WUSS ‘Hidupkan’ 12 Bulan Dalam Suzan

Album sulung tampil sebagai diari muzik, setiap lagu mewakili satu bulan dengan kisah cinta, kehilangan, kenangan dan perubahan
BUKAN sekadar 12 lagu, sebaliknya sebuah perjalanan emosi yang mengambil masa setahun untuk dilalui. Itulah konsep unik yang dibawa kumpulan WUSS menerusi album penuh sulung mereka, SUZAN, yang dilancarkan pada 26 Ogos lalu.
Menariknya, setiap lagu dalam album berkenaan mewakili satu bulan dalam kalendar, bermula dengan January Note (Unsent) dan berakhir dengan December, at Last.
Konsep itu menjadikan SUZAN seolah-olah sebuah diari yang dibuka halaman demi halaman, dengan setiap bulan menyimpan cerita mengenai kenangan, kehilangan, harapan, kerinduan serta perubahan yang berlaku secara perlahan dalam kehidupan.

Sebelum album berkenaan diperkenalkan sepenuhnya, WUSS terlebih dulu mendedahkan tiga ‘kepingan’ daripada cerita besar itu menerusi single Born in February, Three Years of Wonder and Pain in a Boundless March dan May?
Ketiga-tiga karya itu bagaimanapun bukan sekadar single biasa, sebaliknya menjadi bab awal kepada kisah yang akhirnya lengkap menerusi 12 lagu dalam SUZAN.
Menurut vokalis dan gitaris WUSS, Sabiella Maris, mereka mahu album itu dirasai seperti pengalaman membuka sebuah diari lama.

“Kami tidak pernah membayangkan SUZAN sebagai 12 lagu yang berasingan. Kami mahu ia terasa seperti membuka sebuah diari dan perlahan-lahan menyedari setiap bulan sebenarnya diam-diam menceritakan kisah yang sama.”
Dari segi bunyi, WUSS turut bereksperimen dengan palet muzik lebih luas, namun masih mengekalkan elemen emosional dan intim yang menjadi identiti kumpulan terbabit.
Harmoni koral berlapis, gitar yang sederhana, susunan piano lembut dan perubahan dinamik secara berperingkat menjadi antara elemen yang membentuk dunia bunyi SUZAN.
Album itu turut menampilkan beberapa kolaborasi termasuk Ami Voix Chorale, Yogha Prasiddhamukti daripada Skandal, Christabel Annora serta Eltria Raffi daripada Dazzle.
Kehadiran mereka memberi warna dan tekstur baharu kepada beberapa lagu, namun masih bergerak dalam bahasa emosi yang sama sepanjang album. Tidak hanya muzik, aspek visual turut diberi perhatian apabila karya seni album dihasilkan Farhan Endy daripada Conbini, artis visual yang berpangkalan di Malang, Indonesia.
Karya berkenaan menjadi sebahagian daripada penceritaan SUZAN dengan menterjemahkan suasana nostalgia dan introspektif album kepada bentuk visual.
Selepas pelancaran album, WUSS turut memperkenalkan muzik video rasmi untuk lagu pembukaan, January Note (Unsent) feat. Ami Voix Chorale, arahan Jamal daripada RCA Studio.
Sebagai lagu pertama, January Note (Unsent) menjadi ‘pintu’ untuk pendengar memasuki dunia SUZAN sebelum mengikuti perjalanan emosi yang bergerak dari Februari hingga penghujung tahun.
Lebih menarik, nama SUZAN sendiri sengaja dibiarkan terbuka kepada tafsiran. Ia tidak semestinya merujuk kepada seorang wanita atau individu tertentu.
Sebaliknya, WUSS menjadikan SUZAN sebagai ruang untuk pendengar mengisinya dengan memori sendiri, termasuk insan yang pernah hadir, perbualan yang tidak pernah selesai atau kenangan yang masih dibawa hingga hari ini.
Bagi WUSS, album ini bukan karya yang cuba memberikan jawapan. Sebaliknya, ia adalah catatan mengenai bagaimana masa mengubah manusia secara perlahan dan bagaimana sebuah tahun yang kelihatan biasa sebenarnya mampu meninggalkan kesan luar biasa.
Barisan WUSS terdiri daripada Sabiella Maris (gitar, vokal), Brilyan Prathama (gitar, vokal), Rara Harumi (bass, vokal) dan Rufa Hidayat (dram).

12 bulan, 12 cerita dimana segalanya di singkap seperti January Note (Unsent) feat. Ami Voix Chorale, Born in February, Three Years of Wonder and Pain in a Boundless March feat. Yogha Prasiddhamukti, April Leaves the Fame, May?, Wicked June, July Passed, the Sweetness Stayed, Hazeheart August feat. Christabel Annora, Quiet Admiration // September feat. Eltria Raffi, When “Sweet Mary” Plays in October, November 404 dan December, at Last
SUZAN kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama.
