August 19, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Munchy’s Sumbang Produk RM500,000 Sempena HKHM 2026

Spread the love

Sempena ulang tahun ke-35 penubuhannya, Munchy’s Malaysia terus membuktikan komitmen menyemarakkan semangat patriotik apabila menyumbang produk bernilai RM500,000 bagi memeriahkan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2026.

Sumbangan itu menjadi lebih bermakna apabila ia adalah tahun ketiga berturut-turut Munchy’s menyokong sambutan berkenaan, selain menjadi sumbangan terbesar pernah diberikan syarikat setakat ini.

Penyerahan sumbangan disampaikan kepada Menteri Komunikasi, Yang Berhormat Dato’ Seri Fahmi Fadzil, menerusi majlis penyerahan rasmi anjuran Kementerian Komunikasi di Menara Komunikasi, Putrajaya.

Ketua Pegawai Eksekutif Munchy’s Malaysia, Rodney Wong berkata, peningkatan nilai sumbangan itu mencerminkan kesungguhan syarikat untuk memainkan peranan bermakna dalam sambutan yang dekat di hati rakyat Malaysia.

“Selama 35 tahun, Munchy’s telah berkembang seiring dengan Malaysia dan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian rakyat Malaysia merentasi pelbagai generasi dan latar belakang.

“Sambutan HKHM memberi peluang kepada kami untuk meraikan perjalanan yang dikongsi bersama ini serta menyumbang kembali kepada negara dan rakyat yang telah menyokong kami selama ini,” katanya.

Menurutnya, Munchy’s berbangga dapat meneruskan sokongan terhadap sambutan HKHM untuk tahun ketiga berturut-turut, malah meningkatkan nilai sumbangan berbanding tahun sebelumnya.

“Kami berharap produk-produk kami dapat menambahkan keceriaan sambutan serta mencipta detik-detik bermakna buat rakyat Malaysia yang mengambil bahagian dalam pelbagai program sambutan di seluruh negara,” katanya.

Produk yang disumbangkan akan diedarkan menerusi program dan aktiviti terpilih sempena HKHM 2026, sekali gus membolehkan peserta, orang ramai dan komuniti di seluruh negara menikmati kemeriahan sambutan.

Munchy’s Malaysia mula menyokong sambutan HKHM pada 2024 dan sejak itu terus memperkukuhkan penglibatannya sebagai sebahagian daripada usaha menyokong program yang menyatukan rakyat tanpa mengira latar belakang.

Bagi syarikat yang mempunyai sejarah 35 tahun dalam industri, penglibatan berterusan itu dilihat sebagai satu cara untuk membalas sokongan rakyat Malaysia yang menjadi sebahagian daripada perjalanan jenama berkenaan selama ini.

Munchy’s turut menegaskan komitmennya untuk terus berkembang bersama negara selain menyokong pelbagai acara yang meraikan identiti, kemajuan dan kepelbagaian Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 Munchy’s boleh didapati menerusi laman Facebook rasmi Munchy’s serta Instagram @munchys.my.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page