November 18, 2026

MMS | MY Media Syndicate

Berita Hari Ini, Gaya Hidup Masa Kini

For Revenge, 20 Tahun Merawat Luka Sebelum Belajar Melepaskan

Spread the love

Konsert Titik Sadrah di Zepp KL menghimpunkan tujuh kolaborator, selain menjadi pentas penuh emosi buat Chimot yang mengundurkan diri selepas hampir dua dekad bersama kumpulan itu.

Meraikan 20 tahun perjalanan muzik sepatutnya menjadi detik paling membanggakan buat sesebuah kumpulan. Namun, bagi for Revenge, ulang tahun bersejarah itu turut hadir bersama hakikat yang tidak mudah diterima apabila seorang anggota asal memilih untuk membawa haluan sendiri.

Ironinya, ketika mereka mengajak peminat menyelami makna menerima kehilangan menerusi konsert Titik Sadrah: Konser Tunggal 20 Tahun di Zepp Kuala Lumpur, 15 November lalu, kumpulan emo rock Indonesia itu sendiri sedang berdepan fasa perpisahan dalam perjalanan persahabatan mereka.

Situasi itu menjadikan persembahan berkenaan lebih daripada sekadar sambutan dua dekad pembabitan dalam industri muzik. Sebaliknya, ia menjadi dokumentasi emosi tentang luka, kehilangan, persahabatan dan keberanian untuk melepaskan sesuatu yang pernah menjadi sebahagian besar kehidupan.

Menerusi 22 lagu yang disusun mengikut perjalanan emosi, for Revenge membawa penonton menelusuri karya yang selama ini membentuk identiti mereka, sekali gus memperlihatkan bagaimana muzik mampu menjadi medium untuk merawat perasaan yang sukar diterjemahkan dengan kata-kata.

Diterajui Boniex Noer (vokal), Arief Ismail (gitar) dan Izha Muhammad (bes), persembahan selama dua jam itu memperlihatkan kematangan kumpulan dari Bandung berkenaan dalam membina hubungan emosional dengan pendengar yang mengikuti perjalanan mereka sejak penubuhan pada 2006.

Namun, ada kisah tersendiri yang menjadikan konsert di Kuala Lumpur ini cukup signifikan apabila pemain dram asal mereka, Archims Pribadi atau lebih dikenali sebagai Chimot, mengambil keputusan mengundurkan diri selepas konsert ulang tahun kumpulan itu di Bandung, Oktober lalu.

Justeru, Titik Sadrah turut menjadi ruang menghargai sebuah persaudaraan yang dibina selama hampir dua dekad, sebelum setiap individu meneruskan perjalanan masing-masing.

For Revenge membuka persembahan dengan Ribuan Luka sebelum menyusul Bernama Karma dan Jentaka, tiga karya yang segera memperkenalkan karakter muzik mereka kepada penonton. Pemilihan lagu pembukaan itu cukup berkesan dalam membawa pendengar memasuki dunia muzik for Revenge yang sinonim dengan tema kekecewaan, pergolakan jiwa dan usaha berdamai dengan kenyataan.

Perjalanan diteruskan dengan I Miss You Every Brand New Day, Derana, Semula, 1/1, Ada Selamanya dan Jeda sebelum momentum persembahan bergerak ke Termentahkan serta Untuk Siapa?

Susunan berkenaan memperlihatkan usaha for Revenge menyatukan pelbagai fasa perjalanan muzik mereka, bukan hanya bergantung kepada karya popular yang lebih dikenali peminat.

Kehadiran Jakarta Hari Ini dan Bandung Hari Ini pula membawa dimensi berbeza apabila kedua-dua lagu itu mengingatkan kepada akar perjalanan muzik mereka di Indonesia.  Selain itu Jakarta Hari Ini turut mendapat sentuhan istimewa menerusi kemunculan Cynantia Pratita daripada Stereowall yang berkongsi pentas bersama kumpulan itu.

Sementara itu, Fiersa Besari bergandingan dengan for Revenge menerusi Ada Selamanya, sekali gus menghidupkan keistimewaan lagu kolaborasi berkenaan dalam suasana yang lebih intim. Bukan itu sahaja, Bunga turut membuat penampilan istimewa menerusi Menunggu Giliran, manakala Rony Parulian hadir sebagai antara wajah yang memeriahkan pentas kolaborasi malam berkenaan.

Keunikan persembahan turut terserlah menerusi penglibatan Dul Jaelani yang mengiringi for Revenge dengan alunan piano, memberikan dimensi muzik lebih intim kepada persembahan.

Satu lagi kolaborasi yang mencuri perhatian ialah Museum Duka menerusi gandingan Tepe dan YB, manakala kumpulan tempatan, Sekumpulan Orang Gila (S.O.G.), menjadi wakil Malaysia dalam barisan kolaborator yang menghiasi konsert berkenaan.

Kehadiran tujuh kolaborator itu bukan sekadar memenuhi ruang penampilan khas, sebaliknya memperlihatkan jaringan persahabatan dan kerjasama kreatif yang berkembang sepanjang perjalanan muzik for Revenge.

Lebih penting, penglibatan S.O.G. turut memberikan sentuhan tempatan kepada konsert berkenaan, sekali gus memperlihatkan hubungan muzik antara Malaysia dan Indonesia yang terus berkembang menerusi persamaan minat terhadap muzik alternatif dan rock.

Dalam pada itu, Nama-Nama Yang Pergi menjadi antara karya yang membawa mesej lebih besar apabila for Revenge menyentuh keresahan terhadap konflik dan bencana yang melanda Indonesia.  Persembahan lagu itu disertai paparan video kronologi serta nama mangsa yang terkesan, sekali gus menjadikan pentas konsert sebagai ruang menyampaikan keprihatinan terhadap isu kemanusiaan.

Bagaimanapun, detik paling menyentuh emosi hadir apabila persembahan mula membawa penonton kepada kisah perubahan dalam keluarga besar for Revenge.  Tayangan video temu bual yang memaparkan perjalanan dan pengalaman anggota kumpulan sepanjang dua dekad menjadi antara segmen penting untuk memahami perkara yang membentuk identiti mereka.

Emosi semakin memuncak apabila video membabitkan Chimot ditayangkan.  Sebagai pemain dram asal yang menjadi sebahagian daripada sejarah penubuhan for Revenge, pengundurannya bukan perkara kecil buat kumpulan itu mahupun peminat yang mengikuti perjalanan mereka sejak awal.

Namun, sejarah yang dibina bersama tidak seharusnya terhapus hanya kerana haluan kehidupan berubah.  Lebih menyentuh perasaan, Chimot turut membuat kemunculan khas di pentas pada penghujung konsert untuk menyampaikan penghargaan kepada peminat Malaysia.

Momen itu membawa makna tersendiri kerana kehadirannya seolah-olah menjadi simbol bahawa perpisahan tidak semestinya menafikan nilai persahabatan dan kenangan yang pernah dibina.  Dalam konteks Titik Sadrah, kemunculan Chimot menjadi antara gambaran paling jelas terhadap mesej yang cuba disampaikan menerusi konsert berkenaan.

Memasuki bahagian seterusnya, for Revenge meneruskan persembahan dengan Saat Kubenci Dunia dan Seisinya, Menunggu Giliran, Museum Duka sebelum menyampaikan Pulang, Serana serta Penyangkalan.

Museum Duka khususnya mempunyai nilai tersendiri sebagai karya kolaborasi yang turut menghubungkan for Revenge dengan Tepe dan YB dalam perkembangan muzik mereka.  Persembahan kemudian bergerak menuju kemuncak menerusi Sadrah sebelum diakhiri dengan Selamat Merayakan Hidup.

Pemilihan dua lagu terakhir itu cukup signifikan kerana seolah-olah merumuskan keseluruhan perjalanan emosi yang mahu disampaikan sepanjang konsert.  Selepas membawa pendengar mengharungi pelbagai kisah luka, kehilangan dan kekecewaan, for Revenge akhirnya mengajak mereka melihat kehidupan daripada sudut yang lebih luas.

Konsert anjuran Neptunes Presents dengan kerjasama Antara Suara dan Sony Music Indonesia itu juga menjadi persembahan keempat for Revenge di Kuala Lumpur sejak kemunculan pertama mereka di kota ini pada 2024.

Akhirnya, Titik Sadrah meninggalkan satu pesan yang cukup sederhana tetapi mendalam iaitu tidak semua yang pernah bersama akan kekal selamanya, namun kenangan dan persahabatan tetap mempunyai tempat tersendiri dalam perjalanan kehidupan.


Spread the love
Copyright © All rights reserved. | Newsphere by AF themes.

You cannot copy content of this page