August 30, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

MotorManiac Festival 2026: Dua Hari ‘Riot’ Automotif Di MyTOWN

Spread the love

Sasaran sebanyak 40,000 peminat automotif dari dalam dan luar negara dijangka membanjiri MyTOWN Kuala Lumpur sempena MotorManiac Festival 2026, 5 dan 6 September ini.

Lebih daripada sekadar pesta kereta, edisi kelima festival itu tampil lebih ‘garang’ apabila menghimpunkan jentera berprestasi tinggi, aksi drift, muzik, budaya jalanan, pertandingan, koleksi die-cast serta pelbagai aktiviti dalam satu lokasi.

MotorManiac Festival 2026 berlangsung di Rooftop, Level 7, MYTOWN Kuala Lumpur, dari 10 pagi hingga tengah malam sepanjang dua hari berkenaan.

Menjelang pembukaan festival, pihak penganjur telah mengadakan sidang media di ibu pejabat MotorManiac di Shah Alam, 30 Ogos lalu bagi memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang mahu menjadikan MotorManiac sebagai sebahagian daripada ekosistem gaya hidup automotif Malaysia.

Festival yang dianjurkan Bateriku itu turut mendapat sokongan barisan rakan kongsi besar termasuk Astra Batteries sebagai Penaja Utama, Petronas Syntium selaku Penaja Bersama dan Lazada sebagai Rakan Tiket Rasmi.  Turut memberi sokongan ialah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Apa yang dijanjikan kali ini bukan sekadar bunyi enjin mengaum kerana pentas muzik turut menjadi antara tarikan utama apabila Def Jam Southeast Asia bergabung sebagai Rakan Pentas Rasmi.

Deretan nama besar bakal mengambil alih pentas terbuka antaranya Joe Flizzow, SonaOne, ALYPH, Ismail Izzani, Killa Driz, Lil J, Yonnyboii, AbangSapau dan DJ CZA.

Malah, peminat boleh mendapatkan koleksi merchandise rasmi MotorManiac Festival 2026 hasil kolaborasi eksklusif bersama Def Jam Southeast Asia yang menampilkan 12 rekaan atau SKU unik.

Bukan itu saja, budaya jalanan turut diberi perhatian apabila Jom Battle kembali sebagai Rakan Rasmi Breakdance B-Boy.

Sora yang pernah meraih kemenangan dalam pertandingan B-Boy antarabangsa di Asia dan Eropah akan mengetuai persembahan bersama B-Boy dari seluruh dunia.

Turut tampil ialah Zeem Ahmad, street-football freestyler Red Bull dan juara Asia Panna yang bakal menggabungkan kemahiran bola sepak jalanan dengan budaya automotif.

Namun, kaki drift pastinya mempunyai sebab paling kukuh untuk tidak melepaskan peluang ke festival berkenaan. MotorManiac Drift Academy dan ASTRA Drift Team bakal menampilkan beberapa nama antarabangsa dalam dunia drift termasuk Rome Charpentier dari Amerika Syarikat yang beraksi dalam Formula Drift Pro Championship.

Turut menyertai ialah pelumba profesional Belanda, Vernon Zwaneveld, selain ‘Drift King’ Indonesia Dika Champion dan Alvito Hardianto.

Lebih membanggakan, MotorManiac Drift Academy adalah anggota pengasas World Drift School Alliance (WDSA) yang menggabungkan Malaysia, Indonesia, Amerika Syarikat dan Belanda.

Akademi berkenaan mempunyai misi melahirkan generasi baharu pelumba drift tempatan menerusi latihan berstruktur, kerjasama antarabangsa, program pertukaran pelajar dan laluan ke pertandingan profesional.

Penglibatan antarabangsa turut diperluaskan melalui kerjasama dengan media serta pencipta kandungan automotif seperti CarCulth dari Thailand, Smokey Nicole dari Australia, Tatsu Miyagawa dan Clay Wong dari Jepun serta Fina Drive dari Brunei.

Dalam masa sama, peminat die-cast boleh ‘memburu’ koleksi idaman menerusi Mini Diecast Expo yang menampilkan model rare dan eksklusif.

Bagi memeriahkan lagi suasana, pelbagai jenama dan komuniti turut menyokong festival itu termasuk Red Bull, MYTOWN Shopping Centre, Retrohavoc, Choii Motorsports, NIM 199 Garage, Super Sunday, Klutchkicked, Tenuk Film, Abstrax, Flow SI, Dasuki Bodykit, PHM, Shogun Blitz, Keep It Street, Fossil, Android King, Blackened dan GGR.

Tidak cukup dengan festival fizikal, MotorManiac turut mengorak langkah ke dunia digital apabila bakal memperkenalkan MotorManiac Mobile App, platform sehenti yang menghubungkan peminat, jenama dan rakan automotif antarabangsa.

Aplikasi itu merangkumi fungsi tiket, merchandise, alat ganti prestasi, pasaran automotif dan forum komuniti.

Dalam perkembangan lain, Bateriku turut bakal mempamerkan produk baharu ASTRA-X, bateri prestasi berasaskan teknologi lithium iron phosphate (LFP) yang direka khusus untuk keperluan perlumbaan dan drift.

Lebih menarik, setiap pembelian RM50 merchandise rasmi MotorManiac melayakkan pengunjung menyertai cabutan bertuah untuk membawa pulang hadiah utama berupa Nissan Cefiro A31.

Bukan calang-calang hadiah sampingan menanti apabila turut disediakan GGR Electric Bike, Teg Suspension Kit, Young Wrap Car Wrap, OMP Racing Helmet, Defi Meter Set serta peralatan Teg daripada DeWALT.

Tiket MotorManiac Festival 2026 ditawarkan pada harga RM30 bagi pas sehari, manakala pas dua hari hanya RM50.

Selepas diperkenalkan pada 2019, MotorManiac kini memasuki edisi kelima dengan sasaran lebih besar untuk menyatukan dunia automotif, muzik dan budaya jalanan dalam satu pentas.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page