November 13, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

Rolls-Royce Perkukuh Industri Aeroangkasa, Buka Pusat Servis Enjin di Sendayan

Spread the love

Pelaburan strategik RRPF dijangka mempercepat pengurusan aset enjin pesawat, menyokong operasi syarikat penerbangan Asia serta membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di Negeri Sembilan.

Rolls-Royce & Partners Finance (RRPF) memperkukuh kedudukannya dalam industri aeroangkasa serantau menerusi pembukaan rasmi Pusat Servis Enjin (Engine Service Centre) baharu di Sendayan, Negeri Sembilan.

Majlis perasmian yang berlangsung hari ini disempurnakan dengan kehadiran Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Ismail Lasim, sekali gus menandakan peluasan strategik keupayaan pengurusan aset enjin syarikat berkenaan bagi memenuhi keperluan pelanggan syarikat penerbangan komersial di seluruh Asia.

Terletak kira-kira 45 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kemudahan itu menyediakan perkhidmatan penyelenggaraan ringan enjin serta sokongan pengurusan aset yang lebih dekat dengan pelanggan di rantau ini.

Pusat berkenaan direka bagi memperkemas proses penghantaran, pemulangan dan penyelenggaraan enjin, sekali gus mengurangkan tempoh pemprosesan serta membolehkan enjin gantian digunakan dengan lebih cekap oleh syarikat penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Rolls-Royce & Partners Finance, Bobby Janagan, berkata pelaburan itu mencerminkan komitmen syarikat untuk menyediakan pengurusan aset enjin yang lebih pantas dan efisien, khususnya dalam pasaran penerbangan Asia yang berkembang pesat.

“Keutamaan kami sentiasa diberikan kepada pelanggan. Kami mahu membawa pengurusan aset enjin yang lebih pantas dan cekap ke pasaran penerbangan yang berkembang paling pesat di dunia.

“Keupayaan yang tersedia di Asia membolehkan kami memberikan tindak balas jauh lebih pantas kepada pelanggan yang beroperasi di rantau ini, sekali gus meningkatkan daya tahan operasi mereka.

“Kami juga berbangga dapat memperluaskan kehadiran jangka panjang di Malaysia dan meneruskan peranan sebagai rakan strategik dalam menyokong pertumbuhan mampan sektor aeroangkasa tempatan,” katanya.

Kemudahan itu akan menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan RRPF dan syarikat sekutunya, Aether Asset Management, khususnya dalam pengurusan serta sokongan aset enjin gantian di rantau ini.

Dikendalikan Aircamo, syarikat di bawah Sabena Engineering Group, pusat berkenaan turut menyokong enjin berteknologi terkini termasuk Rolls-Royce Trent XWB, Trent 7000 dan Trent 1000.

Keupayaan pusat itu dijangka meningkatkan ketersediaan enjin serta mempercepat proses penyediaan aset untuk penempatan operasi seterusnya.

Ini penting memandangkan enjin gantian merupakan aset bernilai tinggi dan setiap hari yang dapat dijimatkan antara penempatan pesawat mampu memberi kesan besar terhadap kelancaran operasi syarikat penerbangan.

Pusat Servis Enjin itu dijangka mampu mengendalikan lebih 150 proses pertukaran dan peralihan enjin setiap tahun.

Pembukaan kemudahan berkenaan turut memperlihatkan keyakinan jangka panjang RRPF terhadap potensi Malaysia sebagai hab aeroangkasa dan pembuatan termaju serantau.

Kerjasama dengan rakan industri tempatan dijangka menyumbang kepada pembangunan ekosistem perkhidmatan penerbangan negara, termasuk peningkatan keupayaan teknikal, pemindahan pengetahuan industri serta pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Ismail Lasim, berkata pemilihan negeri itu oleh syarikat bertaraf antarabangsa seperti RRPF membuktikan keyakinan pelabur terhadap kemudahan infrastruktur, tenaga kerja dan persekitaran perniagaan yang kondusif.

“Kami berbangga apabila peneraju industri yang diiktiraf di peringkat global seperti Rolls-Royce & Partners Finance memilih Negeri Sembilan bagi pelaburan strategik ini.

“Selain memperluaskan kapasiti teknikal, kemudahan ini akan mewujudkan peluang pekerjaan kejuruteraan berkemahiran tinggi, menggalakkan pemindahan pengetahuan teknologi serta merangsang pertumbuhan ekonomi tempatan,” katanya.

Pelaburan itu sekali gus meletakkan Sendayan sebagai antara lokasi berpotensi dalam rantaian perkhidmatan aeroangkasa serantau, selain memperkukuh aspirasi Malaysia untuk terus bersaing dalam industri penerbangan berteknologi tinggi.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page