Sambutan Luar Biasa, Amir Masdi Tambah Satu Malam AM:PM SHOWCASE

Permintaan tinggi peminat menyaksikan penyanyi itu bakal menguasai pentas Zepp Kuala Lumpur selama dua malam berturut-turut pada 19 dan 20 Disember ini
Permintaan luar biasa peminat terhadap AM:PM SHOWCASE membolehkan Amir Masdi menambah satu lagi malam persembahan di Zepp Kuala Lumpur, sekali gus memberi peluang kepada mereka yang terlepas mendapatkan tiket untuk menyaksikan aksi penyanyi itu secara langsung.
Menerusi pengumuman terbaharu, Amir bakal mengadakan persembahan selama dua malam berturut-turut pada 19 dan 20 Disember 2026, selepas sambutan menggalakkan terhadap penjualan tiket bagi tarikh asal.
Menariknya, penambahan malam persembahan itu turut memenuhi impian Amir sendiri yang mahu berkongsi pengalaman lebih istimewa bersama peminat menerusi sebuah showcase yang dirancang dengan konsep lebih intim dan peribadi.
Acara anjuran ULTIMATE MEDIA dengan kerjasama BACKSTAGE EVENTS serta sokongan MENARANETWORK itu bakal menampilkan sisi berbeza penyanyi berusia 30 tahun berkenaan sebagai penyanyi, penghibur dan pengkarya.
Amir yang dikenali menerusi lagu popular Nur Cinta terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara penyanyi lelaki berkualiti dalam industri muzik tempatan, apatah lagi selepas konsisten menghasilkan karya serta memberikan persembahan bertenaga.
Kehadirannya sebagai finalis Anugerah Juara Lagu 40 (AJL40) turut memperlihatkan perkembangan positif perjalanan seninya yang kini memasuki satu lagi fasa penting.
Bagi Amir, AM SHOWCASE bukan sekadar sebuah persembahan pentas, sebaliknya ruang untuk meraikan perjalanan muziknya bersama peminat yang tidak pernah putus memberikan sokongan sejak awal pembabitannya dalam industri.
Katanya, setiap lagu mempunyai cerita tersendiri dan dia mahu penonton merasai hubungan lebih dekat dengan karya yang dipersembahkan sepanjang dua jam acara berkenaan.
“Saya selalu percaya setiap lagu ada kisahnya sendiri, dan setiap peminat juga ada cerita yang menghubungkan mereka dengan lagu-lagu tersebut. Sebab itu saya mahu AM SHOWCASE menjadi sebuah malam yang cukup istimewa.
“Saya mahu semua yang hadir bukan sekadar menonton persembahan, tetapi pulang dengan kenangan yang sukar dilupakan.
“Kami sedang menyiapkan pelbagai elemen baharu supaya pengalaman pada malam itu benar-benar berbeza daripada persembahan yang pernah saya lakukan sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Projek ULTIMATE MEDIA, Ekmal Md Nor berkata, keputusan menambah satu malam lagi dibuat bagi memenuhi permintaan peminat yang tidak berpeluang mendapatkan tiket untuk persembahan asal.
“Disebabkan permintaan yang tinggi dan untuk tidak mengecewakan hati peminat tegar Amir, kami mengambil keputusan untuk meneruskan showcase ini buat malam kedua.
“Showcase eksklusif ini akan berlangsung selama dua jam dengan kira-kira 22 lagu popular Amir bakal dipersembahkan kepada peminat,” katanya.
Menurut Ekmal, pemilihan Amir dibuat berdasarkan kredibilitinya sebagai penyanyi dan penghibur selain memiliki kelompok peminat yang semakin berkembang.
Katanya, AM SHOWCASE dirancang untuk mengetengahkan sisi Amir yang lebih dekat dengan peminat menerusi persembahan eksklusif, sarat emosi dan berbeza daripada konsep konsert berskala besar.
Kerjasama strategik bersama Nova Music turut dijalin bagi memastikan aspek penerbitan, teknikal dan pengalaman penonton berada pada tahap terbaik.
Pemilihan Zepp Kuala Lumpur pula dilihat bersesuaian dengan konsep persembahan yang mengutamakan suasana intim serta interaksi lebih dekat antara Amir dan penonton.
Tiket AM SHOWCASE dijual menerusi platform ILASSO TICKETS dengan harga RM350 bagi PREMIUM SEAT, RM278 (CAT 1), RM228 (NORMAL SEAT), RM218 (CAT 2) dan RM111 (CAT 3 – Standing).
Bagi peminat yang mahukan pengalaman lebih eksklusif, pilihan VIP BOX turut disediakan pada harga RM6,500 untuk sebuah kotak yang boleh memuatkan sehingga 10 orang.
Dengan tambahan satu malam persembahan, AM SHOWCASE pastinya menjadi antara momen penting dalam perjalanan seni Amir, sekali gus membuktikan sokongan peminat terhadap penyanyi itu terus kukuh.
