November 16, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Sang Kancil Hidupkan Magika Rimba, Warisan Cerita Rakyat Terus Bernyawa

Spread the love

Pengembaraan Sang Kancil satukan 46 pelakon cilik, 16 lagu baharu dan iringan orkestra dalam sebuah muzikal penuh imaginasi

Kredit Foto:  Istana Budaya

Kisah Sang Kancil bukan sekadar cerita tentang seekor haiwan kecil yang bijak memperdaya musuhnya. Ia membawa warisan pemikiran masyarakat Melayu yang sejak turun-temurun menjadikan kebijaksanaan, keberanian dan kecerdikan sebagai senjata menghadapi cabaran kehidupan.

Namun, sejauh mana cerita rakyat yang begitu dekat dengan generasi terdahulu mampu menarik perhatian kanak-kanak zaman sekarang?

Persoalan itu menjadi antara perkara menarik yang diketengahkan menerusi Teater Muzikal Kanak-kanak Pengembaraan Sang Kancil, sebuah produksi Istana Budaya yang mengangkat semula karakter ikonik berkenaan dalam persembahan berteraskan fantasi, muzik dan estetika Nusantara.

Dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya dari 13 hingga 15 November 2026 lalu, produksi ini bukan sekadar mengembalikan watak ikonik berkenaan ke pentas, sebaliknya menawarkan tafsiran baharu terhadap sebuah kisah yang mempunyai nilai budaya dan pendidikan merentas generasi.

Diarahkan Nawfal Zamri dengan skrip tulisan Siti Jasmina Ibrahim, Pengembaraan Sang Kancil membawa penonton menyusuri perjalanan Sang Kancil yang meninggalkan rumah sebelum berdepan pelbagai pengalaman di alam rimba.

Perjalanan itu bukan sekadar pencarian jalan pulang, sebaliknya menjadi ruang untuk meneroka makna persahabatan, keberanian, tanggungjawab serta kasih sayang dalam keluarga.

Menariknya, konflik yang dibina turut memperlihatkan bahawa kebijaksanaan tidak semestinya perlu diterjemahkan melalui kekerasan. Sebaliknya, akal fikiran dan keberanian berdepan ketidakadilan menjadi antara mesej utama yang cuba disampaikan.

Satu aspek yang memberikan identiti tersendiri kepada produksi ini ialah penerapan konsep Magika Nusantara yang menggabungkan dunia fantasi dengan unsur warisan tempatan.

Rimba Raya bukan sekadar menjadi latar kepada perjalanan Sang Kancil, tetapi dibangunkan menerusi imaginasi beberapa lokasi seperti Perkampungan Kancil, Hutan Ajaib, Sungai, Taman Buah-buahan, Sarang Madu, Taman Kelip-kelip dan Kawasan Raja Rimba.

Lebih signifikan, unsur budaya tempatan turut diterapkan menerusi inspirasi motif batik Malaysia yang mengambil ilham daripada flora dan fauna seperti bunga raya, pucuk rebung, orkid serta tumbuh-tumbuhan hutan tropika.  Pendekatan ini memperlihatkan usaha produksi menjadikan elemen warisan sebahagian daripada bahasa visual persembahan, bukan sekadar hiasan untuk mencantikkan pentas.

Pengarah Artistik, Irwan Ismadi Shahrim, turut memainkan peranan penting dalam membentuk identiti visual produksi yang menggabungkan imaginasi, estetika budaya dan keperluan penceritaan.

Jika ada satu elemen yang menjadikan Pengembaraan Sang Kancil berbeza daripada pementasan cerita rakyat konvensional, pastinya pendekatan muzikal yang diberikan perhatian besar dalam produksi ini.

Sebanyak 16 lagu baharu ciptaan Pengarah Muzik, Ayop Azril, disediakan untuk menghidupkan perjalanan watak dan perkembangan cerita.  Lebih menarik, muzik dipersembahkan secara langsung menerusi gabungan 36 pemuzik daripada Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) dan bahagian alat muzik bertali Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).

Penggunaan muzik secara langsung memberikan nilai tersendiri kepada sebuah produksi yang menyasarkan penonton keluarga, terutama dalam memperkenalkan pengalaman menikmati persembahan orkestra dalam konteks teater muzikal.

Muzik, nyanyian dan koreografi yang merangkumi hampir 60 peratus keseluruhan persembahan turut memperlihatkan betapa pentingnya komponen tersebut dalam menggerakkan naskhah ini.

Dalam konteks pendidikan seni, pendekatan berkenaan mempunyai nilai tambah kerana kanak-kanak bukan sekadar mengikuti jalan cerita, malah berpeluang mengenali hubungan antara lakonan, muzik, nyanyian dan gerak tari.

Kehadiran 46 pelakon kanak-kanak turut menjadi antara taruhan utama produksi ini.  Mereka dipilih menerusi sesi uji bakat yang menerima penyertaan 140 kanak-kanak berusia antara lapan hingga 12 tahun sebelum menjalani latihan intensif selama dua bulan.

Watak Sang Kancil diberikan kepada Ahmad Zaid Ahmad Zaha, manakala Jihad Katharsis Jiwa Junizam atau Juna, Firman Uzair Muhammad Zulfadzli dan Nur Humaira Md Aizam masing-masing membawa watak Cerdas, Wang Wang dan Cergas.

Barisan pelakon dewasa pula menampilkan Iedil Dzuhrie Alaudin sebagai Bapa Kancil, Asmidar sebagai Ibu Kancil, Taqim Zaki sebagai Taring, Anas Ridzuan sebagai Mat Tanduk dan Khir Rahman sebagai Raja Rimba.

Gandingan pelakon profesional dengan bakat cilik memberikan dimensi berbeza kepada produksi ini, terutama dalam usaha membina ekosistem seni persembahan yang membuka ruang kepada generasi muda mengenali dunia teater sejak awal usia.

Kehadiran Khir Rahman juga menarik perhatian kerana produksi ini menandakan kepulangannya ke pentas teater selepas hampir sedekad memberi tumpuan kepada bidang perfileman.

Pengembaraan Sang Kancil mempunyai tanggungjawab yang lebih besar daripada sekadar menyediakan hiburan untuk kanak-kanak.  Produksi ini membawa misi memperkenalkan semula cerita rakyat kepada generasi baharu dalam bentuk yang lebih dekat dengan perkembangan seni persembahan masa kini.

Bagaimanapun, cabaran sesebuah muzikal kanak-kanak bukan hanya terletak pada keindahan visual, jumlah lagu atau kepelbagaian karakter yang dipersembahkan.

Keupayaan mengekalkan tumpuan penonton muda, memastikan penceritaan mudah diikuti serta menyampaikan pengajaran tanpa terlalu bersifat menggurui juga menjadi ukuran penting keberkesanannya.  Dengan tempoh persembahan sekitar 150 minit termasuk rehat, disiplin penceritaan dan keseimbangan antara dialog, muzik serta aksi pentas menjadi aspek yang perlu diberikan perhatian.

Secara keseluruhannya, Pengembaraan Sang Kancil membawa satu usaha yang wajar diberikan perhatian dalam landskap teater tempatan, khususnya dalam mengembalikan minat generasi muda terhadap seni persembahan dan cerita rakyat.

Sang Kancil mungkin hanya seekor haiwan kecil dalam dunia dongeng, tetapi nilai yang dibawanya cukup besar untuk terus diwariskan.

Hakikatnya, warisan tidak akan terus hidup hanya kerana kita mengingati cerita lama. Ia perlu diceritakan semula, diberikan nafas baharu dan diperkenalkan kepada generasi yang bakal mewarisinya.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page