November 12, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Bateriku Pacu Mobiliti Pelancongan Langkawi

Spread the love

Pembukaan Cenang Pitstop perkukuh kemudahan bantuan kecemasan kenderaan ketika pulau peranginan itu menyasarkan kehadiran 3.65 juta pelancong tahun ini

Pertumbuhan sektor pelancongan Langkawi bukan sahaja meningkatkan keperluan penginapan, pengangkutan dan tarikan rekreasi, malah menuntut kemudahan sokongan mobiliti yang lebih cekap bagi memastikan perjalanan pengunjung tidak terganggu.

Menyedari keperluan itu, Bateriku memperluaskan rangkaian perkhidmatannya menerusi pembukaan Bateriku Cenang Pitstop di Park N Ride Cenang, sekali gus menyediakan akses lebih mudah kepada bantuan kecemasan kenderaan untuk penduduk tempatan, pelancong domestik dan pengunjung antarabangsa.

Pembukaan pusat perkhidmatan baharu itu dilihat tepat pada masanya ketika Langkawi terus mencatat peningkatan kehadiran pelancong, dengan sasaran 3.65 juta pengunjung ditetapkan bagi 2026.

Majlis perasmian disempurnakan Pegawai Daerah Langkawi, Tuan Nasrun bin Dato’ Mohd Sheriff, menerusi upacara memotong reben yang turut dihadiri wakil Bateriku serta komuniti setempat.

Menariknya, majlis berkenaan turut menghimpunkan wakil masjid berhampiran, pengusaha perniagaan, pengusaha kereta sewa dan pekerja ekonomi gig, sekali gus menggambarkan kepentingan kemudahan mobiliti kepada kelompok masyarakat yang bergantung kepada kenderaan untuk mencari rezeki serta menjalankan urusan harian.

Bagi sebuah pulau yang mempunyai tarikan pelancongan berselerak seperti Pantai Cenang, Langkawi Sky Bridge dan Kilim Geoforest Park, masalah kenderaan seperti bateri lemah, tayar pancit atau kehabisan minyak boleh menjejaskan kelancaran perjalanan.

Justeru, kewujudan pusat bantuan yang mudah diakses menjadi antara elemen sokongan penting dalam membina pengalaman pelancongan lebih selesa dan meyakinkan.

Berdasarkan rekod Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), pulau peranginan itu menerima lebih 3.2 juta pelancong pada 2025 berbanding 2.9 juta pada 2024.

Trend peningkatan itu turut memperlihatkan perkembangan positif sejak 2022 apabila jumlah kehadiran pelancong meningkat daripada 2.58 juta kepada 2.81 juta pada 2023 sebelum mencecah 2.9 juta pada 2024.

Selain pasaran domestik, Langkawi turut memperluaskan usaha menarik pelancong antarabangsa, termasuk dari China menerusi promosi di platform media sosial tempatan negara itu serta aktiviti pemasaran di Beijing, Zhengzhou, Wuxi dan Jinan.

Pulau berkenaan juga bakal menjadi tumpuan antarabangsa menerusi Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi (LIMA) 2027 yang menyasarkan kehadiran 400,000 pengunjung perdagangan dan awam, selain penyertaan kira-kira 930 pempamer dari 35 negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Bateriku, Azarol Faizi berkata, perkembangan sektor pelancongan Langkawi memerlukan sokongan kemudahan mobiliti yang mampu memberikan keyakinan kepada pengguna jalan raya.

“Langkawi terus berkembang bukan sahaja dari segi jumlah pengunjung, malah kepelbagaian pengalaman pelancongan dan acara antarabangsa yang dianjurkan.

“Apabila semakin ramai meneroka pulau ini, mobiliti yang boleh dipercayai menjadi elemen penting bagi memastikan perjalanan lebih lancar serta memberikan ketenangan fikiran,” katanya.

Beroperasi setiap hari dari jam 7 pagi hingga 11.59 malam, Bateriku Cenang Pitstop menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk penggantian bateri, bantuan menghidupkan enjin (jump-start), tunda kenderaan, penghantaran minyak kecemasan, bantuan tayar pancit, khidmat tukang kunci serta sokongan bengkel.

Pengguna turut menikmati kemudahan penghantaran dan pemasangan bateri secara percuma, manakala bateri Bateriku dilindungi waranti seluruh negara sehingga 18 bulan.

Pembukaan cawangan di Langkawi itu turut melengkapkan usaha Bateriku memperkukuh ekosistem mobiliti pelancongan negara, termasuk kerjasama dengan Tourism Selangor sebagai rakan rasmi bantuan kerosakan kenderaan bagi kempen Visit Selangor 2026.

Langkah berkenaan memperlihatkan bagaimana perkhidmatan bantuan kenderaan semakin relevan dalam industri pelancongan moden, terutama apabila kelancaran perjalanan menjadi sebahagian daripada pengalaman pengunjung.

Bagi Langkawi yang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama negara, kemudahan seperti ini bukan sekadar penyelesaian ketika kenderaan mengalami kerosakan, sebaliknya sebahagian daripada infrastruktur sokongan yang membantu memastikan pergerakan penduduk dan pelancong lebih terjamin.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page