi Trio Itu Yang Kini Tampil Dengan Vokalis Baharu Menerusi Single Arah Yang Hilang Bulan Depan
SELEPAS hampir dua tahun menyiapkan album penuh, kumpulan Monosterio akhirnya menemui rakan seperjuangan apabila Luncai Emas menyatakan kesediaan bekerjasama untuk membawa muzik mereka ke tahap lebih tinggi.
Bukan sekadar mengedarkan lagu, kerjasama itu membuka ruang buat kumpulan dianggotai Anep (dram), Abeb (vokal) dan Alan (gitar) memperluas jangkauan muzik mereka, terutama dalam aspek promosi yang selama ini sukar digerakkan secara bersendirian.
Lebih menarik, album yang memuatkan 10 lagu itu turut melalui proses rakaman semula vokal selepas Abeb menyertai kumpulan berkenaan, sekali gus memberikan nafas baharu kepada karya yang sudah disiapkan lebih awal.
Menurut Alan, hubungan dengan Luncai Emas bermula menerusi perbincangan berkaitan pengedaran muzik sebelum pihak syarikat rakaman itu mengubah hala perbincangan selepas mendengar sendiri material lagu Monosterio.

“Pada awalnya, kami hanya berbincang mengenai pengedaran. Selepas mendengar lagu kami, pihak Luncai Emas melihat album ini mempunyai potensi dan menawarkan kerjasama.
“Kami memang memerlukan sokongan promosi kerana tidak mampu melakukannya sendiri. Jadi, peluang ini sesuatu yang baik untuk kami,” katanya dalam satu wawancara secara eksklusif yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 12 Oktober lalu.
Monosterio bakal membuka langkah menerusi pelancaran single pertama berjudul Arah Yang Hilang bulan depan, sebelum menyusul dua lagi single menjelang pelancaran album penuh. Lagu berkenaan dipilih oleh pasukan Datuk M. Nasir bersama Abang Keon dan menampilkan vokal Abeb, yang kini menjadi tonggak baharu dalam pembentukan identiti muzik kumpulan itu.

Bagi Anep, penerimaan positif daripada pasukan Datuk M. Nasir menjadi suntikan semangat, apatah lagi mereka sedar perjalanan membawa muzik sendiri ke hadapan bukan sesuatu yang mudah tanpa sokongan pihak berpengalaman.
“Kami terkejut apabila mereka melihat muzik Monosterio sebagai sesuatu yang bagus. Ia membuatkan kami rasa arah yang dipilih ini betul dan ada sokongan untuk album berkenaan,” katanya.
Bagi Abeb, penyertaan dalam Monosterio bukan bermakna dia meninggalkan dunia muzik bawah tanah yang membentuk perjalanan seninya selama kira-kira 10 tahun bersama kumpulan yang bergenrekan punk rock.
Sebaliknya, dia mahu keluar daripada zon selesa dan meneroka pengalaman berbeza, tanpa memadamkan minat terhadap muzik yang selama ini menjadi sebahagian daripada dirinya.

“Saya masih berminat dengan muzik dan dunia bawah tanah. Cuma, saya mahu melangkah lebih jauh dan mencuba sesuatu yang baharu. Apabila Alan dan Anep menghubungi saya, saya fikir inilah masanya untuk mengambil peluang ini,” katanya.
Kehadiran Abeb juga memberi peluang kepada Monosterio menyusun semula hala tuju album, yang pada awalnya menggunakan khidmat Izan daripada kumpulan OTwo bagi mengisi bahagian vokal ketika mereka belum mempunyai penyanyi tetap.
Daripada keseluruhan material yang pernah disediakan, 10 lagu dipilih untuk album terbaharu itu, manakala judul album masih belum dimuktamadkan.
Malah, Monosterio turut mempertimbangkan penerbitan edisi terhad piring hitam, dengan kemungkinan sebanyak 200 keping, sebagai usaha memperkenalkan produk fizikal selain keluaran digital.
Walaupun bergerak dengan hanya tiga anggota tanpa pemain bass tetap, Monosterio tidak menganggap kekurangan itu sebagai penghalang untuk menghasilkan muzik sendiri. Mereka menggunakan susunan muzik berasaskan sistem sequencer dan terbuka mendapatkan khidmat pemain bass sekiranya diperlukan bagi persembahan berskala besar.
Bagi Anep, sasaran mereka bukan sekadar melancarkan album, sebaliknya membina kedudukan yang kukuh dalam industri muzik tempatan.
Malah, Monosterio memasang impian untuk menempatkan nama mereka dalam kelompok 10 terbaik muzik tempatan, dengan kerjasama Luncai Emas diharap menjadi pemangkin kepada perjalanan lebih besar selepas ini.
