Magnum Opus M. Nasir Dekad Ke-5: Lima Dekad Bukan Sekadar Sejarah

Lima dekad dalam dunia muzik bukan sekadar angka, sebaliknya perjalanan panjang yang sarat dengan karya, pemikiran, pencarian dan perubahan zaman.
Bagi Dato’ M. Nasir, perjalanan seni sejak 1979 hingga 2026 kini diterjemahkan menerusi Magnum Opus: M. Nasir Dekad Ke-5 (MOMND5) yang bakal berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya.
Lebih daripada sebuah konsert, produksi berkenaan menjadi manifestasi terhadap legasi seorang seniman yang sudah menghasilkan lebih 2,000 karya muzik merentasi pelbagai genre dan generasi.
Istilah magnum opus berasal daripada bahasa Latin yang membawa maksud karya terpenting seseorang seniman. Namun, dalam konteks M. Nasir, pengertiannya berkembang jauh lebih luas.
Ismael Sharif, pencetus idea asal Magnum Opus, melihat istilah itu sebagai gambaran keseluruhan perjalanan seni M. Nasir, bukannya tertumpu kepada satu karya tertentu.

“Apabila kita menyebut Magnum Opus, kita tidak bercakap tentang satu karya. Kita bercakap tentang keseluruhan perjalanan seorang seniman. Lima dekad M. Nasir adalah sebuah Magnum Opus yang masih hidup, masih dimainkan dan masih memberi makna kepada orang ramai.”
Bermula daripada Magnum Opus Siri 1: Kembara Ke Solo pada 2017 di MATIC, siri berkenaan diteruskan dengan Magnum Opus Siri 2: Search, Wings & Rock ’N’ Roll pada 2019 di Auditorium DBKL.
Jika dua produksi terdahulu menelusuri fasa tertentu dalam perjalanan seni, edisi Dekad Ke-5 pula mengangkat keseluruhan perjalanan lima dekad M. Nasir sebagai seorang penyanyi, komposer, penulis lirik dan penerbit.
Bagi M. Nasir sendiri, perjalanan berkenaan bukan sekadar mengenai jumlah lagu atau pencapaian yang sudah diraih.

“Lima dekad ini bukan tentang berapa banyak lagu yang saya sudah hasilkan, tetapi tentang bagaimana karya-karya itu terus hidup dan menemui generasi yang berbeza. Magnum Opus ini bagi saya adalah satu perjalanan melihat kembali apa yang sudah kita lalui, dan pada masa yang sama melihat ke mana muzik kita boleh pergi selepas ini.”ujarnya ketika di temui media di Lambang Sari Istana Budaya pada 18 Ogos lalu.
Antara tarikan utama MOMND5 ialah pementasan semula 30 karya ikonik M. Nasir yang diberi nafas baharu menerusi kolaborasi bersama Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK).
Karya berkenaan akan disusun semula dalam bentuk simfoni oleh Mohd Rafi Shafie, manakala OSK dipimpin Eric Lee Yin Fah.
Dengan durasi kira-kira 150 minit, persembahan itu bakal mempertemukan vokal serta tenaga pentas M. Nasir dengan kekuatan barisan pemuzik profesional OSK.

Gabungan berkenaan dijangka memberikan dimensi baharu kepada karya yang sudah begitu dekat dengan masyarakat, selain menghadirkan pengalaman lebih sinematik, dinamik dan emosional.
Setiap karya yang dipilih mewakili era serta fasa penting dalam perjalanan seni M. Nasir, sekali gus membolehkan penonton menyelami evolusi penulisan lirik, penciptaan melodi dan susunan muzik beliau.
Ia bukan sekadar persembahan semula lagu popular, sebaliknya sebuah usaha mentafsir semula karya lama melalui bahasa muzik simfoni.
Dari sudut artistik, MOMND5 mengangkat pendekatan surealisme yang disuntik dengan elemen falsafah dan simbolisme, selari dengan karakter seni M. Nasir yang terkenal dengan karya puitis, imaginatif dan berlapis makna.
Shabromo selaku Pengarah Konsert dan Artistik bertanggungjawab membentuk hala tuju kreatif serta keseluruhan bahasa visual dan persembahan agar selari dengan visi Magnum Opus.
Sementara itu, Ismael Sharif yang mencetuskan idea asal Magnum Opus terus menjadi sebahagian daripada perjalanan produksi yang mahu meraikan karya serta pemikiran M. Nasir.
Pendekatan visual berkenaan bukan hanya bertujuan mencantikkan pentas, tetapi menjadi sebahagian daripada naratif persembahan untuk mengajak penonton melihat karya M. Nasir sebagai cerminan perjalanan pemikiran dan ekspresi seorang seniman.
Bagi Keon Omar, selaku Penerbit Eksekutif daripada Luncai Emas, MOMND5 bukan produksi yang sekadar mahu membawa penonton bernostalgia dengan karya lama. Sebaliknya, ia menjadi jambatan yang menghubungkan legasi muzik lima dekad dengan generasi baharu.

“Kami tidak mahu Magnum Opus ini sekadar menjadi konsert mengenang masa lalu. Kami mahu generasi hari ini datang, mendengar dan melihat sendiri mengapa karya M. Nasir mampu bertahan selama lima dekad. Ini adalah usaha untuk membawa warisan itu ke hadapan, bukan sekadar menoleh ke belakang.”
Menurutnya, karya yang hebat tidak sepatutnya berhenti pada satu generasi kerana kekuatan sebenar sesebuah karya terletak pada kemampuannya untuk terus diterokai, difahami dan diwariskan.
“Lima dekad M. Nasir bukan sejarah yang sudah selesai. Ia warisan yang masih hidup. Tanggungjawab kami adalah memastikan karya itu terus didengar, difahami dan diwariskan kepada generasi seterusnya.”
Pemilihan Panggung Sari, Istana Budaya pula dilihat cukup bertepatan dengan skala dan karakter produksi, terutama dalam mempertemukan kekuatan seni persembahan pentas dengan bunyi sebuah orkestra simfoni.
Selain konsert, beberapa program sampingan turut diadakan di ruang legar Istana Budaya termasuk pameran dan jualan karya seni kanak-kanak serta sesi bual bicara berkaitan penerbitan buku mengenai karya muzik M. Nasir.
Sepanjang perjalanan seninya, M. Nasir menerima pelbagai pengiktirafan utama industri termasuk Anugerah Juara Lagu (AJL), Anugerah Industri Muzik (AIM), Anugerah Planet Muzik (APM) serta pengiktirafan daripada MACP sebagai antara pencipta lagu terunggul negara.
Namun, nilai legasi seorang seniman tidak semestinya terukur pada jumlah anugerah yang menghiasi rak atau banyaknya karya yang dihasilkan. Legasi sebenar terletak pada karya yang masih didengar, dinyanyikan, dimainkan, ditafsir dan diperkenalkan kepada generasi yang tidak pernah melalui zaman ketika karya itu mula dicipta.
Atas sebab itu, MOMND5 hadir sebagai sebuah apresiasi budaya terhadap khazanah muzik tanah air. Ia adalah pertemuan antara masa lalu dan masa kini serta lima dekad penciptaan M. Nasir diterjemahkan melalui muzik, puisi, falsafah, simbolisme dan bunyi simfoni.
Konsert ini mendapat insentif Dana Kandungan Kreatif – Persembahan Muzik daripada MyCreative Ventures, manakala Istana Budaya bertindak sebagai Rakan Strategik.
Tiket akan mula dijual pada Jumaat, 21 Ogos 2026, jam 3 petang menerusi laman sesawang www.ilassotickets.com.

Tiket ditawarkan dalam beberapa kategori iaitu Stalls A (RM1,588), B (RM1,188), C (RM988) dan D (RM838), Grand Circle E (RM638) dan F (RM538) serta Upper Circle G (RM338) dan H (RM288).
MOMND5 akhirnya bukan sekadar persoalan tentang bagaimana lagu-lagu lama akan dibunyikan semula. Sebaliknya, ia menjadi persoalan yang lebih besar iaitu bagaimana lima dekad pemikiran dan karya seorang seniman diterjemahkan apabila ia bertemu dengan kekuatan sebuah orkestra simfoni.
