November 12, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Wendy Nekad Bawa Kisah OKU Menyelam Ke Layar Perak

Spread the love

Terinspirasi keupayaan individu tanpa kaki dan tangan meneroka dunia bawah laut, penerbit dan pengarah Takdir Terakhir: Last Dive turut menyelitkan mesej pemuliharaan hidupan marin serta terumbu karang.

Bukan kisah biasa yang mahu dipersembahkan kepada penonton. Sebaliknya, Datin Dr Wendy Wong nekad mempertaruhkan keberanian dan kreativiti untuk membawa kisah keupayaan golongan orang kurang upaya (OKU) meneroka dunia bawah laut menerusi filem Takdir Terakhir: Last Dive.

Idea menghasilkan filem itu tercetus selepas Wendy menyaksikan sendiri kemampuan individu OKU melakukan aktiviti selam skuba ketika berada di Amerika Syarikat.

Pengalaman bertemu seorang jurulatih selam skuba OKU yang menunjukkan video individu tanpa kaki dan tangan mampu menyelam membuka perspektif baharu kepadanya, sekali gus mencetuskan inspirasi menghasilkan sebuah karya yang mengangkat kemampuan golongan berkenaan.

“Apabila melihat video individu tanpa kaki dan tangan yang masih mampu melakukan aktiviti menyelam, saya sangat terkejut.  Daripada situ, saya terfikir untuk menghasilkan sebuah filem yang menceritakan keupayaan golongan OKU,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Poster Rasmi dan Treler Filem Takdir Terakhir: Last Dive serta Pertandingan Nyanyian Lagu Tema Asal (OST) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada 11 November lalu.

Namun, merealisasikan idea itu bukan perjalanan mudah apabila Wendy mengambil masa kira-kira setahun untuk memasarkan projek berkenaan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Berlin dan Hong Kong sebelum memutuskan untuk meneruskannya.

Lebih mencabar, beliau berdepan kesukaran mendapatkan sokongan pembiayaan apabila pihak yang ditemui lebih cenderung mencadangkan penerbitan filem bergenre seram atau aksi yang dianggap mempunyai potensi komersial.

“Filem aksi dan seram sudah banyak dihasilkan. Saya mahu menghasilkan filem yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut membawa mesej penting kepada masyarakat,” katanya.

Usaha itu akhirnya mendapat sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menerusi bantuan sebanyak RM500,000 bagi merealisasikan penerbitan filem berkenaan.

Wendy mengakui kos penerbitan yang tinggi, khususnya membabitkan penggambaran bawah air, menyebabkan beliau terpaksa memikul tanggungjawab sebagai pengarah dan penulis skrip.

Bukan sekadar berdepan cabaran teknikal, produksi juga perlu memastikan kemudahan mesra OKU disediakan, menguruskan pelakon serta mematuhi prosedur keselamatan sepanjang aktiviti menyelam dijalankan.

Malah, Wendy bersama pasukannya turut mengikuti kursus menyelam selama beberapa hari bagi memahami selok-belok aktiviti berkenaan sebelum memulakan penggambaran.

Pengalaman itu memberikan gambaran lebih dekat mengenai cabaran yang perlu dihadapi penyelam ketika berada di bawah air, sekali gus membantunya memahami keperluan menghasilkan babak yang lebih meyakinkan.

Menariknya, Takdir Terakhir: Last Dive bukan hanya berlegar mengenai keupayaan OKU, sebaliknya turut membawa mesej pemuliharaan alam sekitar dengan mengetengahkan ancaman terhadap hidupan marin, khususnya kesan pembuangan pukat yang boleh menyebabkan ikan dan penyu terperangkap.

Wendy berkata, pihak produksi berusaha mendapatkan gambaran sesuai bagi memperlihatkan kesan ancaman berkenaan, namun perlu mematuhi peraturan yang melarang tindakan menyentuh atau menangkap penyu.

“Kami mahu penonton memahami bahawa pukat yang dibuang ke laut boleh mengancam hidupan marin termasuk ikan dan penyu.  Sebab itu, kita perlu menjaga dan melindungi lautan daripada pencemaran serta perbuatan yang boleh memusnahkan ekosistem marin,” katanya.

Cabaran penggambaran bawah air turut dipengaruhi keadaan cuaca dan tahap penglihatan dalam air yang tidak menentu sehingga menjejaskan kualiti rakaman. Keadaan itu menyebabkan produksi terpaksa melakukan penggambaran semula walaupun filem berkenaan sudah disiapkan bagi memastikan keindahan perairan Malaysia dapat dipaparkan dengan lebih baik.

Bagaimanapun, segala usaha itu mula membuahkan hasil apabila filem berkenaan mendapat perhatian positif selepas ditayangkan kepada pembeli dan ejen filem antarabangsa di Cannes.

Wendy turut menjelaskan bahawa maklum balas diterima membuka peluang untuk membawa mesej pemuliharaan lautan ke peringkat lebih luas, selain memperkenalkan potensi Malaysia dalam mengetengahkan isu berkenaan menerusi medium perfileman.

“Mereka menyifatkan Malaysia sebagai antara peneraju dalam usaha pemuliharaan lautan kerana mesej berkenaan masih kurang diketengahkan menerusi filem.

“Saya tidak mengatakan filem ini sempurna kerana kekangan kewangan, tetapi sekurang-kurangnya saya berjaya menyampaikan mesej yang ingin dibawa,” katanya.

Filem yang menjalani penggambaran selama kira-kira tiga minggu di Summer Bay Resort, Pulau Lang Tengah itu turut mendapat sokongan beberapa pihak termasuk Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Majlis pelancaran poster rasmi disempurnakan Pengerusi FINAS, Datuk Dr Hans Isaac, manakala treler rasmi dilancarkan Pengasas Mines Beach Resort Hotel & Wellness Kuala Lumpur, Tan Sri Lee Kim Yew.

Pertandingan nyanyian OST pula dilancarkan Pengarah Urusan Kumpulan WTCKL, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim. Hadir sama, Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Terbitan Syarikat Produksi Seni Duapuluh Duapuluh Sdn Bhd, Takdir Terakhir: Last Dive bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 3 Disember 2026.

Filem berkenaan menampilkan barisan pelakon termasuk Aniq Durar, Shiqin Kamal, Amerul Affendi, Fify Azmi, Sandra Lim dan Fauziah Latiff, selain penampilan khas Datuk Ras Adiba Radzi.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page