Sambal Warisan Malaysia ‘Naik Kelas’ Ke Pasaran Dunia

Pekan Sambal himpunkan sembilan jenis sambal warisan, sasar pasaran antarabangsa termasuk London
SEMBILAN jenis sambal yang diiktiraf sebagai makanan warisan Malaysia bakal diberi nafas baharu menerusi gagasan Pekan Sambal, sekali gus membuka peluang produk tradisional berkenaan menembusi pasaran lebih luas termasuk peringkat antarabangsa.
Inisiatif yang ditaja RHB Islamic Bank itu dilancarkan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Isham Ishak, pada MAHA 2026, yang telah berlangsung di Laman Sayur MAEPS Serdang pada 29 Ogos lalu.
Antara sambal yang diketengahkan termasuk sambal belimbing hitam, sambal asam rong dan sambal belacan, yang dilihat mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan sebagai produk makanan bernilai tinggi.

Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dato’ Dr Haji Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, Pekan Sambal bukan sekadar platform mempromosikan makanan warisan, sebaliknya mampu menjadi pemangkin kepada usahawan tempatan untuk meningkatkan skala perniagaan.
Menurutnya, kira-kira 200 usahawan makanan sudah menerima bimbingan MARDI meliputi aspek teknikal, pemprosesan, formulasi, pembungkusan, pelabelan serta pemanjangan jangka hayat produk.
“MAHA bukan sekadar tempat mempamerkan tanaman, tetapi turut menjadi platform mengetengahkan produk hiliran berasaskan hasil pertanian.
“Dalam konteks sambal, bahan utama ialah cili. Jadi kita perlu memastikan bekalan bahan mentah berkualiti mencukupi bagi menyokong perkembangan industri hiliran,” katanya.
Mohamad Zabawi berkata, konsep Pekan Sambal berpotensi menjadi pusat sehenti yang menghimpunkan pelbagai produk sambal daripada usahawan tempatan, selain menghubungkan pengusaha produk hiliran dengan petani cili.
Katanya, peningkatan permintaan terhadap sambal juga secara tidak langsung mampu memberi manfaat kepada petani kecil menerusi peningkatan pengeluaran bahan mentah.
“Apabila hasil petani kecil dikumpulkan secara sistematik, ia boleh disalurkan kepada pengusaha sambal untuk diproses menjadi produk bernilai tambah.
“MARDI pula membantu dari segi pengurusan tanaman, kawalan penyakit, pemprosesan dan teknologi bagi memastikan produk yang dihasilkan berkualiti serta mempunyai daya tahan pasaran,” katanya.

Menurutnya, sambal tempatan mempunyai peluang cerah untuk menembusi pasaran luar negara, khususnya di rantau ASEAN, sekiranya pengusaha mampu memenuhi standard serta keperluan pasaran antarabangsa.
Beliau turut menekankan kepentingan memastikan bekalan bahan mentah seperti belimbing buluh mencukupi bagi menyokong pengeluaran sambal warisan.
Katanya, penghasilan sambal belimbing hitam misalnya memerlukan proses memasak yang panjang sehingga kira-kira 10 jam, sekali gus menjadikan produk itu mempunyai nilai tersendiri.
“Jadi, harga sesuatu produk perlu dilihat berdasarkan kerumitan proses penghasilannya dan bukan semata-mata dibandingkan dengan produk biasa,” katanya.

Sementara itu, penganjur Pekan Sambal merangkap Presiden Persatuan Seni Warisan Artistik Digital Malaysia, Azmi Jaffri berkata, gagasan berkenaan dicadang diperluaskan ke setiap negeri bagi membantu pengusaha makanan secara kecil-kecilan beralih kepada pengeluaran komersial.
Menurutnya, Pekan Sambal boleh diwujudkan sebagai premis khusus yang menghimpunkan pelbagai produk sambal tempatan dalam satu lokasi, selain memanfaatkan platform digital bagi membolehkan pengguna membuat pembelian secara dalam talian.
Lebih menarik, katanya, terdapat tawaran untuk membawa program Pekan Sambal ke London tahun depan sebagai langkah memperkenalkan produk sambal Malaysia kepada pasaran antarabangsa.
“Matlamat kita ialah menjadikan sambal bukan sekadar makanan pelengkap, tetapi produk warisan yang mempunyai nilai ekonomi dan mampu menjadi identiti Malaysia di mata dunia,” katanya.



Dalam masa sama, kerjasama strategik serta penggunaan teknologi realiti maya (VR) turut dirancang bagi memberi peluang kepada masyarakat luar negara merasai pengalaman MAHA dan Pekan Sambal secara maya.
Dalam perkembangan sama, Wan Cu Food antara usahawan yang mengambil peluang mengetengahkan produk di Pekan Sambal menerusi Sambal Hitam Original, Sambal Hitam Pedas, Sambal Bilis Garing Original, Sambal Bilis Garing Pedas dan Sambal Bilis Garing Tomyam.
Pengusahanya, Wan Chu berkata, produk berkenaan bermula daripada resipi warisan ibunya yang diwarisi keluarga sejak 69 tahun lalu, sebelum dikembangkan menjadi produk komersial.
“Resipi ini diwarisi daripada keluarga dan kemudian dikembangkan menjadi pelbagai produk sambal untuk pasaran.
“Walaupun menggunakan teknologi moden seperti retort yang membolehkan jangka hayat produk sehingga dua tahun, kualiti dan rasa warisan tetap menjadi keutamaan,” katanya.
Wan Cu Food turut memperkenalkan Wan Cu MAHA Distributor Program 2026, membuka peluang kepada distributor, sub-distributor, pemborong, peruncit dan reseller untuk mengembangkan rangkaian produk berkenaan ke seluruh negara.
