Tzuyu Wajah Baharu OWNDAYS, Empat Koleksi Serlah Gaya Tersendiri

Bintang TWICE jadi duta jenama kaca mata Jepun itu di Asia Tenggara, tampil dengan koleksi eksklusif yang menggabungkan fesyen, keselesaan dan ekspresi peribadi
KETIKA kaca mata bukan lagi sekadar alat membantu penglihatan, sebaliknya menjadi pelengkap penampilan dan lambang identiti diri, jenama kaca mata dari Jepun, OWNDAYS memilih bintang popular kumpulan TWICE, Tzuyu, sebagai wajah baharu mereka.
Pelantikan itu menyaksikan Tzuyu menerajui kempen terbaharu OWNDAYS di seluruh Asia Tenggara dengan mengetengahkan empat koleksi utama iaitu +NICHE, AIR, SNAP dan K.Moriyama.
Dikenali dengan penampilan elegan serta personaliti autentik, Tzuyu menjadi pilihan tepat untuk memperlihatkan kepelbagaian gaya yang ditawarkan jenama berkenaan, daripada imej sofistikated dan berkeyakinan hinggalah penampilan santai serta bersahaja.
Menerusi kempen berkenaan, OWNDAYS mahu mengangkat kaca mata sebagai aksesori fesyen yang mampu menyerlahkan keperibadian, selain memenuhi fungsi asas pembetulan penglihatan.
Wakil OWNDAYS berkata, keyakinan dan keaslian personaliti Tzuyu selari dengan falsafah jenama yang berteraskan reka bentuk Jepun.
Menurutnya, kaca mata seharusnya bukan sekadar membantu penglihatan, malah memberi ruang kepada individu untuk mengekspresikan gaya dan identiti masing-masing.
Kempen itu turut memperkenalkan empat koleksi dengan karakter tersendiri. Koleksi +NICHE menampilkan rekaan moden dengan perincian minimalis yang cukup sofistikated, sesuai buat mereka yang menggemari penampilan kemas dan kontemporari. Sentuhan logam halus, kemasan teliti serta bentuk bingkai yang unik memberikan karakter tersendiri tanpa kelihatan terlalu menonjol.

Sementara itu, koleksi K.Moriyama mengetengahkan rekaan titanium yang menggabungkan gaya klasik dengan sentuhan elegan.
Bentuk bingkai yang kemas dan perincian logam ringkas mencerminkan keanggunan bersahaja, selain menampilkan nilai ketelitian pertukangan tradisional.
Bagi mereka yang mengutamakan keselesaan, koleksi AIR pula menawarkan bingkai ultra ringan dan fleksibel menerusi penggunaan bahan resin berteknologi tinggi.
Keistimewaannya turut dilengkapi inovasi PhotoGlow Lenses yang berfungsi seperti penapis kecantikan halus menerusi tona gradien pada bahagian bawah kanta. Teknologi itu direka untuk menyerlahkan penampilan tona kulit, seri wajah dan definisi wajah menerusi tiga pilihan warna iaitu Petal Pink, Amber Orange dan Sunset Orange.

Petal Pink memberikan sentuhan merah jambu lembut untuk penampilan segar, manakala Amber Orange menawarkan tona kehangatan semula jadi. Sunset Orange pula menghasilkan kesan rona lebih hangat dengan sentuhan seakan-akan kulit mendapat cahaya matahari.
Melengkapkan kempen itu ialah koleksi SNAP yang mengetengahkan konsep praktikal dan fleksibel menerusi reka bentuk klip magnetik. Ia membolehkan kaca mata biasa ditukar kepada kaca mata hitam dalam sekelip mata, sekali gus memudahkan peralihan daripada aktiviti di dalam bangunan kepada kegiatan luar.
Keempat-empat koleksi berkenaan bersama PhotoGlow Lenses kini boleh didapati di cawangan OWNDAYS seluruh negara.
Antara bingkai yang diperagakan Tzuyu dalam kempen itu ialah +NICHE model NC8007G-6A berharga RM398, K.Moriyama KM7013Q-6S (RM598), AIR AU8012Q-6A (RM548) dan SNAP SNP1026Q-6A (RM498).
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen, promosi serta penyertaan, orang ramai boleh melayari laman web rasmi OWNDAYS di www.owndays.com/my/en/news/ambassador_tzuyu.
Untuk rekod, OWNDAYS Inc. yang berpangkalan di Jepun mengendalikan lebih 600 cawangan di 13 pasaran antarabangsa termasuk Jepun, Singapura dan Taiwan.
OWNDAYS Malaysia pula mula beroperasi pada Januari 2015 dengan menawarkan rangkaian kaca mata, perkhidmatan optik profesional serta kemudahan pemprosesan cermin mata kepada pelanggan tempatan.
