Reality Club ‘Takluk’ Hati Peminat Malaysia

21 lagu, sistem bunyi mesra gegendang telinga dan pencahayaan minimalis menjadi ramuan persembahan istimewa kuartet Indonesia itu sempena sedekad perjalanan seni di Zepp KL
Bukan gimik pentas atau permainan cahaya yang berlebihan menjadi ukuran kejayaan sesebuah konsert, sebaliknya keupayaan muzik menghubungkan artis dengan penonton menerusi pengalaman yang meninggalkan kesan.
Itulah antara perkara yang membentuk kekuatan persembahan Reality Club menerusi konsert (10) Years of Reality Club, Live in Kuala Lumpur yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 13 November lalu.
Kumpulan indie dari Jakarta, Indonesia itu membuktikan mereka mempunyai kelompok peminat tersendiri di Malaysia apabila setiap rangkaian lagu yang dipersembahkan disambut dengan sorakan, nyanyian bersama dan lontaran vokal khalayak yang cukup memberangsangkan.

Lebih menarik, kemeriahan itu tidak perlu bergantung kepada produksi pentas yang sarat dengan elemen visual untuk mencipta impak.
Sebaliknya, sistem bunyi yang cukup mesra gegendang telinga membolehkan setiap lapisan muzik dinikmati dengan selesa, manakala pencahayaan pentas yang minimalis memberikan ruang kepada muzik dan persembahan anggota kumpulan menjadi tumpuan utama.
Kesederhanaan pendekatan produksi itu ternyata tidak mengurangkan nilai persembahan. Malah, ia mengukuhkan pengalaman menikmati muzik Reality Club yang banyak bertunjangkan kekuatan melodi, susunan muzik dan penceritaan.

Lebih daripada sekadar konsert ulang tahun, persembahan itu menjadi sebuah perjalanan retrospektif yang merangkum perkembangan muzik mereka sepanjang sedekad.
Dianjurkan POST bersama Katarsis Live, konsert berkenaan menghimpunkan 21 lagu termasuk dua persembahan encore yang dipilih daripada katalog muzik kumpulan berkenaan.
Membuka tirai persembahan menerusi I’ll Do It Myself, Reality Club kemudian menghidangkan medley SSR, Arrowhead Man dan Fatal Attraction sebelum meneruskan momentum dengan Quick! Love!, Enough for You dan Telenovia.
Susunan berkenaan memperlihatkan kepelbagaian warna muzik mereka, sekali gus memberikan gambaran bahawa Reality Club tidak terikat kepada satu formula dalam menghasilkan karya.

Perjalanan diteruskan menerusi I Wish I Was Your Joke, Thank You for Hijacking My Existential Crisis dan Elastic Hearts sebelum Finding a Catholic Man to Love the Love of My Life membawa penonton menyelami sisi penceritaan yang lebih tersendiri.
Keistimewaan Reality Club terletak pada kemampuan mereka mengolah pengalaman manusia menjadi karya yang dekat dengan kehidupan pendengar.

Daripada persoalan cinta, kerinduan, hubungan yang tidak kesampaian sehinggalah keresahan terhadap kehidupan, karya mereka mempunyai karakter penceritaan yang membolehkan pendengar menemukan pengalaman sendiri dalam setiap bait lirik.
Tidak hairanlah lagu seperti Alexandra terus menjadi antara karya yang mempunyai daya tarikan tersendiri dalam katalog mereka.
Lagu berkenaan menjadi antara momen penting dalam perjalanan persembahan apabila peminat berpeluang menikmati karya yang turut membantu mengukuhkan nama Reality Club dalam landskap muzik indie serantau.
Selepas Four Summers dan A Sorrowful Reunion, kumpulan itu meneruskan persembahan menerusi Close to You sebelum membawa penonton menikmati You’ll Find Lovers Like You and Me serta Now I’m a Diplomat. Momentum kemudian dipertingkatkan menerusi Never Get Better dan Is It The Answer? yang disusuli Anything You Want sebelum Am I Bothering You? menjadi penutup set utama.

Pemilihan lagu yang merangkumi pelbagai fasa perjalanan seni itu memperlihatkan usaha Reality Club memberikan pengalaman lebih menyeluruh kepada peminat, bukannya sekadar bergantung kepada beberapa lagu popular.
Di sebalik susunan repertoir yang panjang, keserasian empat anggota asal iaitu Fathia Izzati, Faiz Novascotia Saripudin, Nugi Wicaksono dan Era Patigo menjadi antara tunjang kekuatan persembahan.

Fathia dan Faiz menerusi peranan vokal masing-masing turut memberikan identiti tersendiri kepada persembahan, sementara Nugi dan Era melengkapkan struktur muzik kumpulan dengan permainan bass dan dram.
Kehadiran mereka sebagai sebuah kuartet yang sudah bersama sejak awal perjalanan turut memperlihatkan kepentingan keserasian dalam membina identiti muzik yang konsisten. Bagaimanapun, kemuncak sambutan ulang tahun itu belum berakhir apabila Reality Club kembali ke pentas menerusi segmen encore.
Love Epiphany dipilih sebagai lagu pertama sebelum 2112 melengkapkan persembahan malam berkenaan. Pemilihan Love Epiphany cukup signifikan memandangkan karya itu turut membawa pengiktirafan kepada Reality Club menerusi kemenangan kategori Duo/Kumpulan/Kolaborasi Alternatif Terbaik di Anugerah Musik Indonesia.
Sementara itu, 2112 menjadi penutup kepada perjalanan muzik yang membawa penonton menyelusuri pelbagai sisi kreativiti kumpulan berkenaan.
Untuk rekod, Reality Club yang ditubuhkan pada 2016 berjaya mengembangkan pengaruh muzik mereka menerusi empat album studio, termasuk Reality Club Presents… dan Who Knows Where Life Will Take You?.

Album Reality Club Presents… turut mengangkat nama mereka menerusi kemenangan kategori Album Alternatif Terbaik di Anugerah Musik Indonesia, sekali gus memperkukuh kedudukan kumpulan itu dalam industri muzik Indonesia.
Sedekad perjalanan itu juga membuktikan muzik mereka mempunyai daya tarikan yang melangkaui sempadan negara, termasuk membina hubungan istimewa dengan pendengar di Malaysia.
