Ernie Zakri ‘Satu Pentas’ Dengan Macron, La Vie En Rose Curi Perhatian!

Penyanyi itu menerima penghormatan istimewa apabila berpeluang mendendangkan lagu klasik Perancis bersama Presiden Emmanuel Macron dalam majlis jamuan tengah hari rasmi.
BUKAN setiap hari anak seni tempatan berpeluang berkongsi pentas dengan pemimpin dunia, apatah lagi Presiden Perancis, Emmanuel Macron.
Namun, pengalaman cukup istimewa itu menjadi kenyataan buat penyanyi popular, Ernie Zakri, apabila diberi penghormatan mendendangkan lagu klasik Perancis, La Vie En Rose, bersama Macron dalam satu majlis jamuan tengah hari rasmi.
Detik membanggakan itu berlangsung dalam majlis yang dihoskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sempena lawatan rasmi dua hari Presiden Perancis itu ke Malaysia.
Pemilihan lagu La Vie En Rose yang cukup ikonik dalam khazanah muzik Perancis menjadikan persembahan berkenaan lebih bermakna, sekali gus memperlihatkan keupayaan muzik menyatukan dua budaya dan negara tanpa dibatasi perbezaan bahasa.
Bagi Ernie, peluang berkenaan bukan sekadar satu lagi persembahan di pentas berprestij, sebaliknya penghormatan yang cukup besar dan pengalaman yang akan terpahat sebagai kenangan sepanjang hayat.
Menerusi perkongsian mengenai detik istimewa itu, Ernie meluahkan rasa syukur kerana diberi kepercayaan membawa nama serta seni Malaysia dalam acara yang cukup berprestij berkenaan.
“Diberi penghormatan untuk membuat persembahan di hadapan Presiden Perancis, Emmanuel Macron, merupakan detik yang amat bermakna dalam perjalanan seni saya.
“Peluang menyanyikan La Vie En Rose bersama beliau menjadikan pengalaman ini lebih istimewa dan akan kekal sebagai kenangan yang saya hargai sepanjang hayat.
“Saya amat bersyukur atas kepercayaan yang diberikan untuk membawa suara dan seni Malaysia ke pentas ini,” katanya.
Pengalaman itu pastinya menjadi satu lagi pencapaian bermakna dalam perjalanan seni Ernie, yang dikenali dengan kekuatan vokal serta keupayaan menyampaikan lagu dengan penghayatan tersendiri.
Lebih daripada sekadar persembahan, momen berkenaan turut membawa mesej bahawa seni muzik mempunyai bahasa universal yang mampu merapatkan hubungan antara masyarakat dan negara.
Sekali gus, penghormatan diterima Ernie membuktikan bakat anak seni Malaysia juga mempunyai tempat di pentas antarabangsa, selain menjadi kebanggaan buat industri muzik tempatan.
