Magnum Opus M. Nasir, Legasi Lima Dekad Terus Berbicara

90 peratus tiket sudah terjual, 10 artis jemputan dan 35 karya ikonik bakal dipersembahkan bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan di Istana Budaya
Lima dekad dalam dunia muzik bukan sekadar ukuran tempoh pengabdian seseorang seniman, sebaliknya menjadi medan untuk menilai sejauh mana karya, pemikiran dan pengaruhnya mampu bertahan merentas perubahan zaman.
Dalam konteks itu, Konsert MAGNUM OPUS – M.NASIR Dekad Ke-5 (MOMNDS) yang bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya, 5 Disember ini membawa makna lebih besar daripada sebuah persembahan muzik konvensional.
Sambutan awal yang menyaksikan 90 peratus tiket sudah terjual memperlihatkan bahawa karya Datuk M. Nasir masih mempunyai daya tarikan tersendiri, sekali gus membuktikan hubungan antara seniman dengan khalayak tidak semestinya terhakis oleh perubahan generasi dan landskap muzik semasa.
Lebih signifikan, konsert berkenaan menghimpunkan 35 karya ikonik M. Nasir yang bakal diberikan tafsiran muzik baharu menerusi gubahan berorkestra, selain menampilkan 10 artis jemputan daripada latar dan generasi berbeza.
Antara nama yang bakal bergandingan dengannya ialah Ernie Zakri, Hazama, Luca Sickta, Kmy Kmo, Pitahati, Pie Ramayan, Hasnul Rahmat, Joe Branko, Hillary Ang dan Kidd Search.

Penerbit Eksekutif konsert, Keon Omar berkata, pemilihan 35 lagu itu mengambil kira kepelbagaian cerita, pengalaman dan mesej yang terkandung dalam karya M. Nasir.
“Jumlah lagu yang akan disertakan pada malam konsert itu adalah sebanyak 35 lagu. Ia merangkumi pelbagai jenis cerita dan nasihat,” katanya pada sidang media di Bendang KL, 16 November lalu.
Bagi M. Nasir, pendekatan MOMNDS kali ini turut memperlihatkan satu bentuk kepercayaan terhadap kebebasan kreatif pasukan produksi dalam mentafsir perjalanan muziknya.
Beliau berkata, tidak seperti beberapa konsert terdahulu yang dikendalikan pihak lain, edisi kali ini memberikan ruang kepada Keon untuk membangunkan sebuah persembahan khusus dengan konsep dan pendekatan tersendiri.
“Selama ini, banyak pihak lain yang mengadakan konsert saya. Mereka menguruskan persembahan dan lagu-lagu saya, tetapi kali ini Keon mendapat peluang untuk menghasilkan sebuah konsert khas untuk saya.

“Pada saya, ini sebuah konsert yang serius. Saya bukan sekadar mahu mengatakan ia sebuah persembahan besar, tetapi apa yang lebih penting ialah kesungguhan dalam menghasilkan keseluruhan konsep dan persembahannya,” katanya.
Kenyataan itu memperlihatkan bahawa nilai sesebuah produksi tidak hanya terletak pada skala pentas, jumlah pemuzik atau kehadiran barisan artis terkenal, sebaliknya turut bergantung pada ketelitian dalam membina naratif dan pengalaman seni yang ingin disampaikan.
Menariknya, MOMNDS edisi kelima tidak lagi menjadikan sesi perbualan atau forum sebagai teras utama seperti dua penganjuran terdahulu. Sebaliknya, persembahan kali ini memberi tumpuan kepada muzik dengan elemen dokumentasi perjalanan seni M. Nasir disampaikan menerusi visual di layar.
“Kali ini, kita tidak mengadakan sesi perbualan seperti sebelum ini. Kita mahu menjadikannya sebuah konsert sepenuhnya, tetapi akan ada beberapa segmen selingan yang memaparkan pelbagai informasi mengenai karya saya menerusi visual di layar.
“Jadi, penonton bukan sahaja datang untuk menikmati muzik, tetapi turut berpeluang mengenali dengan lebih dekat perjalanan dan latar belakang karya yang pernah saya hasilkan,” katanya.
Pendekatan itu memberikan dimensi tambahan kepada konsert berkenaan apabila muzik tidak hanya berfungsi sebagai medium hiburan, tetapi turut menjadi wahana dokumentasi yang merakam proses kreatif, pemikiran dan konteks penghasilan sesebuah karya.
Dalam landskap muzik yang semakin dipengaruhi budaya digital, M. Nasir turut melihat media sosial sebagai ruang penting untuk memperluas capaian karya-karyanya kepada pendengar baharu, khususnya generasi muda.
Bagaimanapun, beliau berpandangan masih banyak hasil ciptaannya yang belum diterokai sepenuhnya dan memerlukan pendekatan pemasaran lebih tersusun.
“Melalui media sosial, saya rasa semakin ramai orang sudah didedahkan dengan karya-karya saya. Namun, masih banyak lagi karya yang belum diketahui atau diberikan perhatian.
“Jadi, bahagian pemasaran perlu lebih kuat untuk memastikan karya-karya ini sampai kepada lebih ramai pendengar. Saya dapati ramai juga dalam kalangan Gen Z yang mula mengenali dan mendengar karya-karya saya,” katanya.
Perspektif itu penting dalam memahami kelangsungan sesebuah legasi seni. Karya yang dianggap klasik tidak seharusnya terperangkap dalam nostalgia, sebaliknya perlu terus diperkenalkan melalui pendekatan yang bersesuaian dengan perubahan corak pendengaran dan budaya generasi baharu.
Dari sudut musikaliti, sebanyak 35 karya berkenaan bakal diberikan tafsiran baharu menerusi gubahan muzik berorkestra oleh pengarah muzik, Mohd Rafi Shafie.
M. Nasir akan diiringi kumpulan Gong bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) di bawah pimpinan konduktor Eric Lee, sekali gus menggabungkan identiti muzik asal dengan kekuatan susunan simfoni.
Pengarah Persembahan, Azmi Zainal Abidin berkata, keseluruhan produksi dirancang sebagai pengalaman seni menyeluruh yang menggabungkan muzik, visual dan pencahayaan.

“Fokus kami adalah untuk membawa penonton menikmati perjalanan seni dan muzik dalam sebuah persembahan yang bukan sekadar menghiburkan, tetapi turut meninggalkan kesan mendalam sehingga jiwa mereka terus terpaut pada pengalaman yang disaksikan.
“Harapan saya bersama seluruh pasukan adalah untuk memastikan persembahan ini bukan sekadar sebuah konsert yang dihidupkan di pentas, sebaliknya menjadi pengalaman seni yang meninggalkan kenangan dan kesan bermakna kepada penonton,” katanya.
Reka bentuk produksi dan skrip pula diilhamkan pencetus asal program MOMNDS5, Ismail Mohd Shariff, manakala Keon Omar menggalas tanggungjawab sebagai Penerbit Eksekutif.
Untuk rekod, MAGNUM OPUS bermula sebagai gagasan ilmiah dan wacana budaya bagi mengupas serta meraikan perjalanan seni M. Nasir.

Siri pertama, #kembarakesolo, berlangsung di Auditorium Mini MATIC pada 2017 menerusi wacana intim anjuran Sahabat M. Nasir yang menelusuri perjalanan seninya daripada era Kembara sehingga penghasilan album solo pada 1989.
Ia kemudian diteruskan menerusi siri kedua, #searchwingsdanrocknroll, di Auditorium DBKL pada 2019 anjuran Magnus Work Production. Program itu menampilkan forum rock bersama tokoh industri selain persembahan karya ciptaan M. Nasir untuk Search dan Wings bersama kumpulan Gong.
Peralihan kepada persembahan berskala besar menerusi edisi kelima ini memperlihatkan perkembangan MAGNUM OPUS daripada sebuah platform perbincangan seni kepada dokumentari muzikal yang diterjemahkan secara langsung di pentas.

Istilah Magnum Opus berasal daripada bahasa Latin yang merujuk kepada karya agung atau hasil seni terpenting seseorang seniman yang meninggalkan kesan besar dalam bidang diceburinya.
Penganjuran MOMNDS mendapat sokongan menerusi program Dana Persembahan Muzik di bawah Dana Kandungan Kreatif (DKK) Industri Muzik daripada Kementerian Komunikasi menerusi MyCreative Ventures.
Istana Budaya bertindak sebagai rakan strategik dengan menyediakan kemudahan ruang persembahan serta penggunaan OSK, manakala Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) turut memberikan sokongan menerusi kemudahan potongan cukai ke atas penajaan bagi penganjuran konsert berkenaan.
Menerusi MOMNDS5, Luncai Emas Sdn Bhd berharap legasi muzik Melayu terus dipelihara dan menjadi sumber inspirasi kepada generasi pemuzik serta komposer muda untuk menghasilkan karya bermutu yang mampu bertahan merentas zaman.
Konsert yang dijadualkan bermula jam 8.30 malam itu menawarkan tiket pada harga RM288 hingga RM1,588 mengikut kategori tempat duduk. Beberapa kategori sudah habis dijual, termasuk kategori F di Grand Circle serta kategori G dan H di Upper Circle.
Tiket boleh didapati menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com.
